GEORGETOWN – Seorang pelajar tingkatan lima adalah antara lima lelaki yang ditahan dalam satu operasi membabitkan rampasan dadah jenis ganja bernilai RM240,000 di sini kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supt S. Batumalai berkata, kelima-lima mereka yang berusia antara 17 dan 50 tahun ditahan kira-kira pukul 5 petang di Jalan Air Itam.
"Berdasarkan maklumat awam dan intipan sejak seminggu lepas, sepasukan anggota polis dari JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang menahan sebuah kereta jenis Honda yang dinaiki empat lelaki dan dalam keadaan mencurigakan di kawasan Air Itam di sini.
"Hasil pemeriksaan ke atas kereta tersebut, polis menemui ketulan dadah seberat 61.3 kilogram bernilai kira-kira RM240,000 yang disembunyikan dalam satu ruang dalam kereta,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata, polis juga menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dan mengekori kereta tersebut, dipercayai mempunyai kaitan dengan empat lelaki terbabit.
Batumalai berkata siasatan mendapati dadah itu adalah untuk edaran di sekitar negeri ini.
– Bernama
No comments:
Post a Comment