23.05.2011
KEMAMAN - Perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Terengganu akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu diputuskan hasil permohonon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya perlawanan itu diadakan di stadium tersebut.
"Oleh kerana ia diadakan pada bulan Jun dan dimasukkan dalam pakej permohonan FAM untuk menganjurkan pelbagai perlawanan persahabatan, termasuk perlawanan kelayakan Sukan Olimpik, kelayakan Piala Dunia pada bulan Jun dan Julai ini, maka saya meminta pihak stadium agar stadium itu dapat digunakan untuk perlawanan Piala FA yang akan datang ini," katanya kepada pemberita.
Mengenai aspek keselamatan semasa perlawanan akhir itu nanti, Ahmad Shabery melahirkan keyakinan terhadap penonton kedua-dua pasukan mampu menunjukkan sikap yang terbaik.
"Insyaallah Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang paling akrab, boleh berkongsi budu, keropok lekor dan masing-masing makan nasi dagang, saya rasa masing-masing akan jaga kesopanan dan ketertiban.
"Kita dua negeri yang sepatutnya tidak berbalah, kalau logiknya kita jangka bukan bermain di Bukit Jalil tapi bermain di Besut, tetapi malangnya di Besut tidak ada stadium," katanya.
Kelantan layak ke perlawanan akhir dengan mengalahkan Selangor dengan agregat 6-2 manakala Terengganu mara dengan agregat 5-2 setelah mengalahkan Pahang.
Sumber Dari:
Sinar Harian Terkini
No comments:
Post a Comment