Thursday, March 8, 2012

Besut cemerlang JUARA STPM PERINGKAT TERENGGANU

KAMPUNG RAJA, BESUT – Pengorbanan ikhlas guru-guru dan kesungguhan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, dekat Kampung Darau, Hulu Besut membuahkan hasil apabila sekolah tersebut muncul sekolah terbaik daripada 53 buah sekolah di negeri ini dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 yang diumumkan semalam.

Pemangku Pegawai Pelajaran Daerah, Ab Halim Hassan berkata, turut membanggakan kerana lima buah sekolah di daerah ini termasuk SMK Putra, tersenarai dalam kedudukan 10 buah sekolah terbaik STPM 2011 peringkat negeri.

Menurut, ia didahului oleh SMK Putra (tempat pertama negeri), SMK Tengku Mahmud (keempat), SMK Nasiruddin Shah (keenam), Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif (ketujuh) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq tempat kesembilan negeri.

“Turut membanggakan kerana Siti Aisyah Syahirah Azman, pelajar SMA Maarif muncul sebagai salah seorang daripada tiga calon STPM terbaik negeri apabila memperoleh mata 4.00 (4A dan 1B).

“Pelajar terbaik kedua daerah pula ialah Faten Nazren Manaf (3A 1B) dari SMK Bukit Payong, ketiga; Mohd Izwan Dollah (3A 1B) pelajar SMK Nasiruddin Shah, manakala tempat keempat hingga keenam adalah pelajar SMK Tengku Mahmud iaitu Mohd Mustaqim Zakaria, Nur Azura Roslan dan Nur Adillah Ayub,” katanya.

Ab Halim berkata, pelajar terbaik tempat ketujuh ialah Nur Fathihah Hussin dari SMKA Nurul Ittifaq dan kelapan, Rahil Maizura Mohd Yasin dari SMK Bukit Payong.

Kata beliau, SMK Putra mendahului sekolah lain dengan keputusan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.91, SMK Tengku Mahmud (2.76), SMK Nasiruddin Shah (2.73), SMA Maarif (2.64) dan SMKA Nurul Ittifaq (2.61).

Menurutnya, empat buah sekolah lagi yang mempunyai pelajar menduduki STPM di daerah ini ialah SMK Bukit Payong, Hulu Besut, SMK Sering Nering, Jertih, SMK Kuala Besut dan SMK Renek, Jabi.

Ab Halim berkata, keseluruhan pelajar yang menduduki STPM pada tahun lalu seramai 662 orang dengan 646 orang lulus penuh (94.44 peratus), lulus sebahagian 13 orang (1.90 peratus) dan gagal hanya tiga orang (0.44 peratus).


Puasa, solat sunat rahsia pelajar cemerlang

AMALAN berpuasa setiap Isnin dan Khamis, membaca al-Quran, sering melakukan solat Dhuha dan solat Hajat antara rahsia kejayaan salah seorang pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 peringkat negeri yang diumumkan semalam.

Bagi Siti Aisyah Syahirah Azman, 20, amalan yang dilakukannya sejak di sekolah rendah itu membuahkan hasil memberangsangkan.

Siti Aisyah Syahirah anak kepada pembekal barangan pergigian itu memperoleh 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Sejarah, Usulludin, Syariah dan 1B dalam Bahasa Arab dalam keputusan yang diumumkan semalam.

Anak sulung kepada pasangan Azman Jusoh, 46, dan Norehan Arshad, 48, seorang guru agama di Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri itu muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik negeri.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Maarif di sini itu yang bercita-cita menjadi pendidik menjadikan kegagalan memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dahulu sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih gigih.

Malah kegagalan mendapat tawaran daripada mana-mana institut pengajian tinggi awam (IPTA) selepas memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2008 lalu juga membuat beliau bertekad membuat yang lebih baik kerana baginya apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Saya hanya memperoleh keputusan 3A, 2B dalam UPSR dan 6A dalam SPM. Ketika belajar di tahun enam dulu, memang saya sedih kerana hanya mendapat keputusan itu sedangkan ramai kawan saya dapat 5A, tetapi ayah dan ibu memberi semangat dengan mengatakan
masa depan saya masih panjang.

“Ketika dalam tingkatan tiga, saya belajar bersungguh-sungguh kerana ingin membuktikan kegagalan sebelum itu bukan bererti gagal selama-lamanya, kerana yang penting perlu ada usaha dan tekad. Alhamdulillah akhirnya saya memperoleh 8A, 1B dalam Penilaian
Menengah Rendah (PMR),” katanya yang telah khatam al-Quran sebanyak 12 kali sejak berusia 12 tahun.

Siti Aisyah berkata, masa terluang sama ada di dalam kelas atau di asrama banyak dihabiskan dengan membaca al Quran.

Beliau yakin amalan itu membantunya mencapai kejayaan itu di samping fokus ketika guru mengajar di dalam kelas, selain melakukan ulang kaji dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan.

“Guru dan ibu serta ayah juga pendorong kejayaan saya. Mereka banyak bantu saya. Tanpa mereka, pasti saya tidak mampu mengecapi kejayaan ini,” katanya yang kini bertugas sebagai guru agama sambilan di sebuah kelas al-Quran dan Iqra’ di Kampung Padang Luas, Jertih.

Siti Aisyah menasihatkan mana-mana pelajar yang gagal atau tidak memperoleh keputusan yang baik dalam mana-mana peperiksaan sebelum ini, agar tidak berputus asa, sebaliknya perlu tingkatkan usaha kerana ia pasti membawa kejayaan.

Siti Aisyah tinggal bersama keluarganya di Taman Seri Intan, Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...