Monday, February 21, 2011

Satu Lagi Projek Hamparan Mewah Sdn Bhd Berjaya Diserahkan



PANCHUR MERAH – Jabatan Kerja Raya (JKR) Setiu bersetuju menanam 10 pokok tamar bagi menceriakan lagi kawasan persekitaran Masjid Kampung Panchur Merah yang mula beroperasi bulan depan.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Setiu, Shaari Mustapha berkata, sebuah taman hijau berkonsepkan mesra alam juga akan dibina di persekitaran masjid yang boleh memuatkan 500 jemaah ini.

“Kita akan memilih pokok tamar daripada gred paling baik dan dianggarkan kos bagi sepohon pokok tersebut RM1,000.

“Saya harap taman ini akan dijaga dengan baik agar masjid yang menelan belanja RM3.7 juta ini menarik untuk dikunjungi,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci Masjid Kampung Panchur Merah kepada wakil Pejabat Agama Daerah Setiu, semalam.

Selain itu , beliau turut meminta ahli jawatankuasa menghidupkan fungsi masjid supaya menjadi pusat tumpuan ramai dan secara tidak langsung merapatkan hubungan silaturahim masyarakat.

“Kita mengalu-alukan ahli jawatankuasa masjid merangka pelbagai program yang boleh menarik minat masyarakat setempat mendekati masjid seperti merancang majlis ilmu atau program komuniti,” katanya.

Pembinaan masjid baru di bawah agenda Kerajaan Negeri itu secara tidak langsung menunjukkan kesungguhan pucuk pimpinan dalam memartabatkan rumah Allah SWT sebagai tempat yang paling istimewa selain projek pembangunan lain.
(Pengerusi HMSB, Hj.Muhammad Ghazali 
Menyampai Sumbangan Kepada Pengurusan Masjid)
Kata Shaari, masjid yang dimulakan pembinaan pada Februari 2009 oleh Kontraktor Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu tahun 2010 iaitu HAMPARAN MEWAH SDN BHD dan berjaya disiapkan dengan sempurnanya secara rasmi pada Disember lalu.Masjid Kampung Panchur Merah ini adalah masjid baru yang ketiga dibina di kawasan kampung selepas Kampung Payung dan Alur Lek di daerah Setiu.

“Kini, hanya sebuah lagi masjid baru yang dalam proses pembinaan iaitu Masjid Sungai Tong yang boleh memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid kampung Panchur Merah, Othman Sulaiman berkata, masjid baru tersebut ibarat rahmat kepada penduduk daripada tiga kampung iaitu Panchur Merah, Teluk Tasek dan Hulu Kekabu.
(JD JKR Setiu, Shaari Mustapha Menyampai 
Sumbangan Kepada Pengurusan Masjid)
“Bagi menarik lebih ramai belia terutama untuk mengimarahkan masjid berkenaan, pengurusan masjid akan mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi merangka beberapa strategi baru.

“Kita mahu pembabitan belia tidak hanya terhad kepada aktiviti yang dirancang sahaja tetapi mereka boleh mengimarahkannya pada waktu solat berjemaah supaya rumah Allah ini terus hidup dan dikunjungi ramai,” katanya

Othman berkata, janji Kerajaan Negeri membina masjid baru akhirnya tercapai selepas hampir 20 tahun membuat permohonan kerana masjid lama hanya mampu memuatkan 150 jemaah dengan struktur kayu selain sudah berusia 30 tahun.

Sumber Dari:
Sinar Harian sisipan Setiu dan
Hamparan Mewah Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...