Wednesday, April 27, 2011

Tregedi Disember Di KB MALL:- Pemilik Kereta Dihukum Setahun Penjara


Seorang penjaga burung layang-layang dijatuhi hukuman penjara setahun kerana cuai sehingga menyebabkan kematian dua penuntut kolej kejururawatan selepas keretanya menjunam di Kompleks Membeli belah KB Mall pada 2009.

Masjistret Norhaslinda Che Seman menjatuhi hukuman itu setelah Mohd Sabri Jusoh, 29, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan disabitkan bersalah.

Dia dituduh menyebabkan kematian dengan cuai terhadap Siti Amira Shamsudin, 19, dan Siti Nur Dianah Azman, 23, di kawasan Kompleks Membeli Belah KB Mall, pada 5.10 petang, 6 Disember 2009.

Mohd Sabri didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua penuntut kejururawatan Kolej Masterskill Kota Baharu meninggal dunia, manakala seorang rakan mereka cedera parah ditimpa kereta Ford Laser yang terjunam dan menimpa mangsa dari tempat letak kereta di tingkat tiga KB Mall itu selepas merempuh dinding lubang angin di situ.

Siti Amira, dari Gua Musang, mati di tempat kejadian manakala rakannya, Siti Nur Dianah, dari Wakaf Bharu, Tumpat, meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Rakan kolej mereka, Rashidah Ahmad Lotfi, 24, dari Jerteh, Terengganu dan pemandu kereta, Nor Ain Said, 19, yang cedera parah pada kepala, telah dirawat di hospital yang sama.

Sumber Dari:-
BERNAMA

KEPUTUSAN LIGA SUPER FAM 2011: - The Red Warrior benam Red Gaint, Kejar Tahta Liga


Kelantan VS Selangor 1-0
Terengganu VS Sabah 2-1
Pasukan T-Team VS Kedah 3-1
Perak VS Kuala Lumpur 5-3
Perlis VS Pahang 1-2
Harimau Muda A VS Negeri Sembilan 1-1
Felda United VS Johor Fc 0-0

KUALA LUMPUR, 26 April 2011
Kelantan membuktikan keupayaannya apabila menewaskan Selangor 1-0 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Baharu Selasa malam.

Dengan kejayaan itu pasukan bimbingan Datuk M.Karathu kini menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 30 mata selepas 15 perlawanan.

Pasukan 'The Red Warriors' membuka jaringan seawal minit keempat menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha.

Sementara itu, Terengganu menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Terengganu yang menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 31 mata berjaya merapatkan jurang mata dengan Selangor iaitu satu mata di belakang pendahulu liga itu.

Dua gol Terengganu dijaringkan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-61 dan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi (minit ke-71).

Gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan Sharul Azhar Ture pada minit ke-59.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Pasukan T-Team menewaskan Kedah 3-1.

Gol T-Team diperoleh melalui jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit kedua, Shamsul Kamal Mohamad (minit ke-83) dan Zairo Anuar Zailani (minit ke-92).

Gol saguhati Kedah dijaringkan oleh Badrol Bakhtiar pada minit ke-45.

Perak pula mencatat kemenangan besar apabila membelasah Kuala Lumpur 5-3 di Stadium Ipoh, Perak.

Gol Perak dijaringkan oleh Razali Umar Kandasamy seawal minit kedua, Ahmad Dashila Tajudin (gol sendiri) minit ke-34, Mohd Fazrul Hazli (minit ke-60), Mohd Shafiq Jamal (minit ke-66) dan Mohd Noor Hazrul (minit ke-86).

Tiga gol Kuala Lumpur di jaringkan See Kok Luen (minit ke-13), Ahmad Hazwan Bakri (minit ke-64) dan Khairul Anuar Shafie (minit ke-90).

Di Stadium Utama Negeri, Kangar , Pasukan tercorot Perlis tumpas 1-2 kepada Pahang.

Dua gol pelawat dijaringkan oleh Mohd Faizol Hussin pada minit ke-25 dan Famirul Asraf Sayuti (minit ke-81), manakala Perlis memperoleh gol tunggal melalui Mohd Rizal Mohd Ghazali (minit ke-70).

Di Stadium Shah Alam Harimau Muda A seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Turut mencatat keputusaan seri ialah pasukan Felda United yang seri tanpa jaringan dengan Johor Fc pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sumber Dari:
BERNAMA

Monday, April 25, 2011

Buang Bayi,Kejam!!!!!Bila manusia tidak bersyukur dengan Rezeki Allah..


BANDAR BAHARU - Mayat kanak-kanak lelaki berusia setahun lebih berpakaian lengkap ditemui dalam beg pakaian berhampiran jalan susur masuk ke hentian tol Bandar Baharu di Kilometer 175 dari arah Utara, pada jam 5.45 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris berkata, mayat kanak-kanakdipercayai berketurunan India itu ditinggalkan tidak sampai sehari kerana keadaannya masih lembut dan tidak berbau.

"Mayat itu disumbatkan dalam beg kanvas ditemui sekitar kawasan pasu bunga berdekatan tiang elektrik di plaza tol Bandar Baharu.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, polis menemui kesan lebam di kepala mangsa, manakala hidungnya berair. Selain itu, tiada kesan atau tanda lain ditemui," katanya.

Menurutnya, kes itu akan siasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kematian kanak-kanak.

Beliau berkata, mayat itu dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

"Bagaimanapun, pihak hospital mengarahkan polis menghantar mayat mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk pemeriksaan doktor pakar. Sehingga kini, polis masih mencari keluarga mangsa," katanya.

Helmi turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu atau mereka kehilangan anak, supaya menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu di talian 04-4077222.

Sumber Dari:
Sinar Harian

Bieber , "Hello Manila"! Hatinya di Manila ketika di Malaysia

MANILA - Penyanyi terkenal, Justin Bieber dikritik di laman Twitter kerana dia menyebut, "Hello, Manila" semasa melakukan persembahan di Kuala Lumpur pada minggu lalu.
Menurut laporan stesen televisyen ABC semalam, dia sepatutnya menyebut Hello, Malaysia dan bukannya Hello, Manila dalam persembahan pada 21 April lalu.
"Justin Bieber mengalu-alukan rakyat Malaysia Hello, Manila, memakai jersi Barcelona (kelab bola sepak) di Madrid. Justin Beiber, anda memerlukan peta," kata seorang peminat yang mahu dikenali sebagai abygo.
Seorang lagi pengguna Twitter menyatakan: "Justin Biber kepada para peminatnya di Malaysia: Hello Manila! Hahaha! Saya menyayanginya. Dia seperti makhluk planet Marikh."
Bagaimanapun, gelagat Bieber itu mencetuskan kegembiraan dalam kalangan peminat di Filipina kerana dia akan membuat konsert di sini pada 10 Mei depan.
"Justin Bieber menjerit Hello Manila berbanding Hello Malaysia .. haha mungkin dia terlalu teruja untuk datang ke sini," kata seorang pengguna Twitter ClichaeyeLuvJB.
Seorang lagi pengguna laman itu, JerielBeliebs berkata:
"Hello Manila? teruja sangat si Justin."
Bieber yang berusia 17 tahun dan dilahirkan di Kanada kini dalam siri lawatan ke Asia.
Kelmarin, dia yang terkenal dengan lagu Baby membuat persembahan di Sentul, Bogor, Indonesia.

Sumber:-
Agensi

Bachok Akan Dijadikan Bandar Pelancongan Nelayan

BACHOK, 24 April 2011
Jajahan Bachok akan dijadikan bandar pelancongan nelayan apabila pusat sewaan kelengkapan menangkap ikan diwujudkan di situ untuk menggalakkan aktiviti menangkap ikan di Laut China Selatan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Persatuan Nelayan Bachok diberi tanggungjawab untuk menubuhkan pusat itu secepat mungkin termasuk dengan menyediakan bot, petak letak kereta dan jurupandu dari kalangan nelayan yang mampu menunjuk arah kawasan yang mempunyai banyak ikan.

Pusat itu boleh menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara yang sebelum ini menghadapi kesukaran untuk menyewa bot bagi tujuan berkenaan, katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bayaran elaun sara hidup nelayan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, Ahad.

Awang Adek yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok berkata Bachok sesuai untuk mewujudkan pusat itu kerana mempunyai pelbagai kemudahan asas terutamanya bilik penginapan di sepanjang pantai yang terletak di pinggir bandar Kota Baharu dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pangkalan Chepa.

Aktiviti itu dapat memesatkan industri pelancongan di Kelantan dan mampu memberi pendapatan lumayan kepada nelayan yang terbabit, katanya.

Sumber Dari:
BERNAMA

Wednesday, April 20, 2011

KEPUTUSAN LIGA SUPER FAM 2011: -Kelantan Ratah Perlis & Kejar Tahta Liga


Kelantan VS Perlis 5-1
 Selangor VS Sabah 1-0
Felda United VS Kuala Lumpur 2-1
Perak VS Terengganu 1-1
T-Team VS Johor FC 1-1.
Pahang VS Negeri Sembilan 1-1.

KUALA LUMPUR, 19 April 2011
Selangor melebarkan pungutan mata di persada Liga Super dengan kelebihan empat mata apabila menumpaskan Sabah 1-0 pada perlawanan bola sepak liga itu di Stadium Shah Alam, Selasa.

Selangor terpaksa bekerja keras sepanjang perlawanan untuk mencari mata penuh dan hanya membolosi gawang gol Sabah pada babak kedua menerusi sepakan penalti.

Pemain tengah, Azidan Sarudi, menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 bagi membantu Selangor mengumpul 29 mata selepas 13 perlawanan, iaitu empat mata di hadapan pencabar terdekat, Terengganu.

Di Stadium Utama, Kangar, Kelantan memulihkan rentak kejayaan apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis 5-1.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Sabah minggu lepas, Kelantan berjaya mengumpul mata penuh untuk naik satu anak tangga di tempat ketiga dengan 24 mata.

Mohd Badhri Mohd Radzi muncul wira pasukan Kelantan apabila menjaringkan hatrik pada babak kedua di minit ke-46, 66 dan minit ke-78.

Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha membuka jaringan Kelantan pada minit keenam dan 43 dan gol saguhati Perlis disumbangkan oleh Mohd Faiz Subri pada minit ke-11.

Perlis masih tercengkam di tangga terbawah liga dengan tujuh mata, selepas hanya mampu menang sekali dalam 13 perlawanan.

Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan Felda United mengatasi Kuala Lumpur 2-1 untuk kemenangan kelima.

Azrul Ahmad menjadi wira pasukan Felda United apabila menjaringkan dua gol tersebut pada minit ketujuh dan 13 manakala gol tunggal Kuala Lumpur diperoleh menerusi Syafiq Johair pada minit ke-43.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan Terengganu terus kekal di tangga kedua liga dengan 25 mata selepas seri 1-1 dengan Perak.

Perak, yang berada di tempat keempat liga dengan 23 mata, membuka jaringan pada minit kelapan menerusi Shafiq Jamal sebelum Abdul Hadi Yahya menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan T-Team dan Johor FC terikat 1-1.

Gol T-Team disumbangkan oleh Mohd Shahrul Ezrain pada minit ke-10 sebelum Johor FC menyamakan kedudukan menerusi jaringan Shahrizal Mohd Saad pada minit ke-48.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang dan Negeri Sembilan masing-masing berkongsi satu mata apabila seri 1-1.

Negeri Sembilan mendahului babak pertama dengan jaringan Idris Abdul Karim pada minit ke-10 sebelum Pahang bangkit di babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-79.

Sumber Dari
Bernama & Astro Arena

Tuesday, April 19, 2011

Anak dajal Moden Di Kajang

KAJANG: Nasihat diberikan seorang bapa kepada anaknya yang berkelakuan liar dibalas si anak dengan balingan topi keledar dan satu tumbukan di muka menyebabkan lelaki berusia 49 tahun itu cedera di kening dan terpaksa menerima rawatan di hospital.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi semalam di rumah mereka di Taman Bukit Mewah di sini dan sumber polis berkata, perbalahan antara dua beranak itu bermula dengan pertengkaran akibat salah faham.
Menurutnya, selepas si ayah menasihati anak lelakinya yang berusia 20-an itu, berlaku pertengkaran di antara mereka selama kita-kira 10 minit.

“Kemuncaknya, si anak naik berang lalu membaling topi keledar ke arah ayahnya, namun ayahnya sempat mengelak. Tidak puas hati dengan keadaan itu, anak terbabit bertindak lebih ganas dengan menumbuk muka bapanya hingga cedera di kening,” katanya di sini, semalam.

Sumber Dari:-
Harian Metro

Thursday, April 14, 2011

Kemalangan Depan Mata

Bukit Payong, Terngganu 12.04.2011.








Kemalanganni berlaku betul-betul didepan mataku, saya berada dibelakang kereta wira putih dari kg rawai lagi. Saya terkedu bila bunyi deboom dan terpaku bila wira dihadapan saya telah melanggar kereta wira merah yang undur masuk ke jalan utama..Di sini pada saya inilah yang dikatakan kemalangan tidak berbau..Saya bersyukur kepada Allah kerana bukan saya yang ditakdir berlaku dalam kemalangan itu..Syukur apabila hantar penumpang berbaju merah tu ke klinik kecemasan Bukit Payong, Doktor bertugas kata penumpang tersebut tidak mengalami ape2

Sunday, April 10, 2011

KEPUTUSAN LIGA SUPER FAM 2011: -Kelantan Mengamuk & Rampas Kembali Tahta Liga



T-Team Vs Selangor 2-0
Kelantan Vs Felda United 6-0
Perak Vs Sabah, 1-2
Terengganu Vs Harimau Muda A 3-1
Johor FC Vs Negeri Sembilan 0-0


KELANTAN terhutang budi kepada jiran Pantai Timur mereka, T-Team yang menjinakkan pendahulu, Selangor 2-0 untuk membolehkan The Red Warriors kembali menerajui Liga Super apabila merakamkan kemenangan 6-0 ke atas Felda United, malam tadi.

 Kekalahan itu menyaksikan Selangor tercicir ke tempat kedua yang sebelum ini diisi Perak berikutan kekalahan pertama Yob musim ini kepada Sabah, 2-1 di Stadium Likas.

Di Stadium Shah Alam, kegagalan Selangor memanfaatkan peluang keemasan pada separuh masa pertama dihukum Norfarhan Muhammad yang menanduk masuk pada minit ke-59 sebelum Indra Putra Mahayuddin menyapu garam ke luka dengan merembat masuk gol kedua enam minit sebelum tamat perlawanan.

Di Stadium Sultan Mohd IV, tuan rumah mendahului pada minit ke-33 apabila rembatan Mohd Shakir Shaari dari luar kotak penalti gagal ditepis penjaga gol Mohd Faizal Rashid. Gol lain tuan rumah adalah sumbangan Norshahrul Idlan Talaha (minit ke-40), Mohd Nizad Ayub (m-65,71), Danial Fazly Abdullah (m-82) dan Mohd Azuan Solahudin (m-89).

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu gah mengatasi Harimau Muda A 3-1. Apapun pelawat membuat kejutan mendahului pada minit ketujuh menerusi Syahrul Azwari Ibrahim sebelum Ashaari Shamsuddin menyamakan kedudukan minit ke-17. Dua lagi gol daripada Abdul Hadi Yahya (m-35) dan Ismail Faruqi (m-64) mengesahkan mata penuh tuan rumah.

Di Stadium JCorp, Johor FC terus kempunan meraih mata penuh di laman sendiri selepas sekadar seri 0-0 ketika menentang Negeri Sembilan.


Sumber Dari:
Berita Harian

Saturday, April 9, 2011

Serpihan Rumah & Kereta tsunami Jepun bergerak ke AS

NEW YORK - Sejumlah besar serpihan termasuk rumah, kereta, kapal, traktor, treler dan kereta kini dihanyutkan laut ke arah pantai barat Amerika Syarikat (AS) selepas tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu di timur laut Jepun, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut laporan berita stesen televisyen ABC, anggota-anggota Tentera Laut Armada Ketujuh AS mengesan serpihan itu yang terapung sekali gus menjadi ancaman kepada kapal.
Dalam tempoh tiga tahun, serpihan itu akan tiba dekat dengan pantai barat AS dan kemudian bergerak ke arah Hawaii dan berpusing semula ke arah Asia.
Putaran serpihan itu dikenali sebagai lingkaran Asia Pasifik.
Kebanyakan serpihan itu adalah plastik yang tidak akan patah menyebabkan ia akan mencetuskan kebimbangan mengenai pencemaran di laut dan mengancam kehidupan marin seperti penyu yang menggunakan laluan sama ke California dari Jepun.
Tsunami berlaku pada 11 Mac lalu akibat gegaran kuat gempa bumi yang berlaku di dalam laut dekat Sendai di timur laut Jepun mengakibatkan lebih 27,500 orang hilang dan terbunuh.

Sumber Dari:-
Agensi

Wednesday, April 6, 2011

Gempar:- Pegawai Kastam Ditemui Mati Di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Seorang penolong pengarah kastam Selangor, yang ditahan semalaman pada 1 April lepas bagi membantu siasatan rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini pagi Rabu.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali dalam satu sidang media di pejabat itu memberitahu bahawa Ahmad Sarbani Mohamed, 56, ditemui mati kira-kira 10.15 pagi.

"SPRM mengesahkan bahawa penama berkenaan adalah di antara pegawai Kastam yang telah ditahan pada 1 April 2011 jam 1 tengah hari di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Kelang.

"Penama tersebut setelah membantu dalam siasatan yang melibatkan operasi 3B iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, telah dilepaskan melalui jaminan pada hari Sabtu 2 April 2011 jam 12.30 tengah hari," katanya.

Beliau berkata mangsa, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang, telah meninggalkan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas dilepaskan melalui jaminan tersebut.

Mustafar berkata pada 8.26 pagi ini, mangsa datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan bersendirian dengan menunggang sebuah motosikal.

Difahamkan mangsa datang sendiri tanpa diarahkan ke pejabat SPRM itu, yang baru siap dibina dan diguna pakai Disember lepas.

Beliau berkata mangsa hadir untuk bertemu pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya dan oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat, maka mangsa menunggu di lobi pejabat sehingga pukul 9.30 pagi.

Menurutnya mangsa kemudian diiringi oleh seorang pegawai ke bilik pejabatnya untuk mendapatkan pegawai penyiasat menemui mangsa tersebut.

Pegawai yang mengiringi mangsa tersebut berada bersamanya dalam bilik pejabat pegawai berkenaan, katanya.

Mustafar berkata kira-kira pukul 10.15 pagi, pegawai yang mengiringi mangsa meninggalkan mangsa tersebut di pejabatnya dan keluar sebentar untuk mendapatkan pegawai penyiasat.

"Dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut kembali ke pejabatnya dan mendapati mangsa berkenaan tiada dalam bilik berkaitan. Setelah mencari dalam kawasan pejabat, seorang pegawai terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat 1 bangunan pejabat ini," katanya.

Menurutnya SPRM telah memaklumkan kejadian ini kepada keluarga Ahmad Sarbani dan pihak pengurusan jabatannya serta menyerahkan perkara ini kepada polis untuk mengambil sebarang tindakan.

Pada 2 April lepas, Mustafar mengumumkan pada sidang media bahawa SPRM telah menahan 62 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerusi Operasi 3b kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Ia membabitkan 53 pegawai lelaki serta sembilan wanita berusia antara 24 dan 56 tahun, termasuk seorang berjawatan pengarah.

Mustafar berkata operasi membabitkan lima pelabuhan utama negara termasuk Pelabuhan Klang yang menyaksikan tangkapan teramai iaitu 48 orang.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di mana mayat Ahmad Sarbani dihantar untuk dibedah siasat, mendapati anggota keluarganya berada di persekitaran bilik mayat sejak kejadian itu dimaklumkan kepada mereka.

Namun sehingga berita ini ditulis, media elektronik dan cetak dihalang menemuramah anggota keluarga Ahmad Sarbani oleh pegawai Kastam.

Pihak hospital juga tidak memaklumkan waktu bedah siasat itu selesai yang kelak dapat merungkai keputusan pakar patalogi mengenai punca kematian mangsa tersebut.

Sumber hospital memberitahu Bernama bagi kes berprofil tinggi seperti kejadian ini, ia memerlukan masa untuk bedah siasat disiapkan di mana ada wujudnya kemungkinan bedah siasat kali kedua.

Katanya, ini bagi membolehkan pihaknya mendapatkan keputusan bedah siasat yang betul dan sahih serta tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak kelak.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman, yang turut berada di HUKM, memberitahu media bahawa pihak Kastam perlu diberikan masa secukupnya bagi menenangkan keadaan ketika ini.

"Pihak kami akan memberikan bantuan kepada keluarga Ahmad Sarbani dan semua pihak diminta tidak mengeruhkan keadaan," katanya.

Usaha menghubungi Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf yang berada di Tasik Kenyir, Terengganu untuk mendapatkan komennya gagal, tetapi seorang pegawainya berkata beliau (Mohamed Khalid) akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini.

Mohamed Khalid berada di Tasik Kenyir untuk mempengerusikan Mesyuarat Pengarah Kastam SeMalaysia ke-65 yang bermula semalam.

Setiausaha Kesatuan Pekerja-Pekerja Kastam Malaysia, Mohd Mazlan Mohd Shaari yang dihubungi pula berkata pihak kesatuan belum memutuskan sebarang pandangan atau keputusan mengenai kes kematian itu dan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.

"Kejadian itu baru berlaku dan kita tidak tahu sangat mengenainya dan kita tunggu siasatan polis," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai sama ada kes kematian itu mempunyai kaitan dengan kes rasuah yang membabitkan pegawai kanan kastam sebelum ini.

"Kita akan mengadakan sidang media mengenai kes itu Jumaat ini dan kita akan menyatakan pandangan kesatuan mengenai perkara itu," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Sarbani.


Sumber Dari:-
Bernama
TQ

KEPUTUSAN LIGA SUPER FAM 2011: -Kelantan Kecundang, Selangor Ungguli Tahta


Keputusan Liga Super 5 April 2011

Selangor Vs Harimau Muda A 2-1
Perak Vs Perlis 2-1
T-Team Vs Kelantan 4-3
Johor FC Vs Kedah 2-1
Kuala Lumpur Vs Negeri Sembilan 1-0
Felda United Vs Sabah 1-1

KUALA LUMPUR, 5 April
Selangor berjaya melonjakkan diri ke tangga teratas Liga Super setelah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Harimau Muda A pada perlawanan di Stadium Shah Alam Selasa.

Dengan kemenangan tersebut, Selangor kini mengumpul 20 mata iaitu satu mata di hadapan pencabar terdekat, Perak selepas sembilan perlawanan.

Harimau Muda A terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-6 menerusi Mohamad Fandi Othman.

Pada babak kedua perlawanan, tertekan dengan jaringan pihak lawan, Selangor memperolehi jaringan pertama menerusi Mohd Asaruddin Putra Omar pada minit ke-80.

Gol kemenangan skuad bimbingan K. Devan itu akhirnya disumbangkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-84.

Turut berjaya memperbaiki kedudukan hasil kemenangan Selasa ialah Perak yang kini menduduki tangga kedua liga hasil kemenangan 2-1 ke atas Perlis di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan pelawat, Perlis terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-42 menerusi Azwan Zainon.

Gol Perak disumbangkan oleh Shahrulnizam Mustafa pada minit ke-56 dan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-88.

Pendahulu liga sebelum ini, Kelantan mengalami nasib berbeza apabila tewas 3-4 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Akibat kekalahan tersebut, Kelantan kini jatuh ke tangga ketiga liga dengan kutipan 17 mata.

T-Team membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi Zairo Anuar Zailani, Norfarhan Muhammad pada minit ke-51 dan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-62.

Tertekan dengan kedudukan 0-3, pasukan Kelantan menukar rentak dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Danial Fadzly Abdullah (minit ke-62 dan 86) dan S. Chanthuru pada minit ke-78.

Gol kemenangan T-Team disumbangkan oleh Mohd Haris Safwan pada minit ke-86.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Johor FC mengalahkan Kedah 2-1.

Gol bagi Johor FC disumbangkan oleh Fendi Ahmad (minit ke-37) dan Mohd Rashid Mohd Aya (minit ke-52).

Manakala gol saguhati Kedah dijaringkan oleh Mohd Khyrel Muhymeen pada minit ke-52.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Kuala Lumpur menang tipis ke atas Negeri Sembilan 1-0, hasil jaringan Mohd Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-5.

Felda United pula seri 1-1 dengan Sabah pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sumber Dari:-
BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...