Sunday, February 20, 2011

The Red Warriors gesa pihak berkuasa bertindak segera

KELAB Penyokong Bola Sepak Kelantan menggesa pihak berkuasa termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan tegas berhubung insiden baling batu ke atas rombongan kelab itu ketika perjalanan pulang ke Kota Bharu, malam kelmarin.

Setiausaha kerja kelab berkenaan, Harun Ali berkata, insiden berlaku selepas tamat perlawanan kalah mati antara Kelantan dan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu serius dan tidak harus dipandang remeh.

“Menerusi situasi ini, FAM seharusnya lebih adil dan tidak pilih kasih kerana difahamkan insiden terbabit berpunca daripada penyokong T-Team,” katanya.

Menurutnya, menerusi kejadian jam 11.30 malam itu, penyokong T-Team dikatakan mula melakukan provokasi terhadap penyokong Kelantan dengan melemparkan kata-kata kesat serta lucah.

Pergaduhan bertambah teruk apabila pihak lawan mula membaling telur sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Red Warriors di stadium berkenaan.

Keadaan bertambah teruk apabila objek keras berupa batu turut dibaling ke arah penyokong Kelantan sehingga ada dalam kalangan mereka cedera di tangan dan kepala.

Kekecohan berkenaan berlarutan sehingga penyokong pelawat yang berada di dalam dua bas sedang dalam perjalanan pulang sekali lagi dibaling dengan batu sehingga cermin depan dan sisi kenderaan terbabit pecah.

“Saya mohon pihak FAM membuat siasatan terperinci berhubung insiden terbabit dan sekiranya ada kawalan ketat pihak berkuasa, saya yakin perkara itu tidak akan berlaku.

“Kalau dilihat menerusi pengalaman lepas, sekiranya melibatkan kesalahan berpunca penyokong Kelantan, FAM pasti tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

Laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu jam 1.45 pagi semalam.

Sumber Dari:
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...