Showing posts with label Info Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Info Kesihatan. Show all posts

Tuesday, December 1, 2015

Baru ku tahu ( Khasiat Halba )

khasiat halba yang menakjubkan. (Fenugreek)

Halba adalah rempah ratus yang sering digunakan untuk masakan. Bila saya terbaca sebuah hadis, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud ” Sekiranya umatku tahu akan kelebihan halba nescaya mereka sanggup tukarkannya dengan sebanyak timbangan emas”(books of sufi healing)

Ambil dalam bentuk kapsul yang paling mudah

Rasullullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud “Gunakanlah halba sebagai ubat” (qamus Al-Tibb)

Banyak khasiat yang didapati apabila kita mengambilnya dalam makanan atau dalam bentuk minuman cuma bila minum tahu sajalah rasanya tidaklah sedap, tapi yang pasti, InsyaAllah memang baik untuk tubuh badan. Saya ambil dalam bentuk kapsul, mahal sikit tapi senang, telan saja. :)

Buku untuk rujukan….

Dalam Bartram’s encyclopedia of herbal medicine:
1-2 sudu teh halba(tumbuk bagi pecah) dengan 1 cawan air dan rebus di atas api yang kecil selama 15 minit. minum air dengan halba.

Cubalah amalkan mengambilnya selama 3 bulan. InsyaAllah akan ada rasa kelainan pada tubuh badan.

Wanita arab suka mengambil halba ini untuk cantikkan buah dada. Bagi ibu yang menyusu, halba mampu menambahkan susu badan.
Halba juga baik untuk mereka yang menghidap kencing manis kerana ia boleh menurunkan paras gula dalam darah. Namun begitu perlu berhati-hati juga, jangan biarkan paras gula terlalu rendah kerana boleh memberi kemudaratan pada kesihatan, bahaya nanti(Bagi mereka yang mengambil ubat kencing manis). Disamping itu, halba berkesan merendahkan kolesterol, membantu melegakan batuk yang kronik, bengkak gusi, pembuka selera, sakit dalam perut, hernia dan banyak lagi manfaatnya.

Halba senang didapati di kedai runcit dan di supermarket. Murah pulak tu. Selamat dimakan sebab itu halba sering dimasukkan ke dalam masakan. Selain berkhasiat halba juga mengharumkan masakan.

Kita tidak akan dapat merasakan kebaikan satu-satu herba itu pada tubuh badan melainkan mengambilnya untuk satu jangka masa, cubalah selama dua tiga bulan.

Sumber: Pak Cik Google

Thursday, March 17, 2011

Tips penjagaan jantung

Pagi ini saya dikejutkan dengan kematian salah seorang saudara terdekat sebelah ibu..lelaki pertengahan umur 40an. Yang membuat saya terkejut arwah seorang yang sihat dan periang. Arwah meninggal mengejut dan disahkan meninggal kerana penyakit jantung. Al- Fatihah....Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa arwah dan cucurilah rahmat ke atas roh arwah. Dan berikanlah kekuatan dan ketabahan kepada balu dan anak-anak arwah untuk mengharungi hidup selepas ini. Aminnn. Maka, saya sertakan artikel berkaitan tips penjagaan jantung yang diambil daripada laman info kesihatan Berita Harian. Harap artikel ini dapat membantu kita sama-sama menjaga kesihatan kita. Sesungguhnya kesihatan itu satu nikmat yang amat berharga..


Bahagian Jantung Manusia

Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalarn tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dan awal diberikan kepada jantung.

Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.

Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula dari sekarang. Bagaimanakah caranya?

Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.

Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.

Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini, beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan. Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan perubahan gaya hidup.

Kawalan berat badan


Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi bentuk badan seseorang itu.

Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Realitinya, mereka yang memiliki berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi dalam makanan mereka tidak digunakan.

Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan sebagainya tanpa ketinggalan jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.

Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan bersantan.

Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik.

Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan dan kesejahteraan hidup. Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap hari pengambilannya.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati.

Berhenti merokok

Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.
Bersenam

Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Joging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang ada mengalami serangan jantung.

Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan tekanan darah diturunkan.

Perubahan gaya hidup

Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.

Cara ini, jika menjadi amalan kita, elok diubah. Amalan hidup yang sihat tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.

sumber : info beritaharian

Tuesday, March 8, 2011

Ingat!!!!!!!!!!!KeGagalan Ginjal - Lewat Mendapatkan Rawatan Bahayakan Nyawa

KUALA LUMPUR, 8 Mac
Ahli perniagaan Malek (bukan nama penuh) enggan mendapatkan rawatan perubatan apabila doktor, setelah membuat analisis terhadap ujian sampel darah beliau, memberitahunya bahawa beliau mengalami kegagalan buah pinggang kerana hipertensi (tekanan darah tinggi).



Malek tidak mempercayai apa yang diberitahu doktor kerana tiada tanda dan gejala yang menyatakan beliau sakit. Beliau sebaliknya lebih suka mengambil herba dengan harapan kesihatannya terjamin.

Menurut pakar-pakar nefrologi (pakar penyakit buah pinggang yang juga dikenali sebagai ginjal), kegagalan ginjal pada mulanya mungkin asimptomatik (tiada tanda dan gejala).



Tetapi bila fungsi buah pinggang menurun, simptom mula kelihatan kerana ginjal tidak berupaya mengawal imbangan air dan elektrolit selain daripada membersih bahan buangan serta gagal menggalakkan pengeluaran sel darah merah.

Enam bulan kemudian, Malek mengalami tanda-tanda kegagalan buah pinggang. Badannya mula 'membengkak'. Begitu juga kedua-dua belah kakinya. Malek juga kerap demam kerana beliau mudah mendapat jangkitan kuman.

Beliau juga kerap merasa penat, lemah badan serta sesak nafas.

Menurut pakar nefrogi, dalam situasi kegagalan buah pinggang: "Badan rasa keletihan, lemah dan juga sesak nafas selain bengkak yang menyeluruh. Kalau tidak dirawat, boleh membahayakan nyawa".

BENGKAK BADAN MENYELURUH

Pakar buah pinggang di sebuah pusat perubatan awam di sini menjelaskan bahawa bengkak seluruh badan berpunca daripada anemia, iaitu penurunan kandungan sel darah merah di dalam badan kerana terjadinya kandungan 'erythropoietin' yang rendah dikeluarkan ginjal yang semakin lemah dan gagal.

Ini menyebabkan kegagalan memberi stimulasi kepada sumsum tulang untuk mengeluarkan sel darah merah.

"Penurunan jumlah sel darah merah menyebabkan keupayaan membawa oksigen dalam darah berkurangan dengan signifikan, hasilnya ialah penurunan kandungan oksigen yang dibawa kepada sel-sel dalam badan dan ini menyebabkan sel kurang berfungsi dan akhirnya badan menjadi semakin lemah.

"Dan, dengan bekalan oksigen yang semakin menurun, sel-sel akan lebih menggunakan metabolisme secara anerobik (tanpa oksigen) yang menyebabkan pengeluaran asid bertambah di dalam badan dan tidak boleh diimbangi oleh buah pinggang yang gagal", kata pakar itu.

Katanya kandungan bahan buangan yang semakin meningkat dalam darah boleh menyebabkan kurang selera serta keletihan menjadi begitu ketara.

"Lama-kelamaan ini akan menyebabkan penurunan fungsi otak dan pesakit boleh koma".

Bila ginjal gagal untuk memproses kenaikan kandungan asid di dalam badan, kadar pernafasan menjadi semakin cepat kerana paru-paru cuba mengimbangi kandungan asid yang tinggi dengan mengeluarkan karbon dioksida.

"Nafas mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang boleh juga berbau kerana kandungan asid yang tinggi di dalam badan.

"Juga tekanan darah boleh meningkat kerana terdapat lebihan cecair dan cecair ini boleh memasuki paru-paru, menyebabkan penyakit jantung kongestif", tambah beliau.

Sebagai seorang yang berpegang teguh kepada mempercayai ubat-ubatan tradisional, Malek yang berumur 50 tahun yakin ubat tradisional seperti herba dapat menyembuhkan beliau daripada penyakit kegagalan buah pinggang kronik.

Bagaimanapun keadaannya semakin serius dan mengalami satu situasi yang dipanggil 'lebih kandungan air' yang disebabkan kegagalan ginjal. Badannya serta kaki juga semakin bengkak.

Tetapi malangnya Malek masih enggan mendapatkan rawatan iaitu sama ada hemodialisis atau dialisis peritoneal. Beliau akhirnya meninggal dunia disebabkan lemah jantung.

UJIAN DARAH

Pakar nefrologi itu menambah lagi diagnosa kegagalan ginjal boleh dipastikan dengan ujian darah di mana terdapat peningkatan bahan buangan di dalam darah.

Ujian air kencing juga boleh dijalankan untuk mengetahui kandungan protein serta sel-sel yang luar biasa selain daripada konsentrasi elektrolit.

"Adanya protein dalam air kencing bukanlah perkara yang normal dan menunjukkan ginjal sedang mengalami kerosakan. Dalam penyakit buah pinggang, juga kehadiran sel-sel darah merah dan darah putih dalam air kencing meggambarkan sesuatu yang bukan normal".

Katanya dengan membandingkan konsentrasi elektrolit dalam darah dan air kencing membantu bagi mengenal pasti sama ada ginjal boleh mengimbangi cecair badan dan menuras (menapis) darah.

UJIAN LAIN

Antara ujian lain yang boleh memberi diagnosa tentang gagal buah pinggang ialah ultrasound abdomen yang boleh memberi gambaran tentang saiz buah pinggang serta mana-mana saluran yang 'tersumbat'.

Biopsi buah pinggang juga boleh dijalankan.

Pencegahan adalah sentiasa merupakan objektif tentang penyakit kronik ini. Penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan diabetis cukup membahayakan disebabkan kerosakan yang penyakit-penyakit ini boleh lakukan terhadap ginjal serta organ yang lain.

Oleh itu perhatian sepanjang hayat mestilah diberikan untuk mengawal tekanan darah serta kandungan gula darah. Rawatan yang tertentu juga diperlukan bagi penyakit-penyakit ini.

Menurut pakar nefrologi itu lagi, bila terjadinya kegagalan buah pinggang, tujuan rawatan ialaha mencegah kerosakan lebih lanjut berlaku terhadap fungsi renal (buah pinggang). Kalau dibiarkan, buah pinggang akan menuju ke arah kerosakan seratus peratus (seperti yang dialami oleh Malek).

Tetapi jika penyakit yang menyebabkan ginjal rosak dapat dirawat secara agresif, kemungkinan fungsi ginjal dapat dikekalkan walaupun tidak sepenuhnya.

"Harus diingat bahawa sel-sel serta tisu ginjal tidak punya daya regeneratif (tumbuh semula) dan jika ada kerosakan berlaku ianya bersifat kekal".

Tema Hari Buah Pinggang SeDunia 2011 ialah "Lindungi Buah Pinggang Anda, Selamatkan Jantung"

Sumber Dari:
BERNAMA
Oleh Zulkiple Ibrahim

Rencana ini sempena Hari Buah Pinggang Sedunia pada 10 Mac.

Monday, February 21, 2011

Khasiat Madu Lebah ASLI

(Madu Asli Lebah Hutan Tualang Ini Saya Beli Dengan Pencari Madu Lebah Hutan, Pok Ya Rawai)

Al Quran sebagai mukjizat diakui banyak membongkar rahsia-rahsia saintifik jauh lebih awal daripada “scientific findings” daripada experiment yang dilakukan para saintis moden. Antara mukjizat al Quran yang baru dapat dibuktikan oleh para pakar adalah tentang khasiat MADU LEBAH. Khasiat madu lebah telah disebutkan dalam Al-Quran, surat An Nahl ayat 68-69 di mana Allah berfirman:

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah; “…kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu)”. Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat PENAWAR yang menyembuhkan manusia. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda bagi orang yang memikirkan”

(Gambar saya ambil di tapak projek pembinaan)

Dalam ayat ini secara jelas disebutkan bahawa madu adalah ubat atau penawar yang dapat menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihadapi oleh manusia. Madu dari sudut saintifiknya mengandungi glukosa dan fruktosa serta sejumlah mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium, klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3 yang komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari yang dikonsumsikan oleh lebah. Di samping itu, dalam madu juga terdapat tembaga, yodium dan seng dalam jumlah yang kecil, juga beberapa jenis hormon.

Antara penemuan saintifik tentang khasiat madu dapat disimpulkan seperti dibawah:

1. Kaya bahan anti oksidan yang menghalang free radicals daripada bertindak ke atas sel-sel yang boleh menyebabkan kanser (BBC, University of Zagreb, Croatia);

2. Antara sumber tenaga asli bagi tubuh yang terbaik e.g. Meningkatkan kekuatan otot dan stamina badan (British Honey Importers and Packers Association)

3. Pembunuh kuman daripada jenis bacteria, fungus dan protozoa (University of Waikato, New Zealand);

4. Mampu menyembuh ulser dan luka dengan lebih cepat dan berkesan (University of Waikato, New Zealand);

5. Boleh merawat penyakit mata (Fotidar MR, Fotidar SN);

6. Mampu menjadi antibiotic yang lebih berkesan (University of Cardiff, Wales).

Minumlah madu lebah!

A) MENGEMBALIKAN KEKUATAN TUBUH
1. Memulih. menyegar dan menambah tenaga tubuh badan.
2. Memulihkan sel-sel urat besar.
3. Menjaga dan mengimbangi kekuatan badan.
4. Merangsang tenaga batin.

B) MEMBERSIH DAN MENAMBAH DARAH.
1. Memulihkan kembali bekuan darah dan membetulkan pengaliran darah.
2. Membersihkan lapisan darah dan darah menjadi bersih.
3. Mengimbangi kandungan lemak dan membuat janlung aktif.
4. Menghilangkan rasa kebas-kebas dan mengurangkan tekanan darah tinggi.

1. BAYI/KANAK-KANAK:
a) Membantu pertumbuhan janin dan bayi dari segi fizikal dan mental.
b) Menyembuh dengan segera cirit-birit.
c) Mengelak daripada cacing perosak dalam perut.
d) Mengeluarkan lendir dalam badan bayi dan menguatkan minda kanak-kanak.

2. REMAJA:
Membantu menyempurnakan kesihatan berkekalan.

3. WANITA:
a) Menambah kejelitaan rupa paras yang asli dan tubuh badan yang menarik.
b) Mempunyai kulit yang halus, bersih dan berseri-seri.

4. LELAKI:
a) Tampan dengan kekuatan asli dan kelihatan lebih muda.
b) Menguatkan tenaga batin.

5. PENGIDAP KENCING MANIS (DIABETIS):
Menstabilkan kandungan gula dala darah. (Gantikan gula kepada madu lebah)

6. UNTUK SEMUA:
a) Mengelak dari kegemukan yang tidak terkawal.
b) Memudahkan proses penghadapan dan lawas buang air.
c) Memulihkan penyakit berpanjangan.
d) Menguatkan jantung, buah pinggang dan badan.
e) Menyembuhkan penyakit dalam perut.
f) Mempercepatkan luka atau kesan pembedahan sembuh.
g) Memulihkan batuk dan lelah.
h) Menghindarkan badan letih dan lesu.
i) Kurangkan kesakitan bila datang haid.
j) Baik untuk perempuan bersalin.
k) Membantu/menerangkan pemandangan.

7. IBU MENGANDUNG
1. Menambahkan tenaga untuk ketahanan diri semasa mengandung
dan semasa menghadapi saat kelahiran cahaya mata.
2. Mencegah dari berbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi,
kencing kotor, batuk selsema, lelah dan lain-lain.

8. ANAK DALAM KANDUNGAN
1. Mencegah dari pelbagai penyakit kerana kandungan antibiotik dalam
madu dapat membunuh kuman-kuman.
2. Kandungan zat galian dalam madu boleh membantu membina dan
menguatkan janin.
3. Kulit yang bersih dan sihat dengan terdapatnya vitamin C yang penuh
kuasa dalam madu asli.
4. Membantu secara khusus pertumbuhan fizikal dan mental janin.
5. Penyakit Hepatitis B yang biasa menyerang bayi dapat dihindar dengan amalan madu oleh para ibu yang mengandung.

9. BAGI BAYI YANG BARU LAHIR
1. Meneruskan pemberian madu asli pada bayi yang baru lahir dapat
mengeluarkan secara positif lendir yang mungkin terminum semasa
bayi itu dilahirkan yang merupakan punca lelah jika tidak habis dikeluarkan.
2. Membersihkan perut bayi dari najis gagak yang menyelaputi dinding
perut. Proses penghadaman dapat berjalan dengan sempurna menghindar dari sakit perut.
3. Bayi membesar dengan sempurna dan sihat.
4. Mengelak dari kembung perut bayi.

10. BAGI IBU SELEPAS MELAHIRKAN ANAK
1. Amalkan madu bersama jamu dan telur untuk membina darah serta
mempercepatkan proses penyembuhan luka dalam perul atau rahim.
2. Membantu proses penghadaman dan lawas buang air.

CARA MENGGUNAKANNYA

1. Tukar atau kurangkan penggunaan gula kepada madu dalam penyediaan minuman harian.
2. Campurkan sedikit madu ke dalam air suam sebagai minuman.
3. Campurkan madu di dalam segala persediaan membuat kuih/masakan. Keharuman madu akan menawan selera anda.
4. Jika batuk atau lelah, minum satu atau dua sudu madu. Jangan dicampur dengan ais. (Berhati-hati jangan tersedak)
5. Untuk memulihkan tenaga, campurkan telur ayam kampung dengan sedikit madu. Dikacau kemudian diminum.
6. Campurkan sedikit madu ke dalam minuman kanak-kanak, kanak-kanak akan lena dengan nyenyak.
7. Minumlah sesudu besar madu bersama segelas air suam setiap pagi untuk kesegaran sepanjang hari.
8. Penyakit mata, Titiskan sedikit madu pada mata.
9. Sapu pada kesan gigitan atau sengatan serangga berbisa.

“MIRACLE ANTIBI0TIK”

SAPULAH MADU HUTAN ASLI JIKA ANDA
a) Kemalangan ke atas luka; memberhentikan darah dengan segera
dan luka terlindung dari kuman.
b) Kelecuran akibat api, air panas, ekzos motor, minyak panas dan
lain-lain.
c) Kudis, kurap dan lain-lain penyakit KULIT.
d) Sakit mata – Titiskan madu lebah dalam mata.

MENAMBAHKAN KELAZATAN MAKANAN
a) Makan bersama roti / biskut.
b) Bahan membuat kuih / kek.
c) Goreng atau panggang ayam.

Kesimpulannya, Al Quran adalah suatu mukjizat yang akan terus membongkar hakikat di sebalik pencipta di alam cakerawala ini. Ini juga menyingkap betapa segala penciptaan yang wujud di bumi ini diciptakan oleh ALLAH dengan fungsinya yang tersendiri. Tiada satupun objek atau kejadian yang dicipta secara sia-sia. Walaubagaimanapun hanya orang-orang yang berfikir dapat memahami rahsia di sebalik penciptaan yang pelbagai sebagaimana yang difirmankan oleh Allah:

“Dan mereka-mereka (yang beriman) sentiasa mengingati Allah sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring. Dan mereka yang berfikir tentang segala penciptaaNya sama ada di langit-langit ataupun di bumi. Mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, tidak satupun (objek & kejadian di langit dan Di bumi) yang Engkau ciptakan secara sia-sia. Maha Suci Engkau, selamatkan kami dari NERAKA”. (Surah Ali Imran: 191).

Perhatian:
Jangan disimpan dalam peti sejuk.
elakkan dari memakan madu bersama tembikai.
elakkan dari terkena pancaran cahaya matahari.
jauhkan dari litar elektrik.
kurangkan pendedahan kepada unsur logam dan haba.
jangan gunakan madu untuk rawatan penyakit kronik tanpa nasihat pakar.

Sumber Dari:
Gambar Pentadbir Blog Ambil Sendiri
http://www.zilhan.com/kelebihan-dan-khasiat-madu-lebah

'Tuala wanita punca barah pangkal rahim'

Kementerian Kesihatan digesa beri penjelasan

TERENGGANU,KUALA BERANG:
Kementerian Kesihatan digesa memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung dakwaan bahawa penggunaan tuala wanita dikatakan menjadi punca wanita menghidap penyakit barah pangkal rahim.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata penjelasan perlu bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung dakwaan itu yang dibuat beberapa persatuan pengguna dan tersebar melalui internet.

Berdasarkan kajian sebuah persatuan pengguna, antara punca utama wanita diserang barah pangkal rahim adalah disebabkan penggunaan tuala wanita yang diperbuat daripada bahan buangan termasuk kertas terpakai.

“Jika kita kaji dan membuat perbandingan, wanita pada zaman dulu tidak menghidap penyakit barah pangkal rahim kerana tidak menggunakan tuala wanita, justeru, dakwaan itu memang nampak ada asasnya.

“Sebab itu kita minta kementerian membuat kajian dan mengumumkan sama ada dakwaan dibuat persatuan pengguna terbabit betul atau sebaliknya supaya orang ramai terutama di kawasan luar bandar tidak terus keliru,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas merasmikan Kem Kesihatan Felda Bukit Banding bertemakan ‘Ke Arah Kesedaran Penyakit Kusta dan Barah’ di Dewan Sivik Felda Bukit Banding, Ajil, Hulu Terengganu di sini, semalam.

Sementara itu, Rosol juga meminta Kementerian Kesihatan membuat kajian mendalam mengenai serangan angin ahmar yang semakin berleluasa hingga kerajaan negeri mendapati hampir setiap keluarga ada seorang penghidap.

“Selain kajian, kementerian juga perlu menggiatkan kempen kesedaran dan langkah pencegahan bagi mengelak serangan angin ahmar di kalangan penduduk termasuk di kawasan luar bandar.

“Kita difahamkan punca utama serangan angin ahmar adalah disebabkan saluran darah tersumbat dan saluran urat pada otak pecah,” katanya

Sumber Dari:
bharian.com.my

KEPUTUSAN STPM 2010: Boleh mulai semak pada 21.2.2011

KEPUTUSAN STPM 2010
21 Februari 2011

Semak melalui SMS mulai jam 12:00 tengah hari, 21 Februari 2011:
taip STPM<> No. K/P hantar ke 36363 atau taip STPM<> RESULT<>No.K/P hantar ke 15888

On-Line : www.mpm.edu.my
mulai jam 12:00 tengah hari, 21 Februari 2011

KEPUTUSAN MUET AKHIR TAHUN 2010
6 Januari 2011

Semak melalui SMS mulai 12:01 tengah malam, 6 Januari 2011:
taip MUET RESULT<> No. K/P hantar ke 15888 atau MUET<>No.K/P hantar ke 36363
On-Line : www.mpm.edu.my
mulai jam 9:00 pagi, 6 Januari 2011

Sakit belakang:- Punca dan Cara Mengatasinya

BANYAKKAN berehat, supaya sakit pinggang segera berkurangan. Ini antara cara yang dinasihatkan doktor untuk mengatasi masalah sakit pinggang tetapi makin lama baring berehat, makin sakit pula jadinya. Ketika berbaring kesakitan terasa hilang perlahan-lahan tetapi kembali mengejut apabila cuba bangun atau menggerakkan badan.

Benarkah berehat dengan berbaring cara terbaik untuk menghilangkan kesakitan pinggang? Rupa-rupanya kaedah ini disarankan untuk satu atau dua hari saja kerana berbaring terlalu lama juga boleh menyebabkan sakit belakang bertambah teruk.

Jika kesakitan masih tidak berkurang, segeralah mencuba kaedah lain atau lebih baik berjumpa doktor supaya ia tidak berlanjutan dan menjejaskan kehidupan.

Boleh dikatakan semua orang pernah sakit belakang terutama di bahagian pinggang, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Dianggarkan 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu. Sakit belakang juga antara punca utama ketidakupayaan bekerja dan penyumbang besar kepada pengambilan cuti sakit.


Sakit belakang menduduki tangga kedua dalam masalah neurologikal (sistem saraf), kata Pakar Bedah Tulang Belakang, Dr Siow Yew Siong. Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.


Antara faktor penyumbang kepada masalah sakit belakang ialah postur (kedudukan) badan yang tidak betul, melakukan aktiviti di luar kebiasaan dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif. Malah, terlalu banyak rehat juga boleh menyebabkan kita mengalami sakit belakang kerana badan manusia dicipta untuk kita bergerak aktif; bukan berehat santai sepanjang masa.

Bahkan duduk terlalu lama juga boleh menyebabkan kita sakit belakang kerana ketika duduk, kita memberi tekanan paling tinggi kepada bahagian bawah tulang belakang. Tulang belakang adalah struktur yang boleh dilentur sehingga tahap tertentu. Inilah sebabnya kita boleh membongkok atau membengkokkan badan ke kiri dan kanan.

Ia terdiri daripada 33 tulang vertebra yang dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu vertebra servikal (tujuh tulang pertama bermula di bahagian bawah tengkorak), 12 tulang vertebra torasik, lima tulang vertebra lumbar (pada bahagian bawah belakang badan) serta lima tulang sakrum dan empat tulang koksiks yang bercantum.

Di antara setiap tulang ini ada satu cakera (diska) yang bertindak sebagai penyerap hentakan, menambah keanjalan tulang belakang untuk ‘dilentur’ ke kiri, kanan, depan dan belakang. Cakera ini juga berfungsi mengagihkan berat badan secara seimbang.

Antara punca sakit belakang yang biasa ialah masalah diska tergelincir pada tulang belakang akibat posisi badan tidak betul (apabila cakera terkeluar sedikit, ia akan menekan saraf yang menyebabkan rasa sakit); otot terlalu lemah atau tegang sehingga tidak dapat menyokong bentuk asal tulang belakang atau mengangkat benda berat dengan cara salah.

Sakit belakang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sakit yang akut (selama beberapa hari hingga minggu) dan kronik jika kesakitan berlarutan melebihi tiga bulan. Kebanyakan sakit pinggang akut disebabkan masalah mekanikal semula jadi - terjadi akibat trauma pada bahagian pinggang atau penyakit seperti artritis.

Trauma ini pula katanya, boleh disebabkan kecederaan sukan, bekerja dalam rumah, berkebun atau sentakan mengejut seperti kemalangan.

Gejala dialami setiap pesakit berbeza; ada yang sekadar sakit otot atau sakit seperti ditikam yang menjalar dari satu bahagian ke bahagian lain; menyebabkan pergerakan terhad atau tidak boleh berdiri tegak.

Bagaimana sakit belakang terutama di bahagian pinggang boleh terjadi? Menurut Dr Siow, kekuatan tulang dan keanjalan otot merosot dengan peningkatan umur. Bahkan cakera yang terletak di antara setiap tulang pada tulang belakang juga mula kehilangan cecair dan keanjalannya; menyebabkan ia hilang kebolehan untuk menyerap hentakan.

“Kesakitan boleh berlaku dalam banyak keadaan contohnya mengangkat benda yang terlalu berat atau regangan berlebihan terjadi menyebabkan salah satu otot atau ligamen tergeliat atau kejang.

“Jika tulang belakang mengalami regangan atau mampatan keterlaluan, satu cakera boleh pecah atau tertolak keluar. Cakera ini akan memberi tekanan kepada lebih 50 saraf yang bercabang daripada saraf tunjang.

“Apabila akar saraf ini terhimpit atau mengalami keradangan, kita akan mengalami rasa sakit. Lokasi kesakitan itu bergantung kepada saraf mana yang terhimpit atau radang.

Selain itu, bagi masalah sakit pinggang, ia juga boleh disebabkan masalah cakera, artritis, osteoporosis atau lain-lain penyakit tulang,” katanya.

Antara faktor penyumbang sakit belakang ialah:
# Obesiti
# Merokok
# Tekanan
# Keadaan fizikal tidak elok
# Postur badan yang salah
# Posisi tidur tidak elok
# Tiada sokongan daripada tilam ketika tidur

Sakit belakang, khususnya pada bahagian pinggang boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius terutama bagi kesakitan yang disertai demam atau hilang kawalan untuk buang air kecil atau besar; sakit ketika batuk dan kaki terasa semakin lemah.

Siapa yang boleh mendapat sakit belakang atau sakit pinggang? Semua orang tanpa mengira peringkat umur dan risiko mendapatnya meningkat dengan pertambahan umur.

Bagaimanapun, masalah ini lebih kerap berlaku pada lingkungan umur 30 hingga 50 tahun; disebabkan proses penuaan dan gaya hidup yang tidak aktif.

Antara masalah yang sering dikaitkan dengan sakit pinggang ialah kerosakan cakera, degenerasi (kemerosotan) tulang belakang (ia menyebabkan kesakitan belakang ketika bangun tidur atau selepas berjalan lama) dan stenosis spina (juga ada kaitan dengan kesakitan akibat masalah cakera).

Diagnosis dan rawatan
Masalah sakit belakang boleh dikesan melalui sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan ujian imbasan. Ujian imbasan ini seperti sinar-X, diskografi (ejen pembandingan akan disuntik ke dalam cakera) dan tomografi komputer (CT) adalah kaedah cepat untuk mengetahui jika pesakit mengalami masalah cakera, stenosis spina atau kerosakan pada mana-mana tulang belakang.

Manakala ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) digunakan bagi mengesan masalah kemerosotan, kecederaan atau penyakit pada tisu, saraf, otot, ligamen dan salur darah. Imbasan tulang pula adalah untuk mengesan dan memantau jika berlaku jangkitan, keretakan atau penyakit pada tulang belakang.

“Kebanyakan masalah sakit belakang khususnya sakit pinggang boleh dirawat tanpa pembedahan. Antara kaedah rawatan ialah untuk mengawal kesakitan, mengurangkan keradangan, mengembalikan fungsi dan kekuatan bahagian belakang serta mencegah kecederaan daripada berulang.

“Menekap bahagian yang sakit dengan ais atau pek panas boleh mengurangkan kesakitan dan keradangan; membantu sesetengah pesakit untuk bergerak. Sejurus selepas mengalami trauma, pesakit seharusnya menekap pek ais yang dibalut dengan tuala pada bahagian sakit selama 20 minit beberapa kali sehari.

“Selepas dua atau tiga hari melakukan kaedah ini, tuam bahagian berkenaan dengan tuala atau pek panas untuk seketika bagi merehatkan otot dan merangsang aliran darah.

Mandi air suam juga boleh membantu merehatkan otot.

“Selain itu anda juga boleh berehat di katil (baring) tetapi hanya untuk satu atau dua hari saja. Berehat (baring) boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki. Pesakit seharusnya kembali melakukan aktiviti harian secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, bersenam adalah cara yang paling berkesan untuk mempercepatkan penyembuhan kepada masalah sakit belakang (khususnya sakit pinggang) dan menguatkan otot belakang dan abdomen. Antara senaman yang mudah dilakukan ialah senaman regangan, berenang, berjalan atau menjalani terapi pergerakan bagi memperbaiki koordinasi dan keseimbangan untuk postur dan otot.

Doktor juga akan memberikan ubat untuk merawat sakit belakang akut dan kronik. Selain itu terapi intervensi (termasuklah suntikan ubat bius steroid pada tisu, sendi atau akar saraf) dan suntikan epidural.

Pembedahan adalah pilihan terakhir, selepas semua kaedah lain tidak berjaya mengurangkan kesakitan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.

Pencegahan
Bolehkah sakit belakang dielakkan? Ya. Sakit belakang yang disebabkan postur badan kurang baik atau lain-lain sebab bukan trauma (kemalangan) biasanya boleh dielakkan dengan kaedah di bawah:


# Kerap bersenam untuk meningkatkan keupayaan dan keanjalan otot. Antara senaman yang baik ialah senaman regangan, yoga, tai chi, berenang atau pilates. Lakukan senaman aerobik seperti berjalan, berjoging, berbasikal, bermain badminton atau menari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 20 minit setiap sesi.

Tingkatkan kekuatan anda dengan senaman yang membabitkan seluruh badan, terutama otot perut, belakang, paha dan pinggul. Senaman menguatkan otot kaki dan bahu membantu mengurangkan risiko kecederaan ketika mengangkat benda berat.

Buat pergerakan memanaskan badan sebelum bersenam atau bersukan. Ia penting untuk meningkatkan suhu dan pergerakan otot bagi mengelak risiko kecederaan.

# Pelajari posisi atau postur badan yang betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang. Berhati-hati ketika anda berasakan ketegangan otot supaya ia tidak tercedera.

Elakkan duduk terlalu lama dan buat senaman regangan atau berjalan seketika setiap 30 minit. Apabila duduk, pastikan paha dan lutut pada posisi selesa, selain menggunakan kerusi yang memberi sokongan pada belakang badan.

# Amalkan prinsip ergonomik - sama ada di rumah atau tempat kerja boleh mengurangkan risiko kecederaan. Ini termasuklah menggunakan kerusi yang mempunyai penyandar mengikut bentuk semula jadi tulang belakang.

“Tulang belakang kita mempunyai lengkuk seperti bentuk S terbalik dan sebarang aktiviti yang mengubah lengkuk semula jadi ini, jika dilakukan untuk jangka masa lama, boleh menyebabkan ketidakselesaan. Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan sakit belakang,” kata Dr Siow.

# Amalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan masalah berlebihan berat badan, terutama di bahagian pinggang. Ini kerana kegemukan di pinggang akan memberi lebih kesan kepada otot di bahagian berkenaan.

# Berhenti merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera lebih mudah mengalami kemerosotan.

# Tidur di atas tilam yang boleh memberi sokongan kepada badan, tidak terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya. Tidur dalam posisi yang membolehkan anda mengekalkan lengkungan tulang belakang yang normal.

Tilam yang tidak memberi sokongan kepada badan akan mendorong kita untuk tidur dalam posisi kurang baik, membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang - semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.

“Tilam yang baik sepatutnya memberikan sokongan kepada lengkuk semula jadi tulang belakang. Kajian menunjukkan tilam yang separa empuk boleh membantu mengurangkan kesakitan belakang. Jika tilam terlalu keras akan memberi lebih tekanan pada belakang dan ini boleh memburukkan keadaan,” katanya.

Sumber Dari:
Hmetro

Sunday, February 20, 2011

Kentut......inilah jawapannya

SELAIN jaga makan dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak, rajin-rajinlah bersenam. Banyak gangguan kesihatan diatasi dengan bersenam termasuk masalah kembung perut; nasihat seorang pakar perubatan dalam ceramah umum menjawab soalan wanita yang mengadu kerap berasa tidak selesa setiap kali selepas makan walaupun dia hanya makan sedikit.

Kembung perut atau banyak angin tidak hanya berlaku pada bayi tetapi dianggap masalah biasa yang dialami kebanyakan orang, terutama wanita.


Dianggarkan tujuh atau lapan daripada setiap 10 orang mengalami masalah gas berlebihan dan walaupun tidak berbahaya, ia boleh menjejaskan daya tumpuan, prestasi kerja dan kualiti hidup seseorang.

Masalah kembung perut atau pengembangan abdomen sebenarnya tidak berlaku pada perut, sebaliknya di dalam usus kecil. Biasanya ia disebabkan proses penghadaman yang tidak teratur dan mengakibatkan penghasilan lebih banyak gas daripada biasa. Kehadiran gas berlebihan ini menyebabkan perut terasa sesak dan tidak selesa.


Gejala kembung perut menandakan kita mengalami masalah tidak toleran makanan — maknanya ada jenis makanan yang boleh mengakibatkan kita berasa tidak selesa.


Ketika proses pencernaan di dalam usus, makanan dipecahkan kepada komponen nutrien untuk diserap semula sebagai tenaga. Bahan yang tertinggal ini bergerak ke dalam usus besar untuk dibuang sebagai najis.

Sesetengah bahan sisa ini menghasilkan gas metana, oksigen dan nitrogen. Namun, apabila gas dihasilkan secara berlebihan, ia menolak dinding usus yang menyebabkan kita berasa ‘kembung’ dan tidak selesa.


Secara purata kita menghasilkan antara 0.5 hingga dua liter gas di dalam sistem pencernaan setiap hari iaitu oksigen, karbon dioksida, nitrogen, hidrogen sulfida, ammonia dan metana.

Gas oksigen, karbon dioksida dan nitrogen adalah komponen yang paling besar masuk ke dalam sistem pencernaan melalui mulut ketika kita menelan.


Gas dalam usus datang daripada dua sumber utama iaitu udara yang ditelan dan makanan. Setiap kali kita menelan, sedikit gas masuk ke dalam perut dan berpindah ke usus kecil di mana sebahagian daripadanya diserap ke dalam badan. Baki gas yang tidak diserap akan masuk ke dalam usus besar (kolon) dan dikeluarkan melalui dubur (rektum). Angin yang masuk ke dalam perut tidak berpindah ke usus kecil atau besar, sebaliknya dikeluarkan melalui mulut (sendawa).


Gas yang terkumpul dalam perut dan usus dikeluarkan secara berperingkat sepanjang hari. Biasanya ia tidak menimbulkan masalah tetapi bagi individu yang sensitif, pengumpulan gas menyebabkan ketidakselesaan dan perut terasa kembung setiap kali selepas makan.


Ada dua cara semula jadi untuk mengeluarkan gas ini iaitu melalui sendawa dan kentut. Gas ini tidak berbau tetapi bau kentut disebabkan kehadiran gas surih seperti hidrogen sulfida yang terhasil apabila makanan di dalam usus mengalami proses pereputan.


Biasanya masalah kembung atau sakit perut lebih terasa pada waktu tengah hari, terutama selepas makan, kerana makanan berlemak juga sebenarnya boleh merangsang kepada pengumpulan gas di dalam perut kerana lemak memperlahankan proses pengosongan perut dan membenarkan lebih banyak gas terkumpul.


Banyak faktor boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah angin berlebihan, seperti kerap mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula keras; makan atau minum terlalu cepat dan makanan ditelan sebelum ia lumat; banyak bercakap, bercakap terlalu cepat atau banyak berbual ketika makan; minum minuman berkarbonat, gigi palsu tidak dipasang dengan baik, tekanan (individu tertekan biasanya menelan lebih banyak udara), merokok dan makan makanan banyak lemak mengambil masa lebih lama untuk dicerna dan memberi peluang banyak gas terkumpul dalam perut. Masalah ini juga boleh disebabkan keradangan pada lapisan dalam perut atau gastritis. Banyak perkara boleh menyebabkan gastritis dan antara paling lazim ialah jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H pylori). Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah kembung yang berpanjangan.


Selain itu pengambilan sumber serat (sayur, buah atau kekacang) yang terlalu banyak secara mendadak; ketegangan sebelum haid (yang hilang apabila haid bermula); pengambilan pil pencegah kehamilan; kekurangan protein dan air serta terlalu banyak makan makanan masin atau diproses juga dikenal pasti boleh menyumbang kepada masalah ini.


Malah proses pemecahan makanan yang tidak tercerna juga mengakibatkan masalah gas berlebihan. Bukan semua makanan diserap oleh badan. Sesetengah jenis karbohidrat, contohnya gula, kanji dan serat di dalam usus tidak dapat diserap akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Jadi, makanan yang tidak diserap akan berpindah dari usus kecil ke usus besar di mana bakteria baik memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen, karbon dioksida dan metana. Semua gas ini akhirnya keluar melalui dubur.


Antara gejala kita mengalami masalah angin berlebihan ialah:
# Kerap buang angin — Secara purata kita buang angin kira-kira 10 kali sehari. Namun kekerapan ini boleh bertukar antara enam hingga 20 kali sehari. Jika lebih daripada itu, ia dikira keterlaluan;
# Kerap sendawa — Sendawa selepas makan adalah perkara normal dan gas dikeluarkan apabila perut penuh berisi makanan. Bagaimanapun jika kerap sendawa, ia mungkin disebabkan seseorang itu menelan terlalu banyak udara dan melepaskan udara berkenaan sebelum ia sampai ke perut. Sesetengah orang sengaja menelan udara untuk membuat mereka sendawa bagi melegakan ketidakselesaan perut.


Kajian menunjukkan tindakan ini tidak memberi kelegaan, sebaliknya ia hanya menambah kandungan udara dalam perut. Malah ia boleh merangsang berlakunya masalah asid refluks iaitu aliran songsang asid dalam perut ke dalam salur makanan (asid gastrik di dalam perut tertolak ke atas ketika individu berkenaan cuba sendawa). Selain itu sendawa yang terlalu kerap mungkin menjadi petanda kepada masalah usus atas seperti ulser peptik atau asid refluks,
# Kembung — Keadaan ini boleh disebabkan oleh kehadiran angin dalam perut dan usus. Ia juga mungkin disebabkan jangkitan bakteria H pylori;
# Sakit perut atau rasa tidak selesa — Ia adalah masalah biasa tetapi kadangkala gejala ini boleh mengelirukan. Pengumpulan gas dalam usus yang menyebabkan kesakitan boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus, sama ada di kiri atau kanan. Jika pengumpulan gas berlaku pada bahagian kiri usus, mungkin ditafsir sebagai penyakit jantung dan jika di belah kanan pula, ia menyerupai masalah batu hempedu atau apendiks.

Masalah gas berlebihan ini boleh diatasi dengan beberapa cara, antaranya:
# Perubahan pada makanan — Kenal pasti makanan yang boleh menyebabkan banyak angin seperti bunga kubis, kubis, brokoli, kekacang, kebanyakan makanan berkanji kecuali beras (kentang, jagung, gandum), bawang serta makanan bergoreng dan banyak lemak;
# Jika anda ada masalah alahan pada gula dalam susu (laktosa); elak mengambil susu dan produk tenusu. Sebaliknya, gantikan dengan susu tanpa laktosa atau minum yogurt kerana kajian mendapati bakteria dalam yogurt (probiotik) dapat mengurangkan masalah ini;
# Kurangkan buah-buahan dan pemanis makanan kerana makanan manis mengandungi gula fruktosa juga boleh menyebabkan penghasilan gas berlebihan dalam usus. Usus kecil kita hanya boleh menyerap fruktosa pada jumlah tertentu dan selebihnya masuk ke dalam usus besar dan menjalani proses penapaian seperti laktosa. Elak juga pemanis makanan seperti sorbitol kerana ia sukar diserap badan;
# Elak minum minuman berkarbonat, mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula;
# Pastikan gigi palsu dipasang dengan baik;
# Tumpukan perhatian pada makanan ketika makan dan kunyah makanan perlahan-lahan sehingga benar-benar lumat;
# Perlahankan rentak percakapan;
# Tingkatkan pengambilan sumber serat secara berperingkat;
# Kerap bersenam kerana senaman semudah berjalan atau joging boleh membantu merangsang pergerakan gas dalam usus

Sumber Dari:
Hmetro

Tuesday, February 15, 2011

Khasiat Halia

Khasiat Halia

1. Membantu untuk menghadamkan makanan.
2. Melembutkan perut dengan kelembutan yang sederhana.
3. Mengawal hati supaya tidak sejuk dan basah.
4. Membantu untuk menguatkan tenaga jimak dan menambahkan air mani.
5. Membuang angin yang terdapat dalam usus-usus kecil dan besar.
6. Membuangkan kahak lendir yang melekat di bahagian halkum, jika halia itu dicampur dengan sedikit gula dan diminum dengan air panas.
7. Menghilangkan bau busuk mulut.
8. Menghilangkan kadar kesejukan yang terdapat pada makanan dan buahan atau sayuran bila sudah dimakan atau diminum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...