KOTA BHARU 16 Feb. – Tragedi kemunculan api misteri yang mengganggu keluarga Zainab Sulaiman di Kampung Penambang Bunga Emas, dekat sini dua bulan lalu menarik minat pengkaji paranormal terkenal Australia untuk mengetahui keadaan sebenar.
Paul Cropper, yang pernah menulis buku tentang Poltergeist atau roh tidak tenteram yang menghantui seseorang individu berhasrat untuk datang ke sini minggu depan bagi mencatat pengalaman Zainab.
Ia selepas beliau membaca peristiwa tersebut melalui sebuah portal berita baru-baru ini.
“Saya harus bertemu dengan Zainab untuk mengetahui keadaan sebenar dan saya menduga bahawa apa yang dia alami tidak berbeza dengan kes yang berlaku di Australia.
“Mungkin saya boleh membuat perbandingan dan membandingkan perbezaan antara poltergeist dan apa yang penduduk tempatan di Malaysia percaya sebagai jin.
“Saya sangat tertarik dalam api misteri yang muncul di rumahnya. Kes-kes seperti itu (kebakaran misteri) telah dilaporkan di seluruh dunia dan saya telah mengumpulkan kes yang berkaitan di laman web kami,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi e-mel di sini hari ini.
Cropper yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat telekomunikasi di Australia berkata, salah satu kejadian gangguan roh yang awal di Australia dilaporkan di Maitland, New South Wales Mercury pada 31 Januari 1893.
Menurutnya, selama bertahun-tahun, gangguan roh terus berlaku walaupun ia belum terbukti tetapi telah dikenal pasti mampu memindahkan perabot, membuat suara serak, membaling batu dan juga menyebabkan kebakaran misteri.
“Saya pernah melihat hantu penjara di Humpty Doo, Northern Territory, pada tahun 1998.
“Selain itu, saya pernah mengamati benda yang bergerak di sekitar bilik di sebuah rumah dekat Darwin tanpa melihat objek jelas yang bertanggungjawab melakukannya. Sangat aneh! Inilah yang mendorong saya untuk mula menulis buku (gangguan roh),” katanya.
Sebelum ini, Zainab, 73, yang tinggal bersama anak perempuan dan dua cucunya mengalami peristiwa paranormal aneh hingga menyebabkan beliau ketakutan dan kebingungan.
Susulan itu, lebih daripada lima ahli paranormal pelbagai agama dari seluruh negara datang untuk membantu.
Sementara itu, Zainab yang dihubungi berkata, dia tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja tentang episod misteri mengganggu keluarganya hampir dua bulan itu.
Katanya, misteri itu lenyap selepas berikhtiar dengan menggunakan kaedah gerakan kung fu yang dilakukan oleh seorang ahli paranormal wanita berketurunan Cina.
“Alhamdulillah sejak itu api itu (misteri) tidak muncul lagi. Saya sedia berkongsi pengalaman aneh ini dengan siapa sahaja yang berminat termasuk orang putih (Paul) itu jika benar dia nak datang,” ujarnya.
Sumber Dari
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment