Tuesday, March 1, 2011

Pembantu Am Pejabat Tanah Didakwa Terima Suapan RM1,300

KUALA TERENGGANU, 1 Mac -- Seorang pembantu am rendah di Pejabat Tanah di sini, Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM1,300, empat tahun lepas.

Hussin Che Mohamad, 52, didakwa menerima suapan itu daripada Mohd Shahril Saleh sebagai dorongan untuk menukar nama hak milik tanah milik Omar Ismail yang telah meninggal dunia kepada nama bapa saudara Mohd Shahril, Mohamad Awang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 12.40 tengah hari 14 Jan 2007.

Hussein didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Azman Mustapha menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Hashim.
 
 Sumber Dari:
BERNAMA & Berita 1.30 TV3

PKFZ: Chan Kong Choy Didakwa Tipu Bekas Pak Lah

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) --



ABDULLAH dan Kong Choy hadir pada satu sidang akhbar di Putrajaya pada Oktober 2005 ketika mereka masih dalam kerajaan.


Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin atas tiga pertuduhan menipu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).


Chan, 55, dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) sebagai pemaju siap guna untuk projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ antara 2004 dan 2006, berjumlah RM1.9 bilion.

Beliau didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan menipu itu di Tingkat 4, blok utama Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. Chan, yang memakai kemeja lengan panjang biru muda dan seluar kelabu berdepan hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan Chan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes.

Chan meninggalkan kawasan mahkamah pada 4.35 petang selepas membayar ikat jamin itu. Beliau ditemani isterinya Puan Sri Ann Chan dan anak perempuan mereka.

"Bagi saya, ini sesuatu yang mengejutkan. Tetapi, bagaimanapun, saya yakin dengan sistem kehakiman negara. Saya akan mengharunginya dan membersihkan nama saya," jawab Chan kepada soalan pemberita.

Prosiding mahkamah yang bermula 2.10 petang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit, dengan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Malaysia kepada Chan, yang kemudiannya menjawab "mengaku tidak bersalah".



Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwa memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes, sebulan dari hari ini bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pihak pembelaan bertukar dokumen dan mengenal pasti isu.

Abdul Gani mencadangkan pihak-pihak dalam kes itu mengadakan persidangan praperbicaraan untuk mengelakkan isu dan fakta yang tidak perlu daripada dibangkitkan di mahkamah.

Membantu Abdul Gani ialah dua Timbalan Pendakwa Raya iaitu Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup manakala Chan diwakili tiga peguam bela, Arthur Wang, Badrul Munir Bukhari dan Azad Bashir.

Bagi pertuduhan pertama, Chan didakwa menipu Abdullah untuk bersetuju untuk meluluskan KDSD sebagai pemaju siap guna bagi projek Hab Pemindahan di Zon Bebas Pulau Indah, kawasan seluas 1,000 ekar, menerusi satu fasa sahaja dengan kos pembangunan dianggarkan RM1 bilion.

Chan dituduh melakukan kesalahan itu antara 11 Okt, 2005 dan 28 Okt, 2005.

Bagi pertuduhan ketiga, Chan dituduh menipu Abdullah untuk meluluskan KDSB sebagai pemaju siap guna untuk melaksanakan lima lagi pembangunan tambahan di PKFZ.

Kerja pembangunan itu ialah kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah berjumlah RM140.2 juta, kerja bekalan elektrik 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 berjumlah RM80 juta, kerja infrastruktur PMU bagi PKFZ berjumlah RM30 juta, pembinaan jalan menghubungkan PKFZ ke Pelabuhan Barat berjumlah RM28.1 juta dan pembinaan jalan menghubungkan pintu masuk utama PKFZ dengan Terminal Kargo 4, Pelabuhan Barat berjumlah RM57.5 juta.

Chan dituduh mendorong Abdullah untuk bersetuju untuk memberikan kelulusan dengan cara tidak jujur telah menyembunyikan fakta bahawa kos pembiayaan pembangunan itu adalah dengan cara pengeluaran bon oleh KDSD menerusi Capital Berhad dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan, di mana Abdullah tidak akan berbuat demikian sekiranya fakta itu didedahkan kepadanya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 28 Mac, 2006 dan 29 Mac, 2006.

Chan ialah orang kenamaan kedua dituduh berhubung projek itu.

Pada 29 Julai, tahun lepas, bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal PKFZ melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion.

Kes Dr Ling telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk dibicarakan.

Terima Kasih Kepada:
BERNAMA

PERLAWANAN TUMPUAN LIGA SUPER FAM 1.03.2011: - Kelantan VS Negeri Sembilan, Kelate mesti mene

KELANTAN tidak mempunyai pilihan kecuali perlu mengatasi Negeri Sembilan malam ini jika berhasrat untuk terus menghuni tangga teratas Liga Super ketika tekanan yang diberikan oleh Perak semakin memuncak.

NORSHAHRUL (kanan) akan terus menjadi taruhan Kelantan untuk memusnahkan gawang pasukan Negeri Sembilan malam ini.

Hakikat tersebut disedari oleh ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu yang mengakui bahawa para pemainnya mula merasai tekanan untuk terus memacu persada liga yang kini terpaksa berkongsi mata dengan Perak.

Namun, Kelantan tetap menera- jui liga dengan kelebihan jaringan.

Menurutnya, biarpun kelebihan dilihat berpihak kepada Kelantan ketika aksi tersebut dijadualkan berlangsung di Kota Bharu, namun aksi menentang Negeri Sembilan yang berjaya mencatat kemenangan Sabtu lalu adalah tugas yang sukar.

"Mereka mempunyai jentera serangan yang cukup efektif dengan kombinasi empat penggempur utama iaitu Zaquan (Adha), Ahmad Fakhri (Shaarani), Hairuddin (Omar) dan Kuna (S. Kunalan) dan saya mahu semua pemain perta- hanan Kelantan bersedia.

"Kita juga sedang mempersiapkan penggempur kita untuk memastikan peluang yang terhidang disudahkan sebaik mungkin.

"Kita tidak boleh leka kerana kita boleh kehilangan mata," kata- nya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau agak terkilan dengan aksi pasukannya ketika menentang Kedah kerana The Red Warriors sepatutnya berjaya mengutip mata penuh, namun ketum- pulan jentera hadapan memusnahkan impian tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, beliau berpuas hati dengan corak permainan pasukannya kerana kerap mengancam Kedah melalui serangan pantas, dan bahagian tengah juga bertindak cemerlang untuk membuka peluang menjaringkan gol tetapi dihampakan penyudah yang lemah.

"Apabila pemain lain sudah bersedia membuat serangan, sepatut- nya pemain penyerang perlu cepat mencari kedudukan yang sesuai dan bijak untuk melakukan penyudah tetapi apabila itu tidak berlaku ia menyebabkan gerakan anda berakhir dengan kekecewaan.

"Bola sepak hari ini menuntut kepantasan dan kebijaksanaan. Anda tidak perlu memegang bola terlalu lama ketika berada di dalam kotak penalti.

"Jika ada peluang seperti itu, pemain perlu bijak menyudahkannya," ujarnya.

Mengulas mengenai kesebelasan yang akan diturunkan menen- tang Negeri Sembilan malam ini, Karathu berkata:

"Kita akan turunkan kesebelasan yang terbaik dan semua pemain saya bebas daripada kecederaan termasuk Zairul Fitree (Ishak) dan S. Chanturu yang sudah pulih daripada kecederaan otot ketika menentang Kedah.

"Ramzul (Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan (Talaha) akan terus mengemudi bahagian hadapan dan kedua-dua pemain ini mempunyai kepantasan untuk merobek gawang Negeri Sembilan."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...