Sunday, May 22, 2011

Kilang iPad 2 di Chengdu, China terbakar

ORANG ramai dan pihak polis berkumpul di luar kilang Foxconn yang terbakar di Chengdu, China.

Syarikat pengeluar alat elektronik, Apple Inc. kini menyiasat punca letupan yang mengakibatkan dua orang pekerja terbunuh dan mencederakan 16 yang lain.
Insiden sama turut menyebabkan kilang Foxconn International Holdings Ltd. yang mengeluarkan iPad 2 di Chengdu, China memberhentikan produksinya.
Foxconn merupakan sebahagian daripada syarikat dari Taiwan, Hon Hai Precision Industries dan rakan pengilang utama Apple menyatakan letupan berlaku pada pukul 7 malam waktu tempatan.
"Pengeluaran telah dihentikan sehinggalah siasatan disempurnakan. Keselamatan pekerja adalah keutamaan kami. Kami akan melakukan apa sahaja untuk mengetahui apakah punca kejadian tragik ini," kata Foxconn dalam satu kenyataan. Syarikat itu juga masih menilai jumlah kerugian yang dialaminya.
Kejadian itu menjadi tamparan terbaru kepada Foxconn. Sebelum ini, Foxconn menjadi perhatian selepas laporan mengenai kondisi tempat kerja yang teruk di kilang-kilangnya di China disiarkan. Pengkritik juga menyatakan keadaan itu juga menyumbang kepada beberapa kes pekerjanya membunuh diri.
"Kami bekerjasama rapat dengan Foxconn untuk mengetahui punca letupan ini," kata jurucakap Apple, Steve Dowling. Letupan itu pasti akan menjejaskan bekalan iPad dan para pelabur memantau perkembangan dengan teliti.
iPad dan iPad 2 keluaran Apple menguasai 80 peratus pasaran komputer tablet yang turut disaingi oleh produk keluaran Motorola Inc. dan Samsung Electronics Co. Ltd.

Sumber:-
Reuters

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...