TEL AVIV - Jika dunia hiburan kerap dikejutkan dengan pelbagai gosip
hangat mengenai selebriti dan kehidupan mereka, dunia antarabangsa juga
tidak kurang hebatnya.
‘Ruangan gosip’ dalam perhubungan antarabangsa sejak beberapa hari lalu
mula diisi dengan spekulasi bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin
Netanyahu sedang mendapatkan sokongan Kabinet negara itu untuk
melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran, rancangan yang dianggap
Teheran sebagai cubaan membunuh diri oleh Tel Aviv.
Spekulasi itu mula timbul apabila akhbar Israel, Haaretz melaporkan
seorang pegawai kanan kerajaan mengesahkan Netanyahu dan Menteri
Pertahanan Israel, Ehud Barak cuba mendapatkan sokongan anggota Kabinet
yang tidak bersetuju dengan rancangan menyerang kemudahan nuklear Iran.
Netanyahu dan Barak juga baru-baru ini berjaya memujuk Menteri Luar
Israel, Avigdor Lieberman untuk menyokong rancangan mereka walaupun
sebelum ini Lieberman menentang serangan ke atas Iran.
Namun, Barak menafikan laporan media Israel bahawa dia dan Netanyahu
telah membuat keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Iran walaupun
rancangan itu dikatakan ditentang ketua tentera dan agensi perisikan
Zionis.
“Anda tidak perlu menjadi seorang yang genius untuk memahami bahawa
pada zaman ini di Israel, dua individu tidak boleh membuat keputusan
mereka sendiri,” katanya seakan-akan mengesah-kan kewujudan rancangan
serangan itu.
Rancangan itu sebenarnya tidaklah terlalu mengejutkan kerana rejim
Zionis pernah melancarkan serangan udara dan memusnahkan reaktor nuklear
yang masih dalam pembinaan di Iraq, pada Jun 1981 dengan sokongan kuat
bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang menjadi anggota Kabinet
Keselamatan pada masa itu.
Dakwaan terbaru ini dikuatkan lagi dengan laporan akhbar Kuwait,
Al-Jarida, semalam, bahawa Netanyahu mengarahkan agensi perisikan Israel
menyiasat bagaimana perbincangan mengenai serangan ke atas Iran
terlepas kepada media.
Sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat pula enggan memberi sebarang
kenyataan mengenai laporan akhbar itu tetapi Washington kerap mengulangi
akan mempertimbang menggunakan cara ketenteraan untuk menghalang Iran
membangunkan senjata nuklear.
Tentunya rancangan gila Zionis ini menaikkan kemarahan Iran, dengan
ketua tentera negara itu, Jeneral Hassan Firouzabadi memberi amaran
rejim Israel akan menerima hukuman setimpal jika sebarang serangan
dilancarkan.
“Kami menganggap sebarang ancaman sebagai ancaman sebenar. Dengan
menggunakan peralatan yang betul, kami bersedia menghukum mereka dan
membuat mereka menyesal,” katanya
Tq
Sumber Dari:
Sinar Harian Dunia
No comments:
Post a Comment