Saturday, October 22, 2011

Takwaan Dinilai Berdasarkan Iman

TAKWA dari segi bahasa bermaksud kawalan, benteng, penjagaan dan berusaha untuk menjauhkan kemudaratan supaya manusia mencapai kejayaan dan keselamatan.


Dari segi istilah ia memberi maksud yang pelbagai antaranya menurut Mu'jam Alfaz al-Quran al-Karim, takwa bermaksud 'takut kepada azab Allah dengan melaksanakan segala ketaatan dan menjauhkan segala larangan-Nya'. Terdapat banyak ayat al-Quran menyebut berkaitan takwa, antaranya ialah firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan kepada Aku sahaja hendaklah kamu bertakwa” (Surah al-Baqarah : 41)

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Dan peliharalah diri kamu dari huru hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah.” (Surah al-Baqarah : 281).

Perkataan ‘peliharalah’ adalah terjemahan kepada perkataan takwa. Kedua-dua ayat di atas membawa perkataan takwa kepada maksud takut dan gentar.

Dalam Surah Ali Imran ayat 102, Allah S.W.T berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam”.
Ayat ini sering diperingatkan kepada kaum Muslimin dalam khutbah Jumaat. Ibn Abbas menghuraikan takwa dalam ayat ini dengan maksud melakukan ketaatan dan ibadah kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Takwa mengandungi dua unsur utama iaitu:

i. Unsur kejiwaan, roh dan hati nurani, iaitu ketulusan hati, keikhlasan beramal hanya kerana Allah selepas tertanamnya iman, melafazkan dua kalimah syahadah dan pengiktirafan bahawa pengabdian diri dan ketuanan hanya bagi Allah Pemilik Sekalian Alam.

ii. Unsur amali, perlakuan dan segala yang zahir iaitu iltizam dengan syarak, melaksanakan semua hukum syarak, khususnya menunaikan perkara wajib, mempraktikkan segala suruhan, meninggalkan yang haram dan menjauhi yang dilarang.

Gambaran takwa semuanya menghindari daripada sifat keji iaitu kepura-puraan, bohong, tipu, khianat, penyelewengan, adu domba, umpat keji dan segala perlakuan mazmumah. Hanya syarak yang menjadi pengukur setiap amalan dan penerimaannya. Ia juga neraca kepada tingkah laku dan kejayaan.

Iman mempunyai pelbagai darjat dan kedudukan. Begitu juga amal seseorang, berbeza-beza tingkatannya antara satu sama lain. Oleh itu, nilai ketakwaan juga turut berbeza mengikut keadaan dan kedudukan seseorang. Natijah daripada kelainan ini turut membezakan penilaian hukum syarak terhadap tiap darjat takwa yang dimiliki oleh seseorang itu.

Takwa terbahagi kepada empat tingkatan iaitu :

i. Takwa daripada perbuatan syirik;

ii. Takwa daripada perbuatan bid’ah;

iii. Takwa daripada perbuatan maksiat;

iv. Takwa daripada berlebih-lebihan dalam perkara halal.

Tiga peringkat takwa paling atas dinyatakan serentak dalam satu ayat al-Quran yang bermaksud: “Tidak ada dosa bagi orang yang beriman serta mengerjakan amal yang salih pada apa yang mereka telah makan dahulu apabila mereka bertakwa dan beriman, serta mengerjakan amalan yang salih, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. (Surah al-Maidah : 93).

Takwa yang berserta dengan iman akan mencegah daripada berlakunya perbuatan syirik. Sedangkan iman yang berserta tauhid akan membina ibadah yang menjadi tunjang utama dalam kehidupan. Takwa yang berserta iman akan mencegah berlakunya perkara bid’ah. Keimanan yang sedemikian adalah yang berpegang teguh dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Takwa yang berserta iman juga akan mencegah daripada berlakunya dosa-dosa kecil. Berpegang dengan takwa, iman dan tauhid akan mencetuskan ihsan, iaitu akan tertegaknya segala ketaatan dan istiqamah atas asas takwa.

Takwa dengan maksud menjauhi perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara halal ada diterangkan oleh Imam al-Ghazali ‘dinamakan sesuatu golongan itu sebagai orang yang bertakwa adalah kerana mereka meninggalkan perkara yang harus, bimbang akan mendatangkan sesuatu yang tidak baik atas diri mereka.’

Dalam satu riwayat, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud ‘seseorang itu tidak akan mencapai darjah takwa yang sebenar, sehingga mereka boleh meninggalkan perkara yang harus kerana bimbang akan mendatangkan sesuatu yang tidak baik kepada mereka’.

Takwa yang bermaksud meninggalkan sesuatu perkara kerana bimbang ia akan memudaratkan agama terbahagi kepada dua iaitu:

i. Haram semata-mata;

ii. Berlebih-lebihan di dalam perkara halal.

Ini adalah kerana apabila seseorang melakukan perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara halal, ia akan menjerumuskan si pelakunya kepada perbuatan haram. Larangan melakukan perbuatan haram itu kerana ia lahir daripada runtunan hawa nafsu yang keji.

Oleh itu sesiapa yang ingin melihat agamanya terpelihara, maka hendaklah ia menjauhi yang haram dan meninggalkan perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara halal kerana dikhuatiri akan terjatuh dalam perbuatan yang haram”.

Hukum takwa ada dua saja iaitu wajib dan sunat. Wajib dalam konteks memelihara diri daripada syirik, bid’ah dan perkara yang diharamkan Allah. Begitu juga wajib hukumnya memelihara dan membersihkan hati daripada kejahatan dan dosa yang belum pernah dilakukan. Hal ini memerlukan azam dan tekad untuk meninggalkannya. Akhirnya kekuatan yang menolak perbuatan dosa itu akan menjadi benteng dan perisai yang memelihara setiap individu daripada segala mungkar.

Takwa dalam konteks hukumnya sunat bermaksud meninggalkan larangan Allah yang bertujuan untuk membentuk adab dan pekerti mulia seperti menjauhi daripada berlebih-lebihan dalam perkara halal dan yang harus. Apabila jelas kelihatan setiap perkara yang harus itu boleh membawa kepada syubhat, maka adalah lebih utama untuk ditinggalkan. Perbuatan itu dianggap baik dan berpekerti mulia.

Takwa yang letaknya dalam hati berperanan besar dalam memastikan individu Muslim sentiasa dalam kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT. Segala aktiviti hariannya tertumpu hanya kepada Allah. Penumpuan terarah ini pasti menjadikannya lebih berdisiplin kerana meyakini tiada suatu pun perbuatan yang cuba disembunyikan namun dalam pengetahuan-Nya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...