REMAJA lelaki yang dilaporkan cedera ketika menyaksikan perlawanan Piala FA pasukan T-Team menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, tidak menyangka hasrat untuk memberikan sokongan kepada pasukan pilihan berakhir dengan kejadian tidak diingini.
Mangsa, Akram Mahmud, 19 berkata, dia ke stadium untuk memberikan sokongan, namun mengalami kecederaan di kelopak mata akibat terkena balingan objek dipercayai batu.
“Saya bernasib baik kerana ada penyokong yang duduk berdekatan sempat memapah saya ketika itu yang tiba-tiba berpinar dan hampir rebah setelah terkena objek dipercayai batu berikutan kekecohan berkenaan.
“Sekalipun kecederaan dialami tidak parah, namun saya terkilan dengan kejadian tidak diingini itu kerana tujuan saya datang adalah untuk menyaksikan perlawanan, namun terpaksa menerima rawatan,” katanya yang berasal dari Kampung Kasar, Setiu.
Akibat kecederaan itu, dia terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Terengganu yang bertugas di stadium berkenaan.
Sementara itu,Pengurus Pasukan T-Team, Rozi Mamat berkata, dia kesal dengan insiden berkenaan kerana perlawanan sepatutnya ditonton dengan kegembiraan berakhir dengan kejadian tidak diingini.
“Saya terkilan dengan insiden pergaduhan membabitkan penyokong kedua-dua pasukan yang terlalu fanatik hingga mencetuskan keadaan kurang menyenangkan dan saluran menggunakan kekerasan sedemikian tidak wajar berulang pada masa akan datang.
“Berikutan itu, saya berharap supaya kesemua penyokong tidak kira pasukan mana sekalipun mampu mengawal tingkah laku dan bersikap profesional untuk memastikan tujuan aktiviti sukan diadakan bagi memupuk semangat kerjasama antara semua pihak akan terlaksana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, aksi pergaduhan membabitkan penyokong tidak seharusnya menjadi budaya masyarakat di negara ini dan semua pihak perlu mengambil iktibar daripada pelbagai insiden pernah berlaku di luar negara sebelum ini.
Sumber Dari:
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment