Sunday, February 20, 2011

Kelantan:- DiGIGIT Beruang, Detik2 Cemas Mangsa


KAKINYA berjalan terdengkot-dengkot meniti tangga rumah dengan kayu penyangga menopang ampuh kedua-dua ketiaknya. Lelaki berkulit sawo matang itu kemudian mengucap salam dan menyapa kami yang sedia menunggu di ruang tamu.

“Maaflah, keluar ke kedai sekejap tadi, kawan datang ambil dengan kenderaan,” kata lelaki berumur pertengahan 30-an itu sambil menguntum senyum. Bapanya yang menyambut kunjungan kami tadi sudah menghilangkan diri melakukan kerjanya di dapur.

Melabuhkan punggung di lantai saat duduk melunjurkan kakinya, kesan gigitan beruang sedalam empat sentimeter (sm) yang nampak agak mengerikan itu kelihatan jelas. Sejelas memori semalam yang masih tersimpan dalam lubuk ingatannya.

Kosmo! pada 20 Disember tahun lalu melaporkan seorang penoreh getah, Osman Salleh, 35, tidak dapat melupakan saat nyawanya mungkin melayang apabila diserang seekor beruang betina dipercayai bunting ketika dia menyemai anak getah di kebunnya di Kampung Kuala Balah, Jeli, Kelantan.

Dia diserang oleh beruang dipercayai jenis Matahari setinggi dua meter dan seberat kira-kira 100 kilogram (kg). Beruang itu tiba-tiba muncul dari arah semak berdekatan pada waktu petang.

Akibatnya, Osman cedera parah di kaki dengan luka sedalam empat sentimeter. Dia menerima rawatan di Hospital Tanah Merah termasuk menghuni wad selama sepuluh hari.

Ketika kunjungan Kosmo! di rumahnya baru-baru ini, dia memberitahu balutan di kakinya baru sahaja dibuka sebelum itu.

Osman nampak seperti seorang yang tidak betah hanya duduk di rumah. Dari sosok tubuhnya, dia seorang yang lali melakukan kerja-kerja berat atau kasar di luar rumah.

Bahkan, rutin hariannya selama ini dari pukul l2 tengah malam hingga 7 pagi menoreh getah. Kalau agak lewat menoreh kerana masalah cuaca, kadang-kadang 12 tengah hari baru selesai. Kemudian, pukul 3 petang hingga 6 petang dia bekerja mengusahakan kebun getah yang baru pula.

Sejak hampir dua bulan terpaksa meninggalkan ladang getah, dia mengakui rindunya untuk menoreh getah membuak-buak. Tangannya terasa seperti tidak sabar lagi untuk memegang pisau penoreh.

“Sejak umur 14 tahun, saya dah kenal sangat pokok getah dan selalu bantu ayah toreh getah. Rindu sangat untuk menoreh getah. Tapi apa boleh buat. Saya pun tak tahu bila boleh menoreh getah semula.

“Di rumah, duduk menonton televisyen atau dengar radio sahajalah. Kalau bosan, telefon kawan, lepas tu kawan datang ambil dengan kereta pergi kedai berhampiran,” katanya.

Keadaan semakin pulih

BAPA Osman, Salleh (kiri) melihat parut akibat gigitan beruang pada kaki anaknya.

Setakat ini, menurutnya, doktor mengatakan keadaannya semakin baik, tidak ada masalah lain seperti patah atau jangkitan kuman.

Menceritakan semula detik-detik cemas itu, pertarungan antara Osman dengan beruang itu berlangsung kira-kira 15 minit.

“Saya sedang menuruni bukit dengan motosikal dan beruang itu naik ke arah bukit. Tiba-tiba enjin motosikal saya mati. Saya masih boleh berdiri di cerun bukit. Beruang itu mengeluarkan suaranya. Beruang itu menyerang lutut saya dan saya cuba mengelak daripadanya. Tidak dapat lutut, beruang itu mendapatkan betis pula. Ia cuba mencakar saya. Kami saling mengelak dan berlari-lari mengelilingi motosikal saya yang telah ditongkatkan.

“Selepas tenaga saya semakin penat dan sudah tidak berdaya mengelak, beruang itu akhirnya menggigit kaki kiri saya. Saya mencapai parang tumpul di pinggang dan menakiknya pada beberapa tempat yang termampu. Mula-mula di rusuknya, dan ia masih tidak mahu lepaskan gigitan, selepas itu, saya beralih ke belakangnya dan tengkuknya, ia masih terus menggigit.

“Kemudian, dalam kesakitan itu, saya cuba menghimpun sepenuh kudrat dan menetak sekuat hati di kepalanya. Agaknya kerana berasa amat sakit ia kemudian melepaskan gigitan dan terus berlari ke hutan,” ujarnya yang masih bujang.

Ditanya adakah ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan? Osman berkata ia adalah pengalaman yang tidak boleh dilupa.

“Ladang getah ialah punca rezeki saya. Kalau fikir pasal takut diserang binatang buas, beruang, harimau, gajah, tidak boleh cari makanlah. Orang kampung dan penoreh getah dah biasa nampak benda itu dan tak rasa takut. Saya sendiri tak takut dan tak terkejut pun semasa beruang itu menyerang saya.

“Cumanya, apabila ada pengalaman diserang beruang, lepas ini saya lebih beranilah sebab dah tahu teknik serangannya dan menewaskannya. Beruang biasanya hanya menyerang di bahagian bawah badan terutamanya kaki dan kelemahannya ialah bahagian kepala,” tambahnya yang tidak pasti mengapa beruang itu menyerangnya.

Katanya, bukan tidak ada kes diserang beruang sebelum ini, jirannya yang bekerja sebagai penoreh getah juga pernah cedera parah diserang beruang pada masa lampau.

Walaupun Osman dalam keadaan bertongkat, namun dia masih sudi membawa kami ke tempat kejadian dan kebunnya di Bukit Jong yang terletak sejauh tiga kilometer (km) dari rumahnya.

Kedengaran agak dekat, namun, pengalaman ke tempat kejadian benar-benar menginsafkan kami akan jerih perih kehidupan sebagai penoreh getah di situ. Kami tidak mungkin sampai ke sana jika tanpa bantuan tiga rakan Osman yang sudi membawa kami dengan kenderaan pacuan empat roda.

OSMAN mendakwa beruang matahari atau juga dikenali sebagai beruang madu yang telah menyerangnya.


Melalui jalan balak, meredah denai, mengharung sungai, dilingkari semak samun dan belantara, mendaki bukit bukau setinggi beratus meter, perjalanan pergi sahaja mengambil masa hampir 45 minit. Osman berkata, dia terpaksa membawa motorsikal naik ke atas rakit apabila hendak pergi menoreh.

Setiba di kebunnya, ada riak kecewa pada wajah Osman. Separuh daripada anak-anak pokok getah yang ditanam di tanah seluas 2.4 hektar itu musnah dipercayai pucuknya telah dimakan oleh binatang liar seperti babi hutan akibat ketiadaannya untuk mengawasi kebun selama lebih sebulan.

Demam pagi Jumaat

Walaupun kerugian pahit untuk ditelan, namun Osman tidak pernah menyalahkan binatang-binatang itu kerana menyedari ini juga sebahagian habitatnya.

“Binatang tidak boleh tanam pokok, ia hanya tahu makan,” ujarnya.

“Kepercayaan orang dulu-dulu, binatang buas biasanya akan lari daripada bertembung dengan manusia kerana kalau bertemu manusia, nasib binatang-binatang itu untuk cari makan akan suwei (malang).”

Demikian menurut seorang pekerja kebun di hutan, Mohd. Nor Ibrahim, 58, yang berpengalaman keluar masuk dan tinggal di hutan sejak tahun 1967 ketika ditemui di Jelawang, Kuala Krai, Kelantan baru-baru ini.

Mohd. Nor berkata, beruang biasanya tidak akan menyerang manusia. Lazimnya, jika ia menyerang manusia kerana faktor-faktor seperti ia sakit, ada membawa anak, bunting, rasa diancam, diganggu semasa sedang memburu haiwan lain, baru lepas menikmati anai-anai atau madu yang memanaskan badan mereka.

“Kepercayaan turun temurun juga ada mengatakan binatang buas seperti beruang dan harimau akan demam pada pagi Jumaat dan menyebabkan ia mudah mengamuk pada waktu itu. Saya pun tidak tahu mengapa, tapi itulah yang dikatakan orang tua-tua,” tambahnya.

OSMAN menunjukkan serangan beruang yang berlaku keatasnya pada bulan Disember tahun lalu.

Cerita Mohd. Nor, penduduk-penduduk di daerah seperti Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang yang dilingkari kawasan hutan berbukit bukan sesuatu yang luar biasa jika bertemu haiwan liar.

“Di sini biasa. Kalau saya masuk hutan, kadang-kadang dua kali sehari jumpa harimau pun ada. Biasa dah, serupa kawan," ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memberitahu, pihaknya telah menemui mangsa dan pergi ke lokasi serangan beruang itu sebaik sahaja kejadian dilaporkan.

Namun, kata Pegawai Perhilitan Daerah Jeli, Cosmas Ngau, hasil siasatan dan maklumat penoreh-penoreh getah, kawasan tersebut bukannya tempat beruang membiak dan selalu ada di lokasi itu.

“Pada ketika kejadian, binatang itu mungkin hanya sekadar melalui jalan itu untuk ke lokasi lain dan terkejut apabila terserempak dengan mangsa lalu menyerang.

“Memandangkan ia bukan tempat beruang, kalau kita pasang perangkap pun tidak dapat membantu apa-apa,” katanya.

Sementara itu, ditanya berhubung jantina beruang itu, Cosmas berkata, agak sukar untuk memastikan jantina seekor beruang.

Sumber Dari:
Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...