Sunday, December 11, 2011

CLIXSTER MEMBANTU PENGGUNA BANKRAP

PUTRAJAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diminta mencari jalan membantu pegawai dan kakitangan kerajaan serta ahli koperasi yang diisytiharkan bankrap oleh pihak bank ekoran hutang kad kredit.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bagi membantu penghutang yang terpaksa menanggung beban dan hutang yang banyak selepas muflis. Katanya, langkah itu juga satu daripada peranan Angkasa sebagai badan koperasi yang bertanggungjawab melindungi ahli koperasi sekiranya menghadapi masalah kewangan.

“Melalui Koperasi Pembayaran Syariah Angkasa (Kopsa), mereka boleh membantu mereka yang dibelenggu hutang dengan mengambil alih hutang mereka.
“Jika mereka tak mampu bayar, bank akan mufliskan mereka sekali gus memberi kesan kepada penghutang itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perkhidmatan Telekomunikasi Mudah Alih my Angkasa, 1 Koperasi 1 Jaringan 1 Komuniti, di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd Zain Mohd Dom, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Mohd Ali Baharum.

Projek dengan kerjasama Angkasa dan Samata Communications Sdn Bhd itu, bertujuan melancarkan telekomunikasi mudah alih 3G berkonsepkan teknologi MVNO bagi 8.4 juta ahli koperasi dengan jenama Clixster.

Ismail Sabri berkata, cara itu juga dapat membebaskan kakitangan kerajaan dan ahli koperasi daripada menanggung hutang dengan pihak bank. “Soal nak bayar semula hutang itu akan dibincangkan semula dengan pihak bank. Sekurang-kurangnya, usaha ini dapat menyelamatkan mereka daripada bankrap.

“Kami juga pernah membincangkan perkara ini bersama Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi mencari jumlah sebenar kakitangan kerajaan yang menanggung hutang kad kredit,” katanya.

Sementara itu, beliau menggalakkan koperasi mikro bergabung dengan koperasi besar untuk terbabit dalam beberapa sektor berteknologi tinggi dan berskala besar.
Katanya, penggabungan itu dapat mewujudkan modal yang lebih besar dalam usaha menggalakkan koperasi kecil menceburi bidang perniagaan yang mendatangkan keuntungan.

TQ

KeluargaKu
Sumber dari: Harian Metro & Clixster Malaysia FB
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...