BERLIN, 26 Feb --
Kisah menyayat hati seekor harimau betina dari Malaysia, bernama 'Girl', telah mendapat simpati ramai rakyat Jerman hingga mencetuskan kesedaran akan kemungkinan pupusnya harimau spesies ini di Malaysia.
'Girl' menerima perhatian di Jerman setelah ia menghidap artritis yang teruk di pinggul kanan hingga perlu menjalani pembedahan bagi menggantikan bahagian itu dengan pinggul prostetik.
Sekali gus, harimau Malaya berusia lapan tahun ini yang kini berada di Zoo Halle di negeri Saxony-Anhalt di timur Jerman menjadi harimau pertama di dunia menerima anggota palsu ini.
'Girl', yang mengalami artritis sejak musim bunga tahun lepas baru-baru ini dibedah oleh sekumpulan pakar perubatan veterinar dari University of Leipzig.
SATU PEMBEDAHAN UNIK
Seorang wakil Fakulti Perubatan Veterinar dari universiti itu memberitahu Bernama menerusi telefon bahawa 'Girl' menerima pinggul prostetik yang digunakan bagi anjing dengan sedikit pengubahsuaian.
Sebenarnya, pembedahan selama tiga jam itu menempuh pelbagai dugaan dan pada satu ketika denyutan jantung haiwan itu terhenti.
Bagaimanapun, tindakan pantas oleh pakar anestologi Michaele Alef, berjaya menyelamatkan haiwan berkenaan.
'Girl', yang kini telah kembali ke Zoo Halle, sedang beransur pulih dan ditempatkan di kandang berasingan, jauh dari tatapan umum, di bawah pengawasan rapi pakar-pakar perubatan dan penjaga di zoo itu, yang berkata, tempoh enam minggu lagi adalah penting bagi proses penyembuhan.
Walaupun Dr. Peter Boettcher, seorang daripada anggota pasukan pembedahan itu berpuas hati dengan keadaan 'pesakitnya', ini adalah tempoh genting kerana terdapat risiko tinggi kemungkinan berlaku dislokasi pinggul.
KEHEBATAN HAIWAN INI
Harimau betina Malaya boleh hidup sehingga 20-tahun. Oleh kerana harimau Malaya dianggap berada dalam senarai diancam kepupusan, proses pemulihan 'Girl' menjadi perhatian di Jerman.
Ini secara tidak langsung, menjana minat umum yang agak meluas akan hidupan liar yang kaya di Malaysia, minat yang sehinggakan Tourism Malaysia tidak dapat capai menerusi strategi pemasaran dan perhubungan raya mereka.
Haiwan-haiwan lazim diperkatakan sebagai duta negara terbaik bagi negara asal mereka.
Haiwan-haiwan ini memikat hati orang ramai yang datang untuk melihat mereka di lokasi asing - tidak kira ia di zoo, sarkas atau empat lain.
Panda China, sebagai contoh, menjadi lambang lembaran baru hubungan diplomatik yang direkayasa oleh negara itu apabila ia membuka tirai besinya kepada beberapa negara Barat hampir empat dekad yang lepas.
PROSEDUR MAHAL
Para pegawai mengesahkan bahawa prosedur menggantikan pinggul 'Girl' menelan belanja yang tinggi. Bagaimanapun, oleh kerana harimau Malaya adalah haiwan yang diancam kepupusan - dianggarkan hanya tinggal kira-kira 500 ekor harimau itu di habitat semulajadinya - pihak berkuasa tidak keberatan dalam menanggung kos yang tinggi untuk menyelamatkan haiwan itu.
Pinggul palsu yang diterima oleh 'Girl', pada asalnya direkabentuk oleh Pierre Montavon dengan kerjasama sebuah syarikat Switzerkand, Kyon. Montavon ialah profesor di University of Zurich, Switzerland.
Sementara itu, Zoo Leipzig, telah menghulurkan bantuan bagi projek memulihara badak Sumatera di Sabah.
Zoo itu telah menandatangani satu perjanjian dengan Institut Leibniz bagi Penyelidikan Zoologi dan Hidupan Liar dan Kerajaan Negeri Sabah, untuk menyediakan bantuan bagi melindungi biodiversiti Sabah.
Pencinta-pencinta alam di Jerman berkata hutan hujan Borneo, bersama flora dan fauna uniknya dan yang tertua di dunia menghadapi tekanan tamadun semasa.
BAHAYA KEPUPUSAN
Pertubuhan Pemuliharaan Alam Semulajadi Antarabangsa (IUCN) mendakwa haiwan mamalia di Sabah seperti badak Sumatera menghadapi ancaman kepupusan yang boleh dianggap di tahap genting.
Perjanjian tiga pihak akan menumpukan kepada usaha menggalakkan pembiakan badak Sumatera - dicerorhinus sumatrensis hamssoni - di habitat semulajadi.
Dengan hanya tinggal kira-kira 50 ekor badak kecil ini di habitat semulajadi, pencinta-pencinta alam Jerman menyeru tindakan segera untuk menyelamatkan spesies badak ini.
Leipzig Zoo akan menghantar penjaga haiwan yang berpengalaman ke Sabah untuk menimba pengalaman secara langsung akan penjagaan haiwan di bawah penyeliaan manusia. Zoo ini juga terbabit dalam projek perlindungan badak.
Institut ini akan menyediakan kepakaran saintifiknya untuk membantu dalam pembiakan haiwan. Kementerian Pendidikan dan Penyelidikan Jerman menyumbangkan bantuan kewangan dalam projek ini.
Sementara itu, satu projek Pengalaman Dunia Tropika dijadual dibuka di Leipzig pada tahun ini. Projek ini bertujuan meningkatkan kesedaran umum akan mengapa penting hutan hujan kepada bumi dan bagaimana perbuatan manusia mengancamnya. Projek ini, dalam sebuah ruang tertutup seluas 16,500 meter persegi, juga akan menyediakan maklumat terperinci akan program badak Sumatera di Sabah.
Terima Kasih Kepada:
BERNAMA
No comments:
Post a Comment