Monday, October 31, 2011

Prof. Abdul Aziz Serah Peluru dan Surat Ugutan

GOMBAK - Pensyarah kontroversi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UI­AM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari semalam hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk direkodkan percakapan berhubung sebutir peluru serta nota ugutan yang dihantar melalui pos ke rumahnya di sini, kelmarin.

Kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan reaksinya berhu­bung isu titah Sultan Shara­fuddin Idris Shah berkaitan pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

Abdul Aziz tiba di perkarangan IPD jam 12 tengah hari semalam bersama keluarganya, sebelum keluar kira-kira 15 minit kemudian.


Beliau berkata, keterangannya diambil oleh seorang pegawai polis, Inspektor Nor Fadilah Hani Abu Bakar, susulan laporan dibuat di Balai polis Taiping, Perak, kelmarin.

“Selain itu, saya turut serah­kan sebutir peluru serta surat ugutan yang diterima semalam (kelmarin) bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 507 Ka­nun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah,” katanya ketika ditemui.

Ketika ditanya sama ada beliau mengesyaki mana-mana individu, Abdul Aziz berkata, beliau tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak tahu siapa terlibat melakukannya.

“Saya tidak syak sesiapa tetapi percaya ugutan dibuat ekoran reaksi saya berhubung isu titah Sultan Selangor berkaitan pemeriksaan DUMC baru-baru ini. Saya buat laporan demi keselamatan diri dan keluarga, jika berlaku apa-apa polis sudah maklum dengan perkara itu,” katanya.

Kelmarin, Abdul Aziz menerima nota ugutan yang tulisannya dicetak berbunyi, ‘Jangan kurang ajar dengan Sultan, maut nanti’ dan dihantar bersama sebutir peluru jenis kaliber 9 milimeter (mm) melalui pos.

Tq
Sumber Dari:
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...