Mangsa yang berusia 44 tahun itu pada mulanya diajak berbual oleh lelaki berkenaan yang berusia 20 an, namun pelawaan itu hanya dipandang sepi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd Rashid Abd Wahab berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi di bahagian stor penyimpanan makanan­ ketika mangsa bersendirian.

Menurutnya, lelaki warga Bangladesh itu turut mengeluarkan perkataan lucah semasa cuba berborak dengan mangsa, namun tidak dilayan sebelum bertindak menghampiri dan memegang payu dara mangsa.

“Wanita itu cuba dipujuk lelaki berkenaan untuk berbual, tetapi mangsa bertindak tidak melayan dengan alasan tidak pernah bercakap dengan lelaki itu sepanjang dia bekerja,” katanya.

Kejadian itu hanya disedari apabila wanita berkenaan menjerit sehingga menarik perhatian beberapa pekerja lain yang berada berhampiran­ lokasi kejadian.

Abd Rashid berkata, panik dengan keadaan itu, lelaki berkenaan kemudiannya bergegas keluar dari stor, sementara mangsa kemudiannya menghubungi pengurus untuk memaklumkan insiden yang berlaku.

Penahanan lelaki itu, katanya, dibuat sebaik mangsa membuat laporan­ di Balai Polis Semenyih.

“Lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman jika sabit kesalahan,” katanya.

Tq
Sumber Dari:
Sinar Harian Selangor