Tuesday, November 1, 2011

441 Orang Berdepan Maut

JOHOR BAHRU October 31, 2011:
Seramai 441 pesalah narkotik bakal berdepan hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan membabitkan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Angka berkenaan didedahkan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Syariff yang menyifatkan perkara terbabit serius dan perlu dibendung bagi mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

Menurutnya, angka tersebut merupakan sebahagian daripada 8,131 pesalah narkotik yang ditahan di seluruh negeri bagi tempoh Januari hingga Oktober ini.

“Kes yang disiasat mengikut akta itu dilihat berada pada tahap membimbangkan berbanding tahun lalu yang mencatatkan 625 tangkapan,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, nilai harta yang disita melalui jenayah narkotik terutama daripada pengedar dadah adalah sebanyak RM3.1 juta antaranya wang tunai, rumah, kereta dan sebagainya.

“Masalah ini perlu diselesaikan secara akar umbi terutamanya pengawasan berterusan daripada penjaga terhadap tingkah laku anak-anak sebelum mereka terjebak ke kancah negatif ini.

“Tengok siapa kawannya dan pada masa sama, kekalkan hubungan dengan jiran dan sekiranya mengesyaki sesuatu, berhubung dengan polis dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Mokhtar berkata, kebanyakan suspek yang ditahan atas kesalahan dadah kebanyakannya berusia lingkungan antara 20-an hingga 30-an dan sehingga kini polis berjaya menahan 47 suspek atas kesalahan mengedar dadah.

“Lebih menakutkan apabila statistik merekodkan seramai 7,410 individu ditangkap adalah penagih dadah yang hampir keseluruhannya masih muda yang mana perkara ini amat mengecewakan pihak kami.

“Manakala daripada jenis rampasan dadah mendapati dadah jenis Heroin adalah rampasan tertinggi iaitu 47,356.04 gram diikuti Ganja sebanyak 32,635.79 gram dan Syabu sebanyak 17,703.27 gram,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan syabas kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor di atas usaha berterusan bagi mencegah jenayah narkotik di negeri itu.

“Kami sentiasa memandang serius berhubung jenayah narkotik yang berlaku di negeri ini kerana individu yang terbabit dalam jenayah ini boleh dianggap sebagai pemusnah diri mereka sendiri dan juga insan terdekat sekali gus musuh negara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pemeriksaan pusat hiburan yang dijalankan pihaknya, beliau berkata, sebanyak 547 serbuan dijalankan bermula Januari hingga Oktober ini yang mana 9,747 individu diperiksa dan 789 daripadanya didapati positif dadah.

Tq
Sumber Dari:
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...