Wednesday, February 23, 2011

Kelayakan Olimpik:- Harimau Malaya Yakin Menang Ke Atas Pakistan Malam Rabu

PETALING JAYA, 22 Feb (Bernama) --


Skuad Malaysia akan memberikan yang terbaik ketika berdepan dengan Pakistan dalam perlawanan kelayakan Olimpik di Stadium Shah Alam malam Rabu.

(Jurulatih Skuad Olimpik, Ong Kim Swee)

Ketua Jurulatih skuad Olimpik Ong Kim Swee berkata anak didiknya yakin dapat memenangi perlawanan itu selepas menjalani latihan secara taktikal sejak seminggu lepas.

"Semua pemain juga berada dalam keadaan cergas tanpa sebarang kecederaan, dan kami menjangka persembahan terbaik ketika berdepan Pakistan," katanya kepada pemberita, di sini hari Selasa.

Beliau berkata elemen utama skuadnya ialah semangat juang yang tinggi kerana mereka pasti berdepan dengan corak permainan bertahan Pakistan, selain bergantung kepada kepantasan pemain sayap untuk serangan balas.

"Sejak beberapa hari lepas, para pemain kelihatan begitu serasi ketika latihan dan kita mempertaruhkan penyerang muda seperti Ahmad Shakir Ali, Mohd Fakhri Saarani dan Wan Zack Haikal Wan Nor untuk menjaringkan gol," katanya.

Beliau berkata walaupun kehilangan Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Awari Ibrahim yang mengalami kecederaan ketika latihan, pemain pengganti mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan kedua-dua penyerang terbabit.

"Saya menjangka kemenangan selesa esok dengan dua atau tiga gol dijaringkan bagi membantu kita mengharungi perlawanan timbal balik di Pakistan," katanya.

Sementara itu, pasukan Pakistan yang datang untuk sesi latihan dan perlawanan persahabatan dengan Thailand berjanji memberikan tentangan sengit esok.

Ketua Jurulatih Pakistan Tariq Lufti berkata beliau tidak pernah memandang remeh pasukan Malaysia dan mengakui pasukan tersebut menunjukkan permainan berkualiti dan begitu bersemangat terutama selepas melihat pasukan kebangsaan memenangi Piala AFF Suzuki tahun lepas.

Perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Punjab di Lahore pada 9 Mac ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...