Friday, October 21, 2011

Samun Van Rokok Di masjid


21 Okt 2011, PULAU PANJANG Jerteh, Besut.
Penyamun kini tidak berhati perut, sehingga kawasan masjid dijadikan port kegiatan samun.

Terbaru, seorang pemandu van rokok, Othman Mamat, 44, turut menghadapi detik cemas apabila dia dan rakannya disamun sekumpulan perompak di pekarangan Masjid Pulau Panjang dekat Gong Nering, Jertih pukul 1.50 petang kelmarin 20 Okt 2011.

Menurut Othman, kejadian berlaku ketika dia ingin menjamah nasi, namun secara tiba-tiba dia dan rakannya didatangi lelaki tidak dikenali di tepi pintu van lalu menghantukkan kepalanya ke stereng van.

“Selesai solat Zohor di masjid, saya ingin menjamah nasi bungkus dalam van yang dipandu dengan membawa muatan pelbagai jenis rokok yang diletakkan di sudut belakang masjid. Turut bersama sebuah lagi van dipandu rakan saya.

“Suspek mengarahkan saya menyerahkan wang. Dia beritahu ‘mu jangan lawe, mana duit, mana duit’, sebelum rakan-rakannya, kalau tidak silap seramai tujuh lelaki juga berpakaian gelap sepertinya datang berhampiran saya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Jertih petang kelmarin.
Othman Mamat, 44, membuat laporan polis

Menurut Othman, suspek berpakaian hitam tanpa menutup muka kemudian bertindak mengambil wang tunai hasil jualan rokok di dalam laci papan pemuka van dipandunya sebanyak RM3,000 dan tunai RM14,000 miliknya yang disimpan di dalam beg galas.

Dia yang tinggal di Kampung Padang Landak, Jertih, berkata wang RM14,000 itu dirancang dimasukkan ke dalam bank sebaik dia selesai bertugas, bagaimanapun dia berputih mata apabila disamun kumpulan terbabit.

“Suspek turut melarikan rokok bernilai RM23,175 dan seutas jam tangan jenis Rado milik saya bernilai RM5,000 serta semua dokumen penting.

“Suspek ketika itu menutup mata saya dengan pelekat hitam dan mengikat tangan pemandu van, sebelum menolak kami masuk ke dalam kereta. Tetapi saya melawan menyebabkan semua penjenayah meninggalkan kami di situ,” katanya.

Menurutnya, sebaik membuka ikatan, dia sempat melihat kelibat dua kereta dinaiki suspek iaitu sebuah kereta Proton Perdana manakala sebuah lagi Proton Waja memecut ke arah jalan utama.

Othman berkata, dia segera melepaskan rakannya, Azmi Mat Ali, 43 yang diikat dan dikurung dalam keadaan tangan berikat serta mata ditutup di belakang sebuah lagi van yang berada berdekatan van dipandunya.

Sementara itu, Azmi berkata, perompak berjaya melarikan kesemua 298 kartun rokok bernilai RM27,810 dari van yang dipandunya dan seunit telefon bimbit miliknya.

“Mujurlah kami tidak dicederakan, tetapi hanya dikurung di bahagian belakang van dalam keadaan tangan terikat dan bertutup,” katanya.

Tq

Sumber Dari:
Sinar Harian &
Penduduk Kg. Pulang Panjang

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...