Friday, November 25, 2011

BANJIR DI HULU BESUT:- BOAT BAWA MB TERENGGANU HANYUT

Hulu Besut, Terengganu, November 24, 2011: Keadaan banjir di daerah ini semakin buruk semalam dengan jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada lebih 690 orang berbanding 197 orang kelmarin.

Pegawai Daerah Besut, Ab Rahim Jusoh berkata, jumlah terbabit melibatkan lebih 150 keluarga membabitkan kawasan Hulu Besut, Jabi, Kota Putera dan Jertih.

Menurutnya, sebanyak 14 pusat pemindahan banjir dibuka sehingga jam 8 malam semalam dan jumlah mangsa teramai adalah di Hulu Besut membabitkan 583 orang di lapan pusat pemindahan.

“Mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan Masjid Kampung La mencatatkan jumlah teramai iaitu sebanyak 72 keluarga (283 Orang) berikutan kawasan rumah mereka dinaiki air sehingga dua meter akibat air Sungai Besut melepasi tebing berikutan hujan lebat,” katanya.


MB Terengganu sedang Memasak Sardin Untuk Santapan Mangsa Banjir
Beliau berkata ketika mengiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di kawasan Hulu Besut semalam.

Sementara itu jalan menghubungkan Pasir Akar ke Keruak terputus beberapa jalan ditenggelami air antaranya di Bekok, Gertak Jerebun dan Kampung La.

Sementara itu Ahmad melawat beberapa pusat perpindahan iaitu di Masjid Kampung La, Dewan Serbaguna Keruak dan Dewan Masjid Keruak.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad dan Adun Jabi, Ramlan Ali.

Rombongan dibawa dengan menaiki lori Pejabat Daerah Besut, Majlis Daerah Besut dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sehingga ke Kampung La sebelum menaiki bot ke pusat pemindahan di Kampung La selain turut menaiki jentolak (sawa).

Ahmad dan beberapa wakil rakyat yang menaiki bot turut cemas apabila bot yang dinaiki mereka dihanyutkan arus di Kampung La manakala ketika perjalanan balik jentolak yang hampir tenggelam mengalami kerosakan enjin menyebabkan Ahmad termasuk wakil media dipindahkan ke dalam bot JPAM.

OKU gembira terima kunjungan MB

Sementara itu, seramai lima orang kurang upaya (OKU) yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir Masjid Kampung La gembira kerana menerima kunjungan pemimpin negeri untuk melihat keadaan mangsa di pusat pemindahan di sini.

Pasangan cacat penglihatan, Mek Long Salim, 79, dan suaminya Hassan Awang, 69, yang berpindah ke pusat itu sejak kelmarin gembira apabila dikunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Menurut Mek Long, lawatan pemimpin dapat mengurangkan sedikit kesedihan yang dialami setelah terpaksa berpindah apabila rumahnya dinaiki air.

“Penduduk kampung membantu memindahkan kami ke sini dan setiap tahun kami terpaksa berpindah. Saya hanya bawa keperluan penting sahaja ,” katanya.

Pasangan kembar seiras OKU, Zamzuri Mohamad dan Zamri, 30, tahun yang mengalami masalah cacat anggota sejak kecil dan batuk kering akur walaupun terpaksa tinggal bersama mangsa lain di pusat pemindahan itu.

Menurutnya, mereka dibantu ibu bapanya untuk dipindahkan ke pusat itu memandangkan mereka berdua tidak dapat berjalan.

“Kami di sini tidak menghadapi masalah kerana bekalan mencukupi cuma sebagai OKU memang saya susah sikitlah untuk bergerak tetapi ramai yang membantu,” katanya.

Sumber Dari:
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...