SEOUL 21 Feb. - Tiga ejen pengintip Korea Selatan memecah masuk ke dalam sebuah bilik hotel yang dihuni delegasi pegawai tertinggi Indonesia dalam usaha untuk mencuri maklumat sensitif berhubung rundingan mengenai bekalan senjata.
Seorang jurucakap Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) bagaimanapun menafikan pembabitan agensi itu seperti yang dilaporkan di muka depan akhbar Chosun Ilbo hari ini.
Insiden itu berlaku pada minggu lepas dan sudah pun dilaporkan sebelum ini tetapi Chosun ialah akhbar pertama yang melaporkan anggota NIS terlibat.
Delegasi 50 anggota Indonesia diketuai Menteri Ekonomi, Hatta Rajasa itu berada di sini pada minggu lepas untuk mengadakan rundingan mengenai kerjasama ekonomi, termasuk kemungkinan membeli jet latihan supersonik Golden Eagle T-50 dan sistem senjata lain dari Korea Selatan.
"Ejen-ejen NIS yang bertindak untuk kepentingan negara cuba mencari maklumat mengenai strategi rundingan delegasi Indonesia itu.
"Perbuatan mereka terbongkar ialah kesilapan yang tidak disengajakan," kata seorang pegawai kanan Seoul, menurut laporan Chosun.
Akhbar itu berkata, tiga ejen memasuki bilik di hotel Lotte pada Rabu lalu dan terpaksa beredar selepas seorang anggota delegasi terserempak dengan mereka semasa mereka meneliti fail dalam komputer riba milik seorang pembantu kanan kepada Hatta, sehingga menggemparkan para diplomat di Seoul.
Pada keesokan harinya, sekumpulan pegawai NIS datang ke balai polis Namdaemun dan merampas semua bahan bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup di hotel tersebut, lapor akhbar Munhwa Ilbo.
"Mereka datang ke balai dan mengambil semua bahan bukti... tidak sukar untuk mengenal pasti penceroboh kerana kualiti rakaman CCTV sangat baik," kata seorang pegawai polis.
Duta Indonesia ke Seoul, Nicholas Tandi Dammen mengunjungi Kementerian Luar pagi ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden itu - AFP
No comments:
Post a Comment