Thursday, February 17, 2011

Penerima Anugerah Maulidur Rasul 1432H/2011

PUTRAJAYA, 15 Feb -- Bekas Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Abdul Hayei Abdul Sukor pada Selasa diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1432H/2011.

Abdul Hayei, 64, menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis sambutan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM50,000, plak, sijil penghargaan dan terjemahan kitab al-Quran.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu yang juga Anggota Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, memberikan sumbangan yang sangat besar dalam penulisan karya-karya ilmiah.

Antaranya, beliau menghasilkan sebuah kitab tafsir al-Quran versi Melayu yang diberi judul Tafsir Pedoman Muttaqin yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, enam lagi menerima anugerah sempena majlis itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mereka ialah Wee Soon Yen, pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan; bekas Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral) Kementerian Pelajaran, Datuk Dangiran Mustapha.

Profesor di Kuliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Tan Sri Dr Robaayah Zambahari; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Hasmah Abdullah dan bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Abdul Hayei melahirkan rasa syukur kerana menerima anugerah yang sangat tinggi nilainya kepada beliau dan umat Islam.

Beliau berkata dengan penerimaan anugerah tersebut, ia membuktikan bahawa perkara-perkara kebaikan masih wujud di negara ini.

Katanya dengan ilmu yang ada, beliau akan terus menjalankan kewajipan untuk memberikan sumbangan kepada agama dan negara.

"Memang satu kewajipan bagi umat manusia yang mempunyai amanah untuk meneruskan tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini," katanya.

Sementara itu, Wee yang mencatat keputusan cemerlang 8A dalam semua subjek termasuk bahasa Arab pada Penilian Menengah Rendah (PMR) 2010, tidak menduga untuk menerima anugerah berprestij itu.

Sambil menyifatkan pencapaiannya dalam peperiksaan PMR tidak seberapa berbanding anugerah yang diterimanya, beliau berkata ia sebenarnya memberi erti yang sangat besar kepadanya untuk terus mendalami bahasa Arab.

Wee merupakan satu-satunya pelajar berbangsa Cina dan bukan Islam yang mendapat A dalam subjek bahasa Arab pada PMR 2010.

Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Tahun 2011 merupakan bekas Profesor Madya Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM). Dr Abdul Hayei, 64, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan menerima wang tunai RM50,000, trofi, sijil penyertaan dan senaskah kitab tafsir Al-Quran yang berharga RM3,000 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

KENALI Dr Abdul Hayei

Gambar Dr Abdul Hayei (tiga dari kiri) bersama keluarga.

Semasa ditemui, Abdul Hayei meluahkan rasa syukur kepada Allah atas pemberian anugerah tersebut yang disifatkan sebagai bukti bahawa perkara kebaikan masih wujud.“Saya tidak pernah berputus asa dan akan terus menjalankan kewajipan memberi sumbangan kepada agama dan negara. “Ia adalah satu kewajipan bagi umat manusia yang mempunyai amanah untuk menyebarkannya di bumi Allah,” katanya.

Abdul Hayei juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan sangat aktif berdakwah menyampaikan syarahan agama, kuliah dan tazkirah di seluruh negara, selain menjawab persoalan agama menerusi laman web rasminya iaitu drhayei.com

Selain itu, bekas pensyarah di UM daripada tahun 1980 hingga 2003 itu juga banyak memberikan sumbangan dalam penulisan artikel dan majalah ilmiah. Beliau juga pernah menghasilkan sebuah kitab tafsir al-Quran versi bahasa Melayu bertajuk ‘Tafsir Pedoman Muttaqin’ dan karya-karya lain seperti ‘Hadith 40 Al-Nawawi, Tafsir dan Ulasan’, ‘Hadis Maudhu - Sejarah dan Konsep’ dan ‘Imam Malik, Sejarah dan Pemikiran’.

KENALI Wee Soo Yen

                                                Gambar Wee Soo Yen (tiga dari kiri) bersama keluarga dan hadiah yang diterima.
Wee Soo Yen, pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soon Yen, 16, memberitahu dia tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima anugerah pada sambutan tahun ini. Wee berjaya memperoleh A dalam matapelajaran Bahasa Arab pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2010.  Pelajar cilik tersebut dipilih berdasarkan pencapaian akademiknya yang cemerlang, iaitu memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2010.

Selain itu, Wee juga merupakan satu-satunya pelajar bukan Islam yang mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Arab. Menurut Wee, minat untuk mempelajari Bahasa Arab mula timbul apabila dia memulakan sesi persekolahan menengah. “Saya mula berminat untuk mempelajarinya kerana ia merupakan satu bahasa baru kepada saya. Jadi saya menganggapnya sebagai satu cabaran untuk diri sendiri,” katanya.

Wee menambah, pada peringkat awal, ibunya tidak begitu menyokong tindakannya untuk mempelajari bahasa tersebut. “Bagaimanapun, saya berjanji kepadanya bahawa saya akan lulus subjek Bahasa Arab dan sejak itu, beliau membenarkan saya untuk menduduki peperiksaan Bahasa Arab,” katanya. Pelajar bertubuh kecil itu juga memberitahu, dia akan memanfaatkan seluruh masa di sekolah bertanyakan kepada guru dan rakan-rakan jika mempunyai masalah kerana tidak mempunyai tempat rujukan di rumah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...