Friday, February 18, 2011

Hari Keluarga Penyokong Siber kelate.net meriah


BACHOK 16 Feb. - Seramai 107 ahli Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (kelate.net) menyertai sambutan hari keluarga kelab tersebut yang berlangsung di Bayu Melawi Chalet dekat di sini baru-baru ini.

Pengelola program, Mahizi Mahmood berkata, tujuan penganjuran hari keluarga tersebut ialah untuk menghimpunkan semua ahli kelab sama ada yang lama atau baru selepas pertama kali diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan dua tahun lalu.

"Kalau dahulu kita memilih luar Kelantan sebagai lokasi, namun untuk kali ini kita memilih Kelantan pula sebagai tuan rumah. Alhamdulillah sambutan yang diberikan cukup memberangsangkan.

"Sambutan kali ini cukup bermakna kerana ia turut disertai oleh ahli kelab yang berada di seluruh negara," katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, bermula tahun ini, pihaknya merancang untuk menjadikan sambutan hari keluarga ini sebagai aktiviti tahunan kelate.net.

Mahizi memberitahu, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang hari keluarga itu berlangsung selama dua hari dan golongan kanak-kanak juga turut tidak ketinggalan menyertai acara sukaneka itu.

"Selain daripada acara bola sepak pantai, kita turut mengadakan acara barbeku pada sebelah malam. Kita juga turut menawarkan cenderamata yang menarik kepada ahli yang berjaya menjawab dengan tepat soalan yang kita sediakan dalam sesi tersebut.

"Hadiah-hadiah yang ditawarkan seperti jersi, topi The Red Warriors, beg, vuvuzela dan hamper yang ditawarkan dalam aktiviti ini cukup menarik dan menjadi ganjaran kepada ahli yang menyertainya," katanya

Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Jualan dan Cenderamata Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Syarikat Haz Jaya yang sudi menyumbangkan barangan tersebut bagi menjayakan program ini.

Sumber Dari
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...