Saturday, November 5, 2011

Kemalangan Sebelum Raya Haji:-Putus pergelangan tangan

KUALA BERANG,November 5, 2011- Salah seorang penumpang lori yang dalam perjalanan dari Ajil ke Pasir Raja, Dungun putus pergelangan tangan kanan apabila lori yang dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan lalu terbalik selepas dilanggar sebuah Proton Waja dari arah belakang.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 388.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Kuala Lumpur-Kuala Terengganu (Ajil-Bukit Besi) lebih kurang jam 9.35 pagi kelmarin itu dipandu Mazri Ismail, 41, bersama dua orang sepupunya, Amran Yahya dan mangsa Mohd Yaakob Yahya, 22.

Kilometer 388.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT)

Menurut Mazri, ketika dalam perjalanan melakukan kerja pembinaan jalan di Pasir Raja, Dungun, secara tiba-tiba lori dipandu di lorong sebelah kanan dilanggar dari arah belakang menyebabkannya hilang kawalan.

“Dalam keadaan panik itu, lori terbabas ke sebelah kiri jalan kemudian saya membalas semula ke kanan jalan dan melanggar penghadang jalan sebelah kanan sebelum terbalik menyebabkan mangsa (Yaakob) tercampak.

“Saya lihat Yaakob merangkak dari bawah penghadang jalan lalu saya membantunya sebelum dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan,” katanya menceritakan kejadian menimpa mereka bertiga.

Katanya, dalam kejadian itu, dia dan Amran tidak mengalami sebarang kecederaan manakala Yaakob yang putus pergelangan tangan kanan turut mengalami kecederaan pada bahagian leher, kepala, mata kanan dan retak tulang kaki kanan.

“Bahagian tangan Yaakob yang terputus tidak dapat disambung kembali kerana telah hancur, walau bagaimanapun kami bersyukur masih selamat dalam kemalangan ini,” katanya ketika dihubungi berada di HUSM Kubang Kerian, semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna jalan raya terutama di LPT Ajil-Bukit Besi mematuhi had kelajuan yang telah ditetapkan berikutan pada masa ini cuaca tidak menentu dan musim hujan serta banyak air bertakung di atas permukaan jalan.

“Jalan berkenaan juga masih terdapat banyak haiwan yang melintas, bagaimanapun pihak trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu akan sentiasa membuat rondaan serta pemantauan.

TQ.

Sumber Dari:
Sinar Harian Terengganu

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...