Friday, November 18, 2011

AMUK DENGAN CANGKUL, MINTA WARTAWAN AMBIK GAMBAR


DUNGUN 18/11/2011 2:55am -Dua lelaki cedera manakala cermin enam buah kenderaan rosak dalam satu kejadian amuk melibatkan seorang lelaki bersenjatakan sebatang cangkul pendek berhampiran Kampung Balai Besar di sini semalam.
Dalam kejadian hampir pukul 11 pagi, cermin tingkap Surau Ustaz Daud Balai Besar turut pecah akibat dihentak dengan menggunakan cangkul oleh lelaki yang berusia 30-an itu.
Sebelum itu, lelaki terbabit difahamkan mengamuk dan merosakkan harta benda di rumahnya di Kampung Paya selain memecahkan cermin depan lori miliknya sebelum menaiki motosikal dan membawa sebatang cangkul pendek ke jalan Balai Besar.
Sampai di sana, lelaki terbabit yang hanya berseluar pendek tanpa memakai baju bertindak memecah cermin belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta Honda Civic yang ketika itu, pemiliknya sedang minum di sebuah warung berhampiran.
Suspek yang dipercayai mengalami tekanan akibat masalah kewangan dan rumahtangga kemudian memecahkan pula cermin depan dua buah lori milik Majlis Perbandaran Dungun yang ketika itu sedang menjalankan kerja membersih semak di tepi jalan terbabit.
Difahamkan selepas itu, lelaki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu jengkaut itu telah menghayunkan cangkul yang dipegangnya ke arah seorang penunggang motosikal menyebabkan mangsa terjatuh ketika cuba mengelak.
Mangsa Mohd Fairul Hizar Ruszelan, 23, yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Sura, berkata dia sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya apabila secara tiba-tiba suspek muncul dan melibaskan cangkul ke arah mukanya.
"Saya sempat mengelak dengan menunduk kepala namun motosikal saya hilang kawalan menyebabkan saya terjatuh sebelum sebuah lagi motosikal melanggar dari arah belakang kerana tidak sempat mengelak,” katanya.
Dalam keadaan ketakutan dan panik itu, dia sempat melihat lelaki itu menerpa ke arahnya dan seorang lagi penunggang motosikal yang terjatuh.
Mohd Fairul berkata dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan di sebelah kiri tangan dan kaki setelah terjatuh, dia segera mengangkat pemuda yang melanggar motosikalnya itu dan melarikan diri kerana bimbang dicederakan lelaki itu.
Suspek kemudiannya pergi ke Surau Ustaz Daud dan mandi di dalam kolah di surau berkenaan sebelum bertindak memecahkan tingkap surau terbabit dan cermin sebuah kereta Perodua Viva yang diletakkan di situ.
Drama amuk itu reda seketika apabila Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paya, Zulkifli Yaman, 49, bertindak memujuk suspek yang disifatkan sebagai antara orang yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah sebelum ini.
Suasana itu menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan itu menyebabkkan keadan agak sesak dengan kehadiran ramai orang ingin melihat lebih dekat kejadian itu sebelum polis tiba.
Setelah hampir setengah jam, suspek meminta agar isteri, anak dan ibunya dipanggil untuk diambil gambar oleh wartawan supaya masalah hidupnya dapat disiarkan.
Dia juga meminta agar dibelikan air sirap dan mengkehendaki isterinya sendiri menghantar air itu.

Tq

Sumber dari:- Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...