Sunday, October 31, 2010

Buang toksin dalam tubuh

Buang toksin dalam tubuh




SEMENJAK malapetaka ekologi membabitkan Chisso Corporation, sebuah kilang memproses baja di Minamata, Jepun pada tahun 1932, isu pencemaran bahan kimia di dalam makanan khususnya hidupan laut seperti ikan dan kerang terus diperkatakan hingga kini.

Sehingga tahun 2001, seramai 2,265 mangsa dikesan menghidap penyakit Minamata yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

Penyakit itu berpunca daripada pembuangan methylmercuri secara terus ke dalam laut oleh Chisso dari tahun 1932 hingga 1968.

Dalam insiden tersebut, hidupan laut khususnya ikan dan kerang yang menjadi makanan ruji penduduk Teluk Minamata tercemar dengan bahan kimia bertoksik tinggi itu.

Bagaimanapun, peristiwa tersebut menyebabkan para saintis lebih giat mengkaji kehadiran logam berat berbahaya di dalam hidupan laut yang menjadi makanan masyarakat dunia.

Persatuan Kehamilan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada ibu mengandung agar tidak mengambil ikan tuna, merlin serta mackerel kerana ia tercemar dengan merkuri.

Tahap radiasi merkuri ikan tuna dikenal pasti berdasarkan jenis dan tempat ia ditangkap. Keracunan merkuri mampu merosakkan perkembangan otak serta fizikal janin.

Pada umumnya, siapa pun tahu racun memang mudarat untuk tubuh. Racun yang terkumpul di dalam badan boleh datang daripada mana sahaja.

Ia mungkin daripada air atau makanan yang ditelan, udara yang dihirup atau sesuatu yang disentuh oleh tangan.

Antara logam berat yang sering ditemui di dalam tubuh ialah merkuri, aluminium kadmium, dan plumbum.

Semula jadi


BEKAM penyahtoksin ialah antara kaedah alternatif untuk membuang toksin daripada dalam tubuh.


Menurut Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, sebanyak 43 peratus daripada kes keracunan di negara ini yang dilaporkan pada tahun 2008 berpunca daripada kandungan isi rumah.

Jelas Ahli Farmasi PRN, Sulastri Samsudin, penyebaran utama bahan toksik berlaku melalui saluran makanan iaitu mulut, saluran pernafasan (hidung), kulit dan mata.

Menurut beliau, makanan sendiri terhasil melalui gabungan beberapa jenis bahan kimia dan menjadi sumber nutrisi seperti protein, karbohidrat, vitamin, serat dan antioksidan.

Namun, terdapat bahan beracun seperti cyanogenic glycoside di dalam sesetengah ubi.

Sesetengah teknik pemprosesan masakan juga menghasilkan bahan sampingan bertoksik seperti polycylic aromatic hydrocarbon atau acrylamide.

Selain itu, bahan pencemar alam sekitar seperti plumbum dan bahan berklorin, kadmium daripada kerak bumi serta alga dan kulat seperti aflatoksin dan racun daripada kerang-kerangan boleh didapati dalam bekalan makanan pada tahap berbeza-beza.

Dalam pada itu, daripada kesemua sampel produk kosmetik serta bahan makanan dan minuman yang diuji Pengguna Pulau Pinang (CAP) setakat ini, hampir 99 peratus daripadanya mengandungi bahan beracun di dalamnya.

Ini termasuk bekas polisterina, asid borik, bedak talkum, botol susu Bisphenol A (BPA), bekas air polikarbonat, sotong kering serta perasa tambahan Rhodamine B.

Kesannya, setiap pengguna akan berdepan dengan risiko penyakit berbahaya seperti kanser, perubahan genetik, diabetes, kerosakan buah pinggang dan koronari jantung.

Risiko


SESETENGAH jenis ikan mungkin dicemari logam berat, bergantung pada tempat ia ditangkap.


Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut didapati bahaya untuk kesihatan badan dan seeloknya diharamkan penjualannya.

Malangnya, kata beliau, sehingga kini asid borik masih digunakan dalam produk makanan walaupun pihaknya telah beberapa kali menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Ujian yang dilakukan ke atas pelbagai makanan seperti mi kuning, bak chang (ladu Cina) dan kuih Nyonya yang dibeli di pasar basah di Pulau Pinang mendapati ia mengandungi asid borik dalam semua sampel.

“Satu sampel bak chang didapati mengandungi 569 bps (bahagian per sejuta) asid borik, mi kuning (6.51 hingga 296 bps) manakala kuih Nyonya (0.78 hingga 13.5 bps) asid borik.

“Asid borik amat toksin. Walaupun diambil dalam jumlah yang kecil, ia boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah pinggang dan hilang selera makan,” katanya kepada Jurnal.

Selain itu, kata Mohamed, bagi penggemar sotong kering, mereka dinasihati agar tidak memakannya berikutan ujian terbaru yang mendapati ia dicemari kadmium.

Sebelum ini, kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran, dalam bateri, konduktor elektrik dan dalam pembuatan aloi serta plastik.

Selain itu, racun makhluk perosak endosulfan yang digunakan oleh para petani juga didapati berbahaya untuk kesihatan.

Endosulfan ialah sejenis toksin yang sangat beracun dan disyaki boleh menjejaskan sistem endokrin.

Walaupun telah diharamkan pengeluarannya pada tahun 2006 di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974, penjualannya masih berleluasa di sekitar negeri Kedah.

Biasanya tubuh memproses racun-racun yang dikenali sebagai toksin itu menerusi hati dan buah pinggang sebelum mengeluarkannya melalui air kencing, peluh dan pembuangan air besar.

Tetapi bagaimana jika sistem perkumuhan semula jadi itu gagal berfungsi?

Nyahtoksin

Disebabkan sumber racun yang memasuki tubuh terlalu banyak, sesetengah orang mencari penyelesaian alternatif bagi membuang kekotoran atau toksin yang terperangkap itu dengan pelbagai cara.

Antaranya ialah mengambil pil, pelekat, minuman serta makanan yang dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh.

Bagaimanapun, menurut pakar terapi nutrisi di My Life Center, Esther Peh, cara terbaik untuk menyahtoksik ialah melalui proses semula jadi oleh organ tubuh.

“Organ penting seperti buah pinggang, hati, kulit dan kolon mempunyai sistem yang tersendiri untuk membuang kekotoran yang mendap di dalam tubuh,” terang beliau.

Namun, atas faktor usia, kecekapan organ tersebut kadangkala berkurangan. Justeru, penggunaan rawatan penyahtoksin seperti terapi chelation yang ditawarkan My Life Center dapat melancarkan proses tersebut, katanya.


BUAH-BUAHAN dapat membantu mengeluarkan toksin daripada tubuh tetapi awas ia juga mungkin telah dicemari racun.


Jelas beliau, antara simptom utama tubuh manusia diserang oleh toksin ialah hilang selera makan, keletihan melampau atau sukar untuk tidur.

Esther berpendapat seseorang individu perlu melakukan rejim nyahtoksin setiap tiga atau enam bulan sekali.

“Dengan risiko terdedah pada pelbagai punca dan jenis toksin, amat perlu untuk memastikan toksik keluar daripada tubuh.

“Ini penting bagi mengelakkan kerosakan organ seperti usus, buah pinggang atau hati di samping berlakunya dehidrasi,” katanya.

Sambung Esther, disebabkan toksin amat berkait rapat dengan lemak, individu perlu melakukan rutin senaman secara teratur.

Selulit, jelasnya, merupakan ukuran mudah untuk mengetahui tahap toksin di dalam tubuh seseorang kerana toksin sentiasa ‘melekat’ pada lemak.

Selain itu, tubuh turut memerlukan agen pemulihan.

“Pengambilan antioksida seperti makanan tinggi serat atau lengai anggur boleh membantu memulihkan organ yang luka akibat proses nyahtoksin,” kata Esther.

Terserempak bunian mandi

Terserempak bunian mandi


TASIK Kenyir menjadi tempat tumpuan pemancing ikan toman, kelah dan sebarau.


KEGILAAN kaki pancing terhadap hobi itu sudah lama diketahui. Mereka sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk membeli peralatan memancing sahaja.

Ada pula yang mengambil cuti selama berminggu-minggu semata-mata untuk mencari lubuk ikan.

Namun, di sebalik semua itu, cerita-cerita misteri sering melingkari kaki-kaki pancing tegar ini.

Jurnal minggu ini berkesempatan berbual-bual dengan beberapa kaki pancing mengenai kisah pelik yang pernah mereka alami.

Salah seorang daripada mereka ialah kartunis terkenal Ibrahim Anon, atau Ujang, 45.

Penggemar ikan kelah dan sebarau ini berkata dia pernah terserempak dengan harimau, gajah dan hampir dipatuk ular semasa memancing di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Saya akan memancing di sana setiap tahun. Ngauman harimau sudah biasa didengar.

“Jadi untuk mengelakkan daripada bertembung dengan haiwan pemakan daging itu, kami kumpulan pemancing bergerak perlahan-lahan ke tempat lain.

Harimau

“Pantang harimau ialah jangan diganggu,” kata Ujang yang kini mengusahakan perniagaan berbentuk penganjuran aktiviti memancing.

Ceritanya lagi, tindakan yang sama juga dilakukan jika ternampak kelibat gajah.

Menyentuh mengenai kejadian aneh, Ujang memberitahu dia tidak pernah mendengar suara misteri apatah lagi terserempak dengan bunian.


UJANG hanya pernah terserempak kelibat gajah liar dan mendengar ngauman harimau.


“Mungkin itu perasaan kita sahaja. Paling penting niat kita adalah untuk memancing, bukan ada tujuan lain,” tegasnya yang hampir lemas dalam satu kejadian bot terbalik di Sungai Tembeling, Pahang tetapi mujurlah dia pandai berenang.

Seorang lagi kaki pancing, Ku Ahmad Adzam Ku Saud, 33, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, pernah berasa seperti ada orang menepuk bahu kanannya semasa memancing di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.

“Namun, apabila menoleh, tiada siapa di belakang saya.

“Pada mulanya saya fikir itu hanyalah khayalan tetapi perkara itu berlaku berulang kali menyebabkan saya percaya ia perbuatan makhluk halus,” kata penggemar ikan sebarau dan toman ini.

Bicaranya lagi, kejadian itu menyebabkan dia ketakutan dan kembali ke khemah semula.

Ku Ahmad demam selama beberapa hari selepas peristiwa itu.

“Saya juga pernah melihat gadis bunian sedang mandi. Dia kelihatan seperti wanita biasa tetapi kulitnya lebih putih dan berwajah cantik.

“Saya cuma nampak muka dan tapak tangannya. Tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan saya terpikat,” katanya tersenyum.

Bagi Mohd. Suhaimi Abdul Karim, 29, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, dia hampir lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakan karam semasa memancing di Pulau Sembilan, Perak.

Kejadian itu berlaku lima tahun lepas.

“Bayangkan pada masa itu saya dan tujuh orang rakan lain tidak memakai jaket keselamatan.

“Kami hanya berpaut pada badan bot tersebut dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi sebelum diselamatkan.

“Selepas peristiwa itu, saya tidak lagi pergi memancing di laut,” katanya yang memberitahu bot tersebut bocor sebelum tenggelam.

Langsuir


TAMAN Negara, Pahang didakwa kaki-kaki pancing mempunyai kisah pelik dan menyeramkan.


Suhaimi juga mendakwa ternampak hantu langsuir semasa memancing di Taman Negara, Kuala Tahan.

“Ketika itu saya dan rakan-rakan berkhemah di hutan. Kami tidak nyenyak tidur kerana mendengar bunyi bising yang berulang kali.

“Namun, akhirnya mereka tertidur juga kerana terlalu penat kecuali saya.

“Saya sebaliknya keluar dari khemah untuk mencari arah bunyi tersebut.

“Sebaik sahaja dijumpai, saya terkejut kerana rupa-rupanya ada hantu langsuir sedang mengilai di atas sebatang pokok,” ceritanya.

Katanya lagi, hantu itu memakai pakaian putih, berambut panjang, matanya merah manakala giginya tajam.

“Akibat kejadian itu, saya demam panas selama beberapa hari,” ujarnya.

Mohd. Hanipah Wahi, 47, dari Sepang, Selangor pula menceritakan pengalamannya memancing di sebuah jeti lama di Bagan Datoh, Perak pada awal tahun 1990-an.

“Saya ke sana kerana rakan mengatakan kawasan itu terdapat banyak ikan. Jadi saya pergi seorang diri dengan menyewa sebuah bot.

“Hasil tangkapan cukup banyak tetapi apabila bercakap dengan orang kampung, mereka kata mereka tidak berani memancing atau menangkap ikan di situ kerana sering terserempak dengan hantu sungai,” katanya.

Tq

Sumber Dari kosmo.com.my

Dua beradik melecur diseterika

Dua beradik melecur diseterika


MUHAMMAD AL-HAKIM (kanan) menunjukkan kecederaan pada lengan adiknya,
Muhammad Fairuz akibat diseterika guru mereka ketika ditemui di Kampung Anak Keranji, Slow Machang, Kelantan semalam.


PASIR MAS - Dua beradik antara 11 pelajar yang melecur akibat tindakan melampau seorang guru menggunakan seterika panas bagi mengejutkan mereka supaya menunaikan solat Subuh baru-baru ini.

Kejadian berlaku di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu dekat sini pada 12 Oktober lalu ketika Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, nyenyak tidur.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, kedua-dua mereka melecur masing-masing pada tapak kaki dan lengan kiri selepas guru tersebut yang juga warden asrama menggunakan seterika untuk mengejutkan mereka.

Turut mengalami nasib yang sama ialah sembilan lagi pelajar lain.

Menurut Muhammad Al-Hakim, biasanya mereka akan bangun pukul 6 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.

Bagaimanapun, pada hari tersebut, sebahagian besar pelajar di dalam dom asrama itu nyenyak tidur.

"Ketika nyenyak tidur, saya terkejut apabila terasa panas pada kaki.

"Apabila tersedar, saya nampak cikgu tersebut berdiri sambil memegang seterika panas yang digunakan untuk mengejutkan kami.

"Ketika itu dalam dom kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripadanya telah bangun lebih awal menyebabkan mereka terselamat daripada dikenakan tindakan oleh cikgu tersebut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Anak Keranji, Slow Machang dekat sini semalam.

Sumber dari Akbar Kosmo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...