Thursday, February 17, 2011

Pergelutan Dengan Pegawai Kastam,Remaja cedera Di tembusi peluru

TUMPAT: Berikutan tidak puas hati dengan tindakan anggota Unit Pencegah Pencegahan (UPP) menahan rakan mereka sebelum disahkan meninggal dunia, sekumpulan hampir 30 lelaki bertindak ganas menyerang empat anggota terbabit dalam kejadian di Hospital Tumpat, kira-kira jam 9 pagi semalam.

Akibatnya, seorang daripada mereka parah apabila tertembak di bahagian perut dan dada dalam pergelutan dengan seorang daripada anggota UPP yang cuba menyelamatkan diri daripada terus dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.


Difahamkan, insiden bermula ketika empat anggota UPP Pengkalan Kubor yang menjalankan tugas dikatakan terserempak dengan Perodua Kancil di Kampung Tin sebelum bertindak mengekorinya.

Selepas diekori beberapa minit, pemandu kereta itu akur dengan memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan membolehkan anggota UPP menghampiri kenderaan itu membuat pemeriksaan.


Bagaimanapun, lelaki terbabit didapati dalam keadaan menggeletar dan mulutnya berbuih sebelum dikejarkan ke hospital oleh anggota UPP untuk pemeriksaan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia dipercayai kerana sesak nafas.


Kira-kira sejam kemudian, sekumpulan 30 lelaki dipercayai saudara-mara serta rakan mangsa yang tidak berpuas hati dengan kematian mangsa mengepung empat anggota UPP terbabit ketika minum di gerai bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.

Ketika perbincangan itu, beberapa lelaki yang tidak berpuas hati dikatakan cuba memukul empat anggota UPP terbabit menggunakan cota dan kayu sehingga memaksa semua mereka berlari menyelamatkan diri ke dalam hospital.


Namun, dalam pergelutan itu salah seorang anggota UPP iaitu Ahmad Suzaimi Shamsuddin, 29, dipukul oleh kumpulan lelaki itu di bahagian kepala dan badan sehingga memaksa dia melepaskan tembakan amaran.

Tembakan itu bagaimanapun terkena salah seorang lelaki dikenali sebagai Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang juga anak saudara kepada mangsa yang meninggal.


Kumpulan lelaki terbabit juga bertindak merosakkan kereta milik UPP yang diletakkan di kawasan hospital termasuk dipancitkan tayar dengan tujuan mengelak anggota UPP itu melarikan diri ke pejabat mereka.


Sementara itu, Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid, berkata anggotanya yang tercedera adalah Pegawai Kastam Unit Pencegahan iaitu Ahmad Suzaimi Shamsuddin, 29.


Beliau berkata, kejadian di hadapan Hospital Tumpat itu berlaku selepas anggota dikatakan cuba diserang sekumpulan lelaki sehingga memaksa dia melepaskan dua das tembakan amaran.


Bagaimanapun, beliau berkata tembakan berkenaan terkena kepada salah seorang penyerangnya, satu di bahagian perut dan satu di bahagian dada.


“Pihak kami dimaklumkan, lelaki yang menyerang anggota UPP itu cuba merampas senjata yang dibawa dan berlaku pergelutan,” katanya.

Sumber Dari
MyMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...