Sunday, February 20, 2011

Piala FA 2011 :- Perlawanan T-Team Vs Kelantan Dicemari Pergaduhan

PERLAWANAN Piala FA pasukan T-Team menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam semalam, tercemar dengan insiden pergaduhan membabitkan penyokong fanatik kedua-dua pasukan.

Insiden dipercayai bermula dengan ‘perang’ sorakan bersifat provokasi kira-kira 20 minit antara penyokong kedua-dua pasukan yang duduk berhampiran ketika pemain berhenti rehat separuh masa pertama.

Selepas 20 minit berbalas sorakan, penonton mula bertindak drastik dengan melempar objek antara satu sama lain hingga menarik perhatian penyokong lain turut campur tangan mengakibatkan suasana kelam kabut seketika.

Aksi kurang menyenangkan itu turut berlarutan hingga ke perlawanan separuh masa kedua, namun keadaan sedikit reda apabila berjaya dileraikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditugaskan menjaga keamanan dan keselamatan penonton dan pemain di stadium terbabit.

Bagaimanapun, Sinar Harian difahamkan rentetan pergaduhan kecil membabitkan penyokong kedua-dua pasukan di stadium berkenaan tidak terhenti di situ apabila dua bas yang membawa penyokong Kelantan dan dua kereta dipercayai milik penyokong Kelantan rosak teruk selepas diserang kumpulan tertentu di laluan Bulatan Batu Enam, Bukit Tunggal kira-kira jam 12.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner (ACP), Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat serangan terhadap kenderaan berkenaan.

Sementara itu, seorang remaja lelaki, Akram Mahmud turut dilaporkan cedera di kelopak mata dipercayai terkena balingan batu ketika menyaksikan perlawanan terbabit.

Perlawanan berkenaan, menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan Kelantan dengan sepakan penalti 6-5 selepas terikat 1-1, sekali gus menghampakan pasukan T-Team.

Sumber Dari:
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...