KUALA LUMPUR – Penggunaan ejen rakyat tempatan kini dikenalpasti sebagai taktik terbaru sindiket dadah antarabangsa untuk mencari ”keldai dadah” melalui laman web sosial Facebook.
Taktik yang menggunakan rakyat tempatan untuk merekrut ”keldai dadah” itu masih menggunakan cara yang sama iaitu menabur janji manis, kemewahan dan percutian menarik kepada mangsa sebelum ditugaskan membawa dadah ke negara ketiga.
"Di dalam Facebook mereka berkenalan, menjalin hubungan rapat dan apabila mendapat kepercayaan, mereka akan digunakan untuk dijadikan keldai dadah,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim.
Beliau berkata taktik itu dibongkar berikutan penahanan seorang pemuda berusia 23 tahun di Lapangan Terbang Ezeiza, Buenos Aires, Argentina, akhir bulan lepas ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis kokain dari negara itu ke Qatar.
Hasil soal siasat polis negara itu, lelaki terbabit mendedahkan tiga rakyat Malaysia memperdayanya untuk ke Argentina bagi membawa balik batu permata hitam ke negara ini, katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.
Noor Rashid berkata sebelum ini tugas merekrut mangsa untuk dijadikan ”keldai dadah” dilakukan rakyat Iran dan Nigeria, tetapi setelah mendapati taktik itu kurang mendapat sambutan, mereka mengubahnya menggunakan rakyat Malaysia.
Beliau mengulas taktik terkini sindiket dadah antarabangsa yang berpangkalan di negara ini yang kini menggunakan rakyat tempatan sebagai ejen mencari keldai dadah.
"Kita akan terus membuat pemantauan dan mengingatkan orang ramai melalui program-program kemasyarakatan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan taktik yang digunakan sindiket antarabangsa ini,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment