Tuesday, February 22, 2011

Minyak RON 97 Naik Harga Lagi...?

Ini ulasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob mengenai cakap-cakap kedai kopi tu..

Kerajaan sedang mengkaji semua opsyen bagi membolehkan kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95 dalam waktu terdekat walaupun berlaku kenaikan harga minyak global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan impak kenaikan global tidak terlalu menekan rakyat.

"Kita perlu ada keseimbangan sebab kita bimbang kalau harga minyak naik, harga barangan turut meningkat dan bebanan kepada rakyat akan menjadi semakin tinggi.

"Sebab itu, Kementerian ini bersama Kementerian Kewangan sedang mengkaji opsyen-opsyen tertentu untuk menstabilkan harga minyak bagi mengelak kenaikannya dalam masa terdekat," katanya ketika menjawab pertanyaan berhubung dakwaan akan berlaku kenaikan harga RON95 dalam masa terdekat pada sidang media di Pusat Latihan Harta Intelek di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Timbalannya Datuk Tan Lian Hoe dan Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Mohd Zain Mohd Dom.

Ismail Sabri berkata, setakat ini kerajaan belum berhasrat menaikkan harga petrol itu kerana pihaknya berpendapat untuk menjimatkan perbelanjaan, ia bukan sekadar dengan menaikkan harga minyak.


"Siapa kata RON95 nak naik...siapa cakap? Khabar angin?...jadi itu khabar anginlah. Biarlah sekadar khabar angin. Tak, setakat ini tidak (naik).

Katanya, walaupun terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM14 bilion bagi menampung kenaikan harga minyak dunia tahun ini, kerajaan masih mencari alternatif bagi menstabilkan harga minyak tempatan biarpun kos itu telah meningkat RM4 bilion berbanding tahun lalu.

"Terdapat beberapa buah negara di dunia telah menaikkan harga minyak sebanyak dua kali dalam tempoh tiga bulan, tetapi sebaliknya bagi kita, kerajaan masih tidak berhasrat menaikkannya kerana kita akan melihatnya secara keseluruhan.

"...Dan kita tengah berbincang dan mencari opsyen itu," katanya yang enggan mendedahkan butiran opsyen tersebut.

Petrol RON95 telah diperkenalkan pada penghujung Ogos 2009 bagi menggantikan RON97 sebagai produk petrol utama dan kini dijual di stesen minyak di seluruh negara dengan harga RM1.90 seliter.

Terdahulu, Ismail Sabri dan Tan menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian persefahaman pelaksanaan Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM) antara Mohd Zain dengan wakil daripada lima konsultan yang menjadi pelaksana projek tersebut.

Sumber Dari:
Bernama, Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...