Showing posts with label KAFA The Red Warrior. Show all posts
Showing posts with label KAFA The Red Warrior. Show all posts

Monday, October 17, 2011

Datuk M.K Tinggalkan The Red Warriors

KOTA BAHARU, 17 Okt 2011
Ketua Jurulatih Kelantan Datuk M.Karathu mengesahkan beliau tidak akan membimbing pasukan The Red Warriors pada musim depan untuk memberi peluang kepada jurulatih lain.

Karathu berkata sudah tiba masanya beliau bersama keluarga setelah banyak meluangkan masa kepada kerjayanya.

 "Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa, pemain, penyokong dan semua yang lain ketika saya melatih Kelantan selama semusim.

"Sudah sampai masanya bagi saya memikirkan untuk berehat bersama keluarga yang saya tinggalkan demi karier bola sepak selama ini. Kelantan sangat dekat di hati saya. Terima kasih semua," katanya mengulas haluan baru selepas Kelantan gagal beraksi di peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Pada saingan suku akhir Jumaat lepas, Kelantan tewas kepada musuh tradisi iaitu Terengganu, yang juga juara Piala FA, dengan agregat 5-3, sekaligus meranapkan impian mempertahankan kejuaraannya.

Ketika Karathu bersama Kelantan bagi meneruskan legasi B.Sathianathan, yang juga bekas jurulatih kebangsaan, beliau berjaya membawa The Red Warriors menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Super serta naib johan Piala FA.

Beliau juga pernah membimbing Kelantan pada 1993 hingga membawa pasukan itu ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA.

"Saya berpuas hati dengan dua kemenangan selama semusim ini, walaupun gagal membawa Kelantan ke final Piala Malaysia sekali lagi," katanya yang menafikan menerima tawaran pasukan lain, sebaliknya memberi alasan mahu berehat bersama keluarga.

Bagaimanapun, Karathu sedia memberikan sumbangan dalam bentuk lain kepada Kelantan, jika diminta berbuat demikian oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Saya dengan Kelantan sudah sebati, dan bersedia pada bila-bila masa untuk membantu Kelantan dalam soal yang lain dan akan datang untuk membantu jika perlu," katanya yang turut meminta KAFA mendapatkan khidmat seorang jurulatih taktikal bagi memantapkan persembahan pemain pasukan itu pada masa depan.

Mengulas pasukan yang bakal berentap pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Karathu berkata mereka yang mara ke separuh akhir mempunyai kelebihan masing-masing.

"Mungkin Terengganu dengan Selangor, mungkin juga Negeri Sembilan dan T.Team, dan mungkin juga Terengganu dan T.Team. Semua ada kekuatan tersendiri," katanya.

Dalam beberapa blog ketika ini, nama bekas jurulatih Kelantan Peter James Butler, antara yang disebut-sebut bakal menggantikan Karathu, namun KAFA dijangka mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.

Sementara itu, Naib Presiden KAFA Rosmadi Ismail yang terkejut apabila dimaklumkan berita tersebut, berkata beliau akur jika benar Karathu berhasrat melepaskan jawatannya.

"KAFA akan membincangkan peletakan jawatan Karathu, jika benar jurulatih itu mahu melepaskan jawatan dan menghantar surat.

"Datuk Karathu telah banyak berjasa kepada Kelantan dan kita sangat berpuas hati dengan komitmen beliau," katanya.

Mengenai Butler, Rosmadi berkata setakat ini, KAFA masih meneliti nama yang bakal disenarai sebagai jurulatih baru.

TQ

Sumber Dari:
Bernama

Sunday, June 12, 2011

Final Piala FA 2011: The Red Warriors kecundang



KUALA LUMPUR, Stadium Bukit Jalil.
11 Jun 2011, Kelantan sekali lagi kempunan untuk mendakap kejuaraan Piala FA dalam tempoh tiga tahun setelah tewas 2-1 kepada Terengganu dalam perlawanan akhir edisi ke-22 yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Kekalahan kepada musuh tradisinya malam tadi mengulangi kekecewaan The Red Warriors untuk menebus kegagalan dalam percubaan pertamanya setelah tewas kepada Selangor dalam pentas perlawanan akhir dua tahun lalu.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang mencemar duli berangkat menyaksikan perlawanan akhir malam tadi, menyampaikan hadiah kepada pemenang.


Gol kemenangan menerusi rembatan pemain gantian Ahmad Nordin Alias dalam masa tambahan memastikan pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu menjulang piala tersebut buat kali kedua setelah kali terakhir berbuat demikian 11 tahun lalu.

Seawal minit kesepuluh Terengganu menguji pintu gol Kelantan menerusi sepakan percuma Ismail Faruqi Asha’ri yang menyaksikan bola rembatannya terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun dua minit kemudian, Kelantan membalas serangan menerusi hantaran lintang oleh S Chanturu ke dalam kotak penalti yang menyaksikan tampanan kurang kemas Norshahrul Idlan Talaha membolehkan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Pada m-19, Abdul Hadi Yahaya terlepas peluang untuk meletakkan pasukannya berada didepan apabila gagal membaca hantaran lintang Mohamad Ashaari Samsuddin ke dalam kotak penalti biarpun Khairul Fahmi teragak-agak untuk keluar menyelamatkan hantaran tersebut.

Selang dua minit kemudian, Abdul Hadi yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya untuk memberi tekanan kepada pasukan Kelantan apabila rembatan kencangnya ditepis keluar Khairul Fahmi.

Pada m-24, tindakan pemain pertahanan Terengganu, Mazlizam Mohamad menjatuhkan Norshahrul Idlan diluar kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan percuma kepada Kelantan. Namun sepakan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi pula tinggi melewati pintu gol Terengganu.

Pada m-41, Norshahrul Idlan hampir menjaringkan gol pertama Kelantan apabila rembatan kencangnya tepat ke pintu gol memaksa Mohd Sharbinee Allawee melayangkan badan untuk menepis keluar rembatan tersebut.

Namun kesilapan Khairul Fahmi yang gagal menepis keluar hantaran lintang Joseph Kalang Tie dua minit kemudian hampir membawa padah kepada pasukannya kalau tidak kerana kegopohan Mohamad Ashaari menyepak tersasar ke sebelah kanan pintu gol Kelantan selepas itu.

Minit-minit akhir babak pertama, giliran Mohd Sharbinee Allawee pula gagal menumbuk keluar sepakan percuma Mohd Nurul Azwan Roya daripada sebelah kiri pintu golnya namun Helmi Remeli pantas mengeluarkan bola daripada kawasan merbahaya.

Tiga minit babak kedua bersambung, Terengganu kembali mengasak menerusi Mohamad Ashaari yang bijak merebut bola daripada Chanturu sebelum melepaskan rembatan rendah yang sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Pada m-68, pemain gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan didepan namun rembatannya mudah ditampan keluar pemain pertahanan Terengganu biarpun Mohd Sharbinee Allawee tertewas diposisinya sebelum itu.

Pada m-79, Kelantan memperolehi gol tunggalnya apabila Mohd Nurul Azwan bijak memanfaatkan umpanan Norshahrul Idlan dengan melepaskan sepakan lambung didalam kotak penalti memerangkap Mohd Sharbinee Allawee diposisinya.

Pada m-85, Mohd Sharbinee Allawee sekali beraksi cemerlang apabila menyelamatkan rembatan kencang Norshahrul Idlan didepan pintu golnya.

Di saat puluhan ribu penyokong setia Kelantan bersedia meraikan kejayaan Kelantan menjulang piala kejuaraan tersebut, pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin tertanduk masuk bola ke gawang sendiri dalam usahanya menyekat rembatan Abdul Manaf Mamat pada minit –minit akhir masa kecederaan memaksa berlawanan berlarutan sehingga ke masa tambahan.

Bayangan Terengganu untuk menjulang kejuaraan kian terpancar apabila menguasai hampir sebahagian babak pada masa tambahan. Pada minit kelapan masa tambahan, Mohamad Zharif Hasna melakukan rembatan kencang yang menyaksikan namun sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol Kelantan.

Tiga minit kemudian, penyerang Terengganu, Abdul Manaf bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Kelantan namun rembatannya pula sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Pemain gantian, Ahmad Nordin memastikan kejuaraan milik Terengganu apabila bijak menyempurnakan sepakan penjuru Mohamad Ashaari pada m-110 masa tambahan dengan merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi kali kedua digawangnya untuk gol kemenangan Terengganu malam tadi.

Sementara itu, Ketua Pasukan Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff diumumkan sebagai Pemain Terbaik dalam perlawanan akhir malam tadi.


Kesebelasan utama pemain :

TERENGGANU: Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Helmi Remeli, Mohd Mazuki Yusoff (KP), Mazlizam Mohamad, Mohd Zubir Mohd Azmi, Ismail Faruqi Asha’ri (Ahmad Nordin Alias), Joseph Kalang Tie, Reeshafiq Alwi, Mohamad Ashaari Samsuddin, Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya (Mohamad Zharif Hasna).

Formasi: 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), S Chanturu, Mohd Izuan Salahuddin (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.

Formasi : 4-5-1

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat: Terengganu (4) Kelantan (6)
Percubaan tersasar: Terengganu (4) Kelantan (4)
Sepakan penjuru: Terengganu (9) Kelantan (4)
Sepakan percuma: Terengganu (13) Kelantan (22)
Ofsaid: Terengganu (4) Kelantan (0)
Kekasaran: Terengganu (18) Kelantan (12)

Kad kuning : Terengganu (Abdul Manaf Mamat, Ismail Faruqi Asha’ri, Mohd Mazuki Yusoff, Mazlizam Mohamad dan Mohd Zubir Mohd Azmi) Kelantan (Mohd Farisham Ismail, Mohd Daudsu Jamaludin, Mohd Shakir Shaari, Zairul Fitree Ishak dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid)

Kad merah: Tiada bagi kedua-dua pasukan.
Masa tambahan: 6 minit (tidak termasuk tambahan 30 minit)
Penguasaan bola: Terengganu (52%) Kelantan (48%).

PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil: Mohd Nafeez Abdul Wahab.
Penolong Pengadil 1: Azman Ismail.

Sumber Dari:
Sinar Harian & Astro Awani

Wednesday, April 27, 2011

KEPUTUSAN LIGA SUPER FAM 2011: - The Red Warrior benam Red Gaint, Kejar Tahta Liga


Kelantan VS Selangor 1-0
Terengganu VS Sabah 2-1
Pasukan T-Team VS Kedah 3-1
Perak VS Kuala Lumpur 5-3
Perlis VS Pahang 1-2
Harimau Muda A VS Negeri Sembilan 1-1
Felda United VS Johor Fc 0-0

KUALA LUMPUR, 26 April 2011
Kelantan membuktikan keupayaannya apabila menewaskan Selangor 1-0 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Baharu Selasa malam.

Dengan kejayaan itu pasukan bimbingan Datuk M.Karathu kini menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 30 mata selepas 15 perlawanan.

Pasukan 'The Red Warriors' membuka jaringan seawal minit keempat menerusi tandukan Norshahrul Idlan Talaha.

Sementara itu, Terengganu menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Terengganu yang menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 31 mata berjaya merapatkan jurang mata dengan Selangor iaitu satu mata di belakang pendahulu liga itu.

Dua gol Terengganu dijaringkan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-61 dan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi (minit ke-71).

Gol tunggal pasukan tuan rumah dijaringkan Sharul Azhar Ture pada minit ke-59.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Pasukan T-Team menewaskan Kedah 3-1.

Gol T-Team diperoleh melalui jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit kedua, Shamsul Kamal Mohamad (minit ke-83) dan Zairo Anuar Zailani (minit ke-92).

Gol saguhati Kedah dijaringkan oleh Badrol Bakhtiar pada minit ke-45.

Perak pula mencatat kemenangan besar apabila membelasah Kuala Lumpur 5-3 di Stadium Ipoh, Perak.

Gol Perak dijaringkan oleh Razali Umar Kandasamy seawal minit kedua, Ahmad Dashila Tajudin (gol sendiri) minit ke-34, Mohd Fazrul Hazli (minit ke-60), Mohd Shafiq Jamal (minit ke-66) dan Mohd Noor Hazrul (minit ke-86).

Tiga gol Kuala Lumpur di jaringkan See Kok Luen (minit ke-13), Ahmad Hazwan Bakri (minit ke-64) dan Khairul Anuar Shafie (minit ke-90).

Di Stadium Utama Negeri, Kangar , Pasukan tercorot Perlis tumpas 1-2 kepada Pahang.

Dua gol pelawat dijaringkan oleh Mohd Faizol Hussin pada minit ke-25 dan Famirul Asraf Sayuti (minit ke-81), manakala Perlis memperoleh gol tunggal melalui Mohd Rizal Mohd Ghazali (minit ke-70).

Di Stadium Shah Alam Harimau Muda A seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Turut mencatat keputusaan seri ialah pasukan Felda United yang seri tanpa jaringan dengan Johor Fc pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sumber Dari:
BERNAMA

Tuesday, April 5, 2011

LIGA SUPER FAM 2011: -T-TEAM VS Kelantan, Misi Getir Skuad Pantai Timur

KARATHU (kiri) memerhatikan anak didik menjalani latihan sebagai persiapan menentang T-Team di Kuala Terengganu, malam ini.
JUARA bertahan Piala Malaysia, Kelantan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk membuat perseteruan dengan T’Team dalam usaha meneruskan rekod kemenangan 100 ke atas kelab dari Terengganu itu.

Pada aksi pusingan pertama kalah mati saingan bola sepak Piala FA 18 Februari lalu, Kelantan mengetepikan perjuangan T-Team menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 setelah kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga ke masa tambahan.

Mampukah anak buah Yunus Alif itu menyekat kemaraan pemain Kelantan yang diterajui penyerang berbisa kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanturu yang cukup hebat apabila berada dalam kawasan kotak penalti lawan.

Perlawanan sengit itu dijangka berlangsung jam 8.45 malam ini.

Sunday, March 20, 2011

Keputusan Piala FA 19.03.2011:- Suku Akhir Kedua, Pasukan Pantai Timur Hebat!

Assalamualaikum W.B.T..Tahniah kepada semua pasukan yang keseparuh akhir.

Kelantan, Terengganu dan Selangor mengikut jejak Pahang melangkah ke separuh akhir Piala FA 2011. Tahun 2011 begitu menakjubkan untuk pasukan dari pantai Timur apabila semuanya layak ke separuh akhir. Adakah Tahun 2011 Piala FA akan ke Pantai Timur..



Berikut keputusan penuh suku akhir kedua Piala FA 2011 pada 18/3 & 19/3/2011:

                  
Kelantan FA 5 - 2 Felda United
19.03.2011 Felda United     0 - 3  Kelantan FA
15.03.2011 Kelantan FA     2 - 2 Felda United

Perlawanan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu pula menyaksikan pasukan Kelantan menewaskan Felda United 3-0, dan keputusan itu memberikan kemenangan mutlak kepada Kelantan dengan 5-2, selepas kedua-dua pasukan itu seri 2-2 dalam pertemuan pusingan pertama pada 15 Mac lepas.

Felda United yang kelihatan mempamerkan corak permainan yang kemas dikejutkan dengan jaringan S.Chanturu menerusi hasil umpanan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-18.

Di separuh masa kedua Kelantan terus menguasai perlawanan menerusi jaringan Nurul Azwan Roya pada minit ke-66, dan Mohd Nizad Ayub pada minit ke-88. 
           

Kuala Lumpur FA 1 - 2 Pahang FA
      18.03.2011 Pahang FA  0 - 0  Kuala Lumpur FA
      15.03.2011 Kuala Lumpur FA  1 - 2  Pahang FA

                         Perak FA    4 - 5 Terengganu FA
19.03.2011 Terengganu FA   3 -1 Perak FA
15.03.2011 Perak FA           3 - 2 Terengganu FA
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, tuan rumah berjaya merebut tempat ke peringkat separuh akhir dengan menumpaskan juara sulung Piala FA 1990 Perak 3-1, selepas pasukan itu kalah 2-3 kepada Perak dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Ipoh, Perak, Selasa lepas.

Gol-gol Terengganu dijaringkan oleh Ree Shafiq Alwi pada minit ke-29, Manap Mamat (min-51) dan Abdul Hadi Yahya (min-80) sementara gol saguhati Perak dijaringkan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-76.
                 

Selangor FA
4 - 2 Johor FA
19.03.2011 Johor FA  1 - 2  Selangor FA
15.03.2011 Selangor FA  3 - 1  Johor FA
Perlawanan di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunus, Johor Bahru menyaksikan pasukan pelawat, Selangor menafikan peluang tuan rumah, Johor ke perlawanan separuh akhir apabila mencatat kemenangan 2-1 untuk mara dengan agregat 5-2.

Kedua-dua jaringan hasil tandukan Mohd Amri Yahaya menerusi sepakan percuma pada minit ke-29 dan 50 menjadi pelengkap kemenangan Selangor yang turun selaku juara lima kali Piala FA untuk ke saingan seterusnya.

Gol saguhati Johor bagaimanapun hadir selang lapan minit kemudian (min-58) menerusi rembatan Norizam Salaman dalam kawasan kotak penalti.

KELANTAN, PAHANG, TERENGGANU & SELANGOR KE SEPARUH AKHIR PIALA FA 2011

Friday, March 18, 2011

Piala FA 2011 :- Kelantan Vs Felda United, Norshahrul dan Mohd Badri Radzi satu ancaman!


"FELDA United harus berwaspada kehadiran penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi ancaman buat pasukan itu untuk melangkah bergaya ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA musim ini", kata E Elavarasan.

Abe Yoe Sewaktu Menyarung Jersi Negara turut digeruni lawan

Jurulatihnya, E Elavarasan berkata, pemain bukan sahaja perlu mengawal pergerakan lawan tetapi menjadi tanggungjawab pertahanan untuk mengurangkan asakan yang berbahaya terutama di hadapan gawang sendiri.
“Kelantan memiliki penyerang berbisa seperti Norshahrul dan Mohd Badri Radzi selain pemain kebangsaan lain yang cukup berpengalaman untuk menjinakkan kita.

Ketajaman Penyudah Mohd Badri Radzi @ Piya Ditakuti Lawan

“Bahkan, kelebihan nyata banyak berpihak kepada pasukan itu yang terus mendapat sokongan padu penyokong mereka,” katanya. Bagaimanapun, pendatang baru dalam Liga Super itu enggan meletakkan harapan yang tinggi dengan menyifatkan kedua pasukan mempunyai peluang sama rata pada aksi timbal balik, Sabtu ini.

Perlawanan semalam menyaksikan Felda United mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan Mohd Zamri Chin pada minit ke-31 sebelum Kelantan menyamakan kedudukan hasil rembatan ketua pasukan Mohd Badri dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-70, penyerang kebangsaan, Norshahrul berjaya memperdayakan penjaga gol untuk meletakkan pasukan itu di hadapan sebelum Liew Kit Kong menghampakan tuan rumah dengan gol penyamaan pada masa tambahan.

Sumber Dari:-
Sinar Harian
TQ

Wednesday, March 16, 2011

Keputusan Piala FA 15.03.2011 :- The Red Warriors Seri, The Red Gaints Menang

16 Mac, 2011 00:30 AM

Kelantan Vs Felda United 2-2
Selangor Vs Johor 3-1
Pahang Vs Kuala Lumpur 2-1
Perak Vs Terenggunu 3-2

Selangor,Pahang dan Perak membawa kelebihan jaringan gol ke perlawanan suku akhir kedua selepas menewaskan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir pertama Selasa malam.

Namun, Kelantan yang merupakan juara Piala Malaysia musim lepas gagal memanfaatkan bermain di tempat sendiri apabila terpaksa seri 2-2 menentang pasukan kelab dari Kuala Lumpur, Felda United di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV.



Pasukan pelawat terlebih dahulu mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Muhammad Zamri pada minit ke-31 tetapi skuad Red Warriors berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi Md Badhri Radzi pada minit ke-45.



Skuad bimbingan Datuk M. Karathu berjaya memperoleh gol kedua apabila Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol pada minit ke-70 tetapi pasukan Felda United tidak mahu mengaku kalah menjaring gol penyamaan pada minit ke-90 menerusi penyerangnya, Liew Kit Kong.

Di Shah Alam, juara Liga Super musim lepas, Selangor menumpaskan Johor 3-1 pada aksi di Stadium Shah Alam.

Bermain di tempat sendiri, pasukan The Red Giants terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi lorongan bola Mohd Amri Yahyah kepada Mohd Amirulhadi Zainal yang berjaya memperdayakan tiga pertahanan Johor untuk menjaringkan bola selepas empat minit babak kedua bermula.



Selang enam minit kemudian, Rudie Ramli menambah lagi tekanan pasukan Johor apabila berjaya mencuri peluang dengan menolak masuk bola hasil hantaran Azidan Sarudin untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Amirul Abu Seman.



Perlawanan bertambah rancak apabila pasukan Merah Kuning terus melebarkan jurang setelah kawalan solo Mohd Amri Yahyah berjaya membolosi gawang Johor pada minit ke-71.

Bagaimanapun, Johor yang beraksi dalam Liga Perdana bangkit mencari gol sagu hati menerusi Mohd Alif Mohd Yusof pada minit ke-78 akibat kelekaan pertahanan Selangor.

Di Kuantan, pasukan tuan rumah, Pahang menang tipis 2-1 kepada Kuala Lumpur di Stadium Darul Makmur.



Skuad Tok Gajah mendahului 1-0 pada separuh masa pertama yang dijaringkan Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-29.

Namun skuad Kuala Lumpur bangkit menyamakan jaringan menerusi Ahmad Azlan Zainal pada minit ke-55 sebelum memastikan kemenangan dengan menghukum barisan pertahanan Kuala Lumpur menerusi Azamuddin Mohd Akil yang menyumbat gol pada minit ke-64.

Di Ipoh, Perak menang tipis 3-2 ke atas Terengganu di Stadium Perak.



Gol tuan rumah dijaringkan oleh Isma Aliff Md Salim pada minit ke-14, Md Fazrul Hazli (minit ke-79) dan Akmal Rizal Rakhli (minit ke-82) sementara gol Terengganu dijaringkan Abd Manaf Mamat (minit ke-40) dan Reeshafiq Alwi (minit ke-90).



Perlawanan timbal balik suku akhir kedua akan berlangsung pada Jumaat dan Sabtu untuk menentukan empat pasukan mara ke separuh akhir Piala FA.

Sumber Dari:
BERNAMA & Berita TV3 12.00am
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...