HULU KLANG:
Tidak tahan dengan tekanan hidup, seorang lelaki berusia 56 tahun nekad menikam dada dan perutnya lebih 10 kali dengan pisau ketika di bilik tidur bersama isteri di rumah mereka di Jalan Wangsa 11, Bukit Antarabangsa, di sini, pagi semalam.
Oleh MUHAMMAD APENDY ISSAHAK apendy@hmetro.com.my Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi, isteri lelaki terbabit dikatakan menyedari kejadian selepas terjaga daripada tidur sebaik terdengar bunyi seperti orang bergaduh.
Dia segera membuka lampu sebelum menjerit kerana melihat suaminya berlumuran darah serta nazak.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga lelaki berkenaan sebaik menyedari kejadian yang berlaku dan beberapa anggota bergegas ke rumahnya bagi menjalankan siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pekerja syarikat swasta itu mati akibat menikam diri beberapa kali dengan pisau yang turut ditemui berhampiran mayatnya.
“Setakat ini, hasil siasatan tiada unsur jenayah dan kita dapati lelaki itu membunuh diri. Mengikut keterangan ahli keluarga, lelaki terbabit mengalami tekanan perasan serius baru-baru ini disebabkan pelbagai masalah dihadapi.
“Ketika kejadian, empat ahli keluarganya berada di rumah iaitu dua anak perempuan dan seorang anak lelaki serta isterinya, warga British berusia 51 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan setakat ini kes terbabit diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Difahamkan, lelaki yang bekerja di syarikat perbankan itu baru saja pulang ke tanah air dua bulan lalu selepas ditamatkan kontrak kerjanya di Singapura.
Sementara itu, beberapa jiran lelaki berkenaan yang ditemui, termasuk pelakon terkenal, Elly Suriati Omar menyifatkan dia sebagai peramah dan baik hati serta selalu mengundang mereka jika ada majlis.
Elly yang tinggal selang tiga rumah dari rumah lelaki dikenali sebagai Peter di kalangan jiran, berkata dia bersimpati terhadap keluarga lelaki itu.
“Dia menginap di sini lebih 15 tahun dan memang baik hati serta peramah dengan jiran. Peter juga sering bertegur sapa dengan kami serta selalu membuat majlis makan di depan rumahnya dengan mengajak jiran.
“Kami sebagai jiran tidak pula tahu dia atau keluarga mengalami masalah dan tekanan,” katanya.
Terima Kasih Kepada:
Mymetro
No comments:
Post a Comment