Showing posts with label Berita Luar Negara. Show all posts
Showing posts with label Berita Luar Negara. Show all posts

Saturday, November 12, 2011

Keindahan Ciptaan Yang Esa Di LAUT MATI







Gambar-gambar pemandangan dari udara ini menunjukkan fenomena menakjubkan pembentukan garam
Tasik air masin ini kaya dengan mineral dan menjadi kawasan titik paling rendah di daratan bumi.

Ia tersenarai sebagai 28 finalis dalam kempen global dan jika terpilih melalui sistem undian, Laut Mati akan diisytiharkan sebagai Tujuh Keajaiban Alam Semula jadi yang baru, pada bulan ini.

Saturday, November 5, 2011

Israel Mahu Serang Iran....

TEL AVIV - Jika dunia hiburan kerap dikejutkan dengan pelbagai gosip hangat mengenai selebriti dan kehidupan mereka, dunia antarabangsa juga tidak kurang hebatnya.

‘Ruangan gosip’ dalam perhubungan antarabangsa sejak beberapa hari lalu mula diisi dengan spekulasi bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sedang mendapatkan sokongan Kabinet negara itu untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran, rancangan yang dianggap Teheran sebagai cubaan membunuh diri oleh Tel Aviv.


Spekulasi itu mula timbul apabila akhbar Israel, Haaretz melaporkan seorang pegawai kanan kerajaan mengesahkan Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak cuba mendapatkan sokongan anggota Kabinet yang tidak bersetuju dengan rancangan menyerang kemudahan nuklear Iran.

Netanyahu dan Barak juga baru-baru ini berjaya memujuk Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman untuk menyokong rancangan mereka walaupun sebelum ini Lieberman menentang serangan ke atas Iran.

Namun, Barak menafikan laporan media Israel bahawa dia dan Netanyahu telah membuat keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Iran walaupun rancangan itu dikatakan ditentang ketua tentera dan agensi perisikan Zionis.

“Anda tidak perlu menjadi seorang yang genius untuk memahami bahawa pada zaman ini di Israel, dua individu tidak boleh membuat keputusan mereka sendiri,” katanya seakan-akan mengesah-kan kewujudan rancangan serangan itu.

Rancangan itu sebenarnya tidaklah terlalu mengejutkan kerana rejim Zionis pernah melancarkan serangan udara dan memusnahkan reaktor nuklear yang masih dalam pembinaan di Iraq, pada Jun 1981 dengan sokongan kuat bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang menjadi anggota Kabinet Keselamatan pada masa itu.

Dakwaan terbaru ini dikuatkan lagi dengan laporan akhbar Kuwait, Al-Jarida, semalam, bahawa Netanyahu mengarahkan agensi perisikan Israel menyiasat bagaimana perbincangan mengenai serangan ke atas Iran terlepas kepada media.

Sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat pula enggan memberi sebarang kenyataan mengenai laporan akhbar itu tetapi Washington kerap mengulangi akan mempertimbang menggunakan cara ketenteraan untuk menghalang Iran membangunkan senjata nuklear.

Tentunya rancangan gila Zionis ini menaikkan kemarahan Iran, dengan ketua tentera negara itu, Jeneral Hassan Firouzabadi memberi amaran rejim Israel akan menerima hukuman setimpal jika sebarang serangan dilancarkan.

“Kami menganggap sebarang ancaman sebagai ancaman sebenar. Dengan menggunakan peralatan yang betul, kami bersedia menghukum mereka dan membuat mereka menyesal,” katanya

Tq
Sumber Dari:
Sinar Harian Dunia

Wednesday, October 26, 2011

Jenazah Gaddafi Selamat dikebumikan Jua Akhirnya

SEORANG jurugambar semalam merakamkan tempat mayat Muammar Gaddafi diletakkan di dalam sebuah bilik sejuk beku di Misrata sebelum ia dipindahkan untuk dikebumikan di gurun Sahara.
MISRATA - Jenazah bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi telah dikebumikan di sebuah lokasi rahsia di gurun Sahara semalam bersama dengan seorang anak lelakinya, Motassim, kata seorang pegawai kerajaan sementara. "Jenazah itu telah dibawa pada awal pagi dan baru dikebumikan di gurun bersama dengan anaknya," kata pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) itu, Abdel Majid Mlegta. Menurutnya, hanya dua orang yang amanah diberikan kepercayaan untuk melakukan misi rahsia itu. "Mereka itu bukannya pengawal tetapi orang amat dipercayai NTC," katanya. "Apa yang boleh saya katakan adalah proses pengebumian itu memakan masa dan dilakukan jauh daripada pihak media," tambahnya. Solat jenazah dua beranak itu dilakukan oleh guru agama peribadi Gaddafi, Khaled Tantoush

Pelawat melihat jenazah Muammar Gaddafi di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.
Khaled ditangkap bersama dengan Gaddafi sebelum mereka berpindah dari Misrata. Dua sepupu Gaddafi, Mansour Dhao Ibrahim dan Ahmed Ibrahim yang ditangkap bersama Gaddafi selepas konvoi dinaiki mereka diserang jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, turut menghadiri penghormatan terakhir untuknya. Jenazah itu dikebumikan pada waktu subuh. Gaddafi, 69, mati akibat kecederaan ditembak di bandar kelahirannya selepas dia ditemui dalam saluran pembetungan di bawah sebuah lebuh raya pada Khamis lalu. Anaknya, Motassim turut mati ditembak dekat leher selepas ditangkap oleh para pejuang NTC. Mayatnya itu kemudian dipamerkan kepada orang ramai di dalam sebuah bilik sejuk di sebuah pasar di Misrata. Sebelum dikebumikan, pemerintah sementara Libya telah bertindak melarang orang ramai daripada melihat jenazah Gaddafi, anak lelakinya, Mutassim dan seorang ketua tenteranya, Abu Bakr Younis.

JENAZAH Motassim Gaddafi yang dipamerkan kepada orang ramai di sebuah bilik sejuk beku di Misrata kelmarin.

Beberapa pengawal mengunci pintu pagar yang menempatkan bilik sejuk beku tempat jenazah Gaddafi bersama dua yang lain disimpan di Misrata. Pintu peti sejuk beku itu yang kerap dibuka bagi membolehkan orang ramai masuk menyebabkan ketiga-tiga jenazah tersebut cepat mereput dan berbau busuk. Pengawal-pengawal memberikan topeng bedah kepada pelawat untuk melindungi mereka daripada bau busuk. Mereka juga menyembur bahan pembasmi kuman pada jenazah tersebut. Menurut beberapa pengawal di pintu pasar tersebut, satu konvoi empat hingga lima buah kenderaan terlibat dalam proses membawa jenazah berkenaan pada lewat malam kelmarin ke sebuah lokasi rahsia. Kerajaan sementara Libya akan menubuhkan suruhanjaya untuk menyiasat kematian Gaddafi. Menurut seorang pengawal di pasar itu, dia melihat permit pengebumian tersebut yang menyatakan terdapat dua tembakan, satu di kepala dan satu lagi di dada Gaddafi.

Tq
Sumber Dari:-
Kosmo & Agensi

Saturday, October 22, 2011

7 perangai pelik dan unik Muammar Gaddafi


TRIPOLI: Muammar Gaddafi yang memerintah Libya selama 42 tahun kini menjadi sejarah dan bakal dikenang sebagai diktator yang didakwa menaja keganasan di negara luar.
Namun, di sebalik legasi itu, Gaddafi juga akan diingat sebagai tokoh yang suka melakukan perkara pelik.

CARA HIDUP LUAR BIASA...selain sentiasa dikawal sehingga 40 anggota keselamatan khas terdiri daripada anak dara
Laman sesawang ABCNews.com menyenaraikan tujuh keanehan utama yang dilakukan Gaddafi sepertimana berikut :-

  • Khemah kalis peluru: Ketika berada di Tripoli, Gaddafi tinggal dalam kubu dilengkapi dengan rangkaian sistem terowong untuk menyelamatkan diri.


    Apabila berkunjung ke luar negara, tokoh berdarah Badwi itu membawa bersamanya khemah untuk dipasang di tempat difikirkan sesuai.

    Disebabkan set khemah kalis peluru itu terlalu berat, ia terpaksa diangkut menggunakan pesawat berasingan yang mengiringi ke mana saja Gaddafi pergi.

    Untuk menghidupkan suasana padang pasir, dia juga menambat seekor dua unta di luar khemahnya.

  • Pengawal anak dara: Nampaknya pengawal ini tiada ketika mereka sangat diperlukan apabila Gaddafi ditangkap kelmarin, tetapi biasanya tokoh itu dikelilingi 40 anggota terlatih sepanjang masa.

    Digelar sebagai Amazon, pengawal wanita itu dilaporkan semuanya masih dara dan mereka berikrar mempertahankannya sebelum menyertai pasukan berkenaan.

    Dilatih di sebuah pusat latihan wanita, pengawal terbabit dipilih sendiri oleh Gaddafi dan mengenakan mekap, kasut but bertumit tinggi.

  • Jururawat seksi: Selama sedekad, seorang jururawat Ukraine, Galyna Kolotnytska, sering dilihat berada di sisi Gaddafi.

    Digambarkan sebagai mempunyai bentuk badan mengghairahkan, Galyna didakwa seorang daripada pembantu paling dipercayai Gaddafi dan dipercayai menjalin hubungan romantik dengan diktator terbabit.

    Sejumlah jururawat Ukraine turut berkhidmat untuk Gaddafi dan mereka memanggilnya dengan gelaran “papa” atau “daddy”.

  • Jatuh hati kepada Condoleezza Rice: Pada 2007, Gaddafi menggelar bekas Setiausaha Negara AS itu sebagai “wanita kulit hitam Afrika yang dikasihi.”

    Ketika Condoleezza melawat Tripoli pada 2008, Gaddafi memberikan pelbagai hadiah bernilai AS$200,000 (RM629,880), termasuk cincin.

    Bagaimanapun, minatnya kepada wanita itu hanya terbongkar selepas pemberontak menawan Tripoli.

    Antara barangan yang ditemui di situ, satu album mengandungi puluhan gambar Condoleezza.

  • Takut menaiki pesawat dan lif: Antara alasan Gaddafi gemar membawa bersamanya khemah jika ke tempat lain adalah kerana bimbang terpaksa menggunakan lif untuk menginap di hotel.

    Melalui kabel diplomatik yang bocor, Gaddafi juga tidak suka berada di tempat tinggi dan enggan terbang lebih dari lapan jam.

    Jika perlu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gaddafi akan singgah bermalam di Portugal.

    Had maksimum anak tangga yang mahu dinaikinya hanyalah 35 langkah.

  • Bunga Bunga: Pada 2010, satu daripada aktiviti masa lapang Gaddafi didedahkan melalui laporan pendakwa Itali yang menyiasat salah laku Perdana Menteri Silvio Berlusconi.

    Menurut laporan, pelacur berusia 17 tahun yang dilanggan Berlusconi, Karima el-Magroug, mendakwa Perdana Menteri Itali itu mengaku “menggunakan formula Gaddafi” ketika mereka berfoya-foya.

  • Pakaian aneh: Ketika pemimpin negara berbaris untuk bergambar bersama, amat mudah mengenali Gaddafi kerana pemilihan pakaiannya yang berbeza daripada yang lain.

    Biasanya, Gaddafi mengenakan pakaian khas yang direka hasil gabungan di antara seragam tentera yang diubah suai dengan tradisi Badwi Afrika.

  • Tq

    Sumber Dari:-
    ABC & Harian Metro

    Friday, October 21, 2011

    Video Nyawa Gaddafi berakhir Ditangan Pemberontak...

    Video dibawahni adalah sejarah perjalanan hidup Gaddafi dari beliau melakukan rampasan kuasa hingga bagaimana dia dibunuh kejam Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi meninggal dunia akibat kecederaan parah, semalam, semasa pemberontak melancarkan serangan ke atas bandar kelahirannya di Sirte, Libya, sekali gus menandakan pengakhiran rampasan kuasa berdarah yang bermula di negara itu lapan bulan lalu. Kematiannya disahkan Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC), Mahmoud Jibril dan disertai penyiaran gambar Gaddafi yang berlumuran darah oleh stesen televisyen Libya.Mayat Gaddafi yang diheret pemberontak di atas jalan raya selepas kematiannya.

    Rampasan Kuasa Di Libya :- Muammar Gaddafi Ditembak Mati & Mayatnya Diheret

    Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.

    Bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya sewaktu ditangkap berhampiran bandar kelahirannya di Sirte, kata seorang pegawai kanan tentera Majlis Peralihan Nasional (NTC). Pegawai NTC, Abdel Majid sebelum ini dilaporkan berkata  Gaddafi  telah ditangkap dan kedua-dua belah kakinya cedera ketika cuba lari dalam satu konvoi yang diserangkan jet pejuang Nato.
      
    "Dia juga terkena tembakan di kepalanya," kata para pegawai. "Banyak tembakan dilepaskan ke atas kumpulannya dan dia mati.

    Rakaman televisyen menunjukkan mayat bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi yang berlumuran darah diheret dan dikasari pasukan tentera anti Gaddafi.

    Menurut Reuters, dalam rakaman yang disiarkan stesen Al Arabiya, muka Gaddafi berlumuran darah dan tentera anti-kerajaan mengheret mayat bekas pemimpin itu di atas tanah manakala terdapat kesan luka di kepalanya.

    Rangkaian televisyen Al Jazeera pula menyiarkan rakaman mayat Gaddafi yang hampir bogel sehingga paras pinggang diletakkan di atas tanah.

    NONEAl Jazeera turut menyiarkan gambar mayat Gaddafi di belakang ambulans dan mukanya tidak berlumuran darah.

    Pemimpin yang memerintah negara itu selama 42 tahun itu dilaporkan merayu: "Jangan bunuh saya, anak saya."
    Beliau dilaporkan masih hidup ketika ditangkap tetapi meninggal dunia sejam kemudian.

    Rakyat Libya yang berang menarik rambut bekas pemimpin itu sebelum berarak membawa Gaddafi yang sudah berlumuran darah di belakang sebuah kenderaan.

    Dalam pada itu, AFP pula melaporkan pemimpin kerajaan sementara Libya, Mustafa Abdel Jalil akan mengisytiharkan pembebasan Libya dan memberi maklumat terperinci mengenai kematian Muammar Gaddafi, kata perdana menteri kerajaan sementara, Mahmud Jibril kepada pemberita.

    “Abdel Jalil akan muncul hari ini atau selewat-lewatnya esok untuk mengisytiharkan pembebasan negara ini dan mengumumkan maklumat terperinci mengenai kematian Gaddafi,” kata orang nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (NTC) itu.

    “Dengan pengumuman itu semua mereka yang jahat, termasuk Gaddafi telah dihapuskan dari negara tercinta ini ... ini adalah masa bagi Libya untuk memulakan negara baru, sebuah Libya yang bersatu, satu rakyat dan satu masa depan,” katanya.
    Gaddafi, 69, terbunuh dalam serangan tentera kerajaan sementara Libya dibantu oleh tentera udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran bandar Sirte, petang semalam.


    Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Mutassim, anak kelima Gaddafi.

    Kematiannya menamatkan pemburuannya selama dua bulan sejak beliau melarikan diri setelah kejatuhan Tripoli ke tangan tentera pemberontak pada Ogos lalu.

    Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Majid Mlegata, sebelum itu melaporkan Gaddafi berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri secara berkonvoi dalam satu serangan itu.

    NONEBekas pemimpin itu mengalami cedera parah di kedua-dua belah kakinya.

    “Ketika ditangkap, dia (Gaddafi) turut dikasari dan dipukul di kepala (oleh tentera kerajaan sementara Libya),” kata Mlegata.

    Gambar-gambar merakamkan keadaan pakaiannya berlumuran darah tersebar di Internet.

    Seorang pegawai NTC, Mohamed Abdel Kafi berkata, jenazah Gaddafi dibawa ke satu lokasi rahsia atas faktor keselamatan.

    ‘‘Jenazahnya dibawa ke lokasi yang dirahsiakan menggunakan sebuah kenderaan NTC,” kata Mohamed.

    Bekas Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Gaddafi, Abu Bakr Younis turut terbunuh dalam serangan tersebut.

    Gaddafi menghadapi penentangan daripada rakyatnya sejak Februari lalu sebelum melarikan diri dari Tripoli setelah ibu negara Libya itu jatuh ke tangan pemberontak dengan bantuan NATO pada Ogos lalu.

    Sejak kejatuhan Tripoli, Gaddafi melarikan dan meneruskan perjuangan untuk kembali berkuasa, manakala sebahagian ahli keluarganya termasuk isteri dan anak perempuannya telah melarikan diri ke Algeria.

    Sebelum ini, anak lelakinya, Khamis, 28, terbunuh dalam pertempuran di Tarhouna, selatan Tripoli, Libya pada 29 Ogos lalu.

    Khamis merupakan komander Briged Elit ke-32 tentera yang dikatakan berjaya menumpaskan pemberontak di timur Benghazi pada Februari lalu.

    Pada 30 April lalu, seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Arab dan tiga cucunya terbunuh dalam pertempuran dengan tentera NATO di Bab al-Aziziya, Tripoli.



    Susulan daripada peristiwa berdarah ini, Penganalisis bebas, Lipow Andrew, berkata pasaran minyak dijangka akan bertindak balas hari ini dengan mengunjurkan harga yang lebih rendah dalam "tanda lega selepas konflik semakin berakhir."



    Namun, Lipow berkata, ia akan mengambil masa untuk pasaran kembali stabil selepas kenaikan harga yang besar terhasil dari penggantungan eksport minyak Libya sejak pemberontakan bermula pada Februari lalu.

    Minyak diniagakan pada sekitar AS$84 setong dan menokok di atas AS$93 dan terus meningkat tinggi melebihi AS$110 pada akhir April. Permintaan dari pasaran baru muncul termasuk China juga mendorong harga yang semakin meningkat.

    Harga minyak jatuh baru-baru ini bersama stok susulan kebimbangan mengenai ekonomi global.

    Tq

    Sumber Asal Dari
    Malaysiakini & Online Berita

    Monday, October 17, 2011

    Syed Mokhtar: Bagaimana Dia Bermula

    Latar Belakang Syed Mokhtar
    - Umur - 53 tahun
    - Pendidikan - SPM
    - Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
    - Kekayaan -RM1,425 juta
    - Ke 7 terkaya di Malaysia
    - Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
    - Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia, DRB-HICOM dan Bank Muammalat
    - Kereta - Proton Perdana

     Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000 pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu untuk tunaikan haji.

    - Bagaimana sumbangan sosialnya bermula
    Bilamana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi (RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadhan. 


    Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar yang kita kenali hari ini.
    1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan

    2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

    3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.

    4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

    5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

    6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

    7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

    8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.

    9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

    10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

    11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di bawah.

    12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

     13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang lain berusaha mereka marah


    14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

    15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

    16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .

     17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

    18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

    19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

    20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

    21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

    22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini (wang).

    23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

    24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

    25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.

    26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

    27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

    28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi sama.

    29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan .

    30. ....kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

    31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

    32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.

    33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

    34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

    35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

    36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
    37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

    38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.

    39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

    40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

    41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan fokus.

    42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

    43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

    44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

    45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

    46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.

    47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

    48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

    49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.

    50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.

    Untuk Renungan Diri Sendiri & Bersama
    Kepada anak-anak ibu;
    " Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan"
    (Surah Al-Kahfi: Ayat 46)

    TQ
    Sumber Dari:
    Rakan blogger ceritaibu.blogspot.com

    Sunday, September 11, 2011


    11 September 2011: TRAGEDI yang menggemparkan Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001 sudah menjangkau sedekad dan faktanya kini telah banyak berubah dan semakin mengelirukan sekali gus, mencetuskan lebih banyak persoalan yang tidak dijawab oleh Washington.

    Satu tinjauan yang dilakukan oleh BBC; The Conspiracy Files, Julai lalu mendapati sebanyak 14 peratus rakyat Britain dan 15 peratus penduduk di AS tidak percaya dengan penjelasan rasmi kerajaan bahawa kumpulan militan Al-Qaeda bertanggungjawab menjadi dalang serangan 9/11.

    Hasil tinjauan terhadap golongan berumur 16 hingga 24 tahun di kedua-dua negara itu mendapati mereka percaya kerajaan AS sememangnya merancang serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang telah mengorbankan kira-kira 3,000 orang.

    Laporan Suruhanjaya Siasatan 9/11 juga masih gagal membuktikan wujudnya konspirasi kerana kelicikan pihak tertentu menyembunyikan bukti sebenar dan ia jarang sekali dinyatakan dengan terperinci.

    Dakwaan AS yang kononnya 19 lelaki bersenjatakan pisau berjaya melepasi kawalan keselamatan yang sangat ketat di lapangan terbang, sekali gus merampas empat pesawat komersial dan memusnahkan tiga mercu tanda di AS dalam tempoh 77 minit seakan sukar dipercayai.

    Bagaimana kumpulan itu berjaya lolos daripada kawalan pasukan keselamatan AS yang sering dilabel sebagai ‘kebal’ dan sukar dibolosi tetapi dengan mudah serta sekelip mata boleh ditawan sekumpulan lelaki yang hanya bersenjatakan pisau pemotong kotak?

    Jika tragedi 9/11 benar-benar satu konspirasi, apakah motif sebenar kenyataan saksi, pegawai penyiasat dan pakar yang didedahkan kepada umum sejak 10 tahun lalu?

    Adakah ia bertujuan untuk menagih simpati umum?

    Sehingga kini, tiada siapa yang tahu ‘cerita sebenar’ di sebalik kejadian 9/11 kerana terlalu banyak fakta yang ditokok tambah dan istilah Islamofobia juga sengaja diwujudkan untuk mencetuskan diskriminasi serta rasa prejudis negara Barat terhadap Islam.

    Adakah anda juga percaya tragedi 9/11, sedekad lalu sememangnya satu konspirasi AS sama seperti insiden pembunuhan kejam pemimpin utama Al-Qaeda, Osama Laden, Mei lalu?

    Jika ya, ini membuktikan teori konspirasi AS tidak berjaya untuk memutar -belitkan fakta dan dapat mengaburi mata dunia.

    Dimanakah kebenarannya,Hanya Allah yang tahu....?

    TQ
    KeluargaKu
    Sumber Dari: Sinar Harian
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...