Sunday, February 13, 2011
Penyu Soccer :- Terengganu mencatat kemenangan pertama
Terengganu mencatat kemenangan pertama mereka dalam kempen Liga Super 2011 selepas menjinakkan Singa Utara Perlis di gelanggang mereka sendiri, Stadium Utama, Kangar semalam. Gol-gol oleh Abdul Hadi Yahya, Ashari Shamsudin dan Abdul Manaf Mamat memberikan pendahuluan tiga gol buat Sang Penyu sebelum gol cantik oleh Mohamad Hafizuan Salehudin merapatkan jurang jaringan.
Pasukan pelawat bermula dengan garang dengan Joseph Kalang Tie gagal menyudahkan peluang apabila lorongan Ashari berjaya membuka ruang di pertahanan Perlis. Pemain kelahiran Sarawak itu juga berpeluang sekali lagi untuk menjaringkan gol dari satu sepakan sudut dua minit kemudian tetapi tandukannya tersasar dari pintu gol.
Penyerang Terengganu Abdul Hadi yang bergandingan buat kali pertama dengan Abdul Manaf malam ini hampir membuka jaringan di minit ke 9 apabila tendangan volleynya dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran jauh dari tengah berjaya menewaskan penjaga gol Perlis tetapi sedikit sahaja menjunam melepasi palang.
Pasukan tuanrumah berjaya juga menguji penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee pada minit ke 12 apabila sepakan percuma yang diambil oleh Faiz Sabri singgah di palang. Terkejut dengan serangan ini Terengganu meneruskan asakan dengan peluang hadir buat Abdul Manan, ketua pasukan Marzuki Yusof dan Joseph Kalang namun gagal menemui jaring gol Perlis.
Namun kerja keras yang ditunjukkan oleh pasukan Terengganu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke 23. Kawalan kemas oleh Joseph Kalang dari satu hantaran membolehkan beliau menemui Abdul Manaf dalam kotak penalti. Penyerang yang baru beraksi selepas kecederaan pra-musim itu membuat cubaan tetapi ianya melebar sehinggalah rakannya Abdul Hadi membuat sentuhan tambahan dan menolak bola masuk ke dalam gol Perlis.
Ianya gol pertama Hadi untuk pasukan Terengganu.
Sebelum barisan muda Perlis sempat pulih dari kejutan itu mereka mendapati diri mereka ketinggalan 2-0 dua minit kemudian. Hantaran jauh oleh Joseph Kalang menemui Ashari di sebelah kiri dan selepas sentuhannya berjaya menewaskan penjaga gol Perlis, penjaring terbanyak Liga Super 2010 itu membuka akaun golnya dengan satu sepakan rendah dari sudut yang agar sukar. Ianya menerjah jaring walaupun cuba dihalang oleh seorang pemain Perlis.
Terengganu terus menguasai permainan selepas itu tetapi tidak berjaya menambah jaringan apabila pertahanan tuanrumah bekerja keras untuk mempastikan pasukan pelawat tidak terus meninggalkan mereka dengan jurang jaringan yang lebih besar.
Dengan perlawanan menghampiri akhir separuh masa pertama, pasukan Perlis mula menemui rentak dan memaksa pertahanan Terengganu yang diketuai oleh Marzuki Yusof bekerja keras untuk mempastikan kubu mereka tidak ditembusi. Sharbinee du kali berjaya membuat tangkapan kemas untuk menghalang cubaan pemain Perlis untuk menggegar jaring golnya.
Namun ianya pasukan Terengganu yang hampir melebarkan kedudukan dengan dua sepakan percuma di akhir waktu permainan separuh masa pertama. Ashari hampir menjaringkan gol keduanya apabila cubaannya menuju ke sudut atas gol Perlis sehinggalah penjaga golnya berjaya menepisnya keluar.
Satu lagi cubaan dalam waktu kecederaan menyaksikan cubaan joseph Kalang mengenai benteng pertahanan Perlis dan dalam cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, ianya jatuh di hadapan Marzuki yang melepaskan suatu sepakan volley yang sudah menewaskan penjaga gol namun ianya mengenai palang dan keluar dari permainan.
Separuh masa pertama berakhir dengan Terengganu berada di hadapan dengan penuh keyakinan.
Separuh masa kedua bermula dengan pasukan tuanrumah bermain dengan lebih bersemangat dan memberikan tekanan kepada barisan pertahanan pasukan Terengganu. Namun serangan-serangan tersebut berjaya dikekang dan selepas berjaya menahan asakan tersebut pasukan Terengganu membuat serangan balas yang pantas.
Dari satu serangan balas yang pantas tersebut Terengganu telah dihadiahkan satu sepakan penalti pada minit ke 58 apabila Ashari dikasari dalam kotak penalti. Abdul Manaf menggalas tanggungjawab tersebut dan menewaskan penjaga gol dengan suatu sepakan deras ke sebelah kiri gol Perlis untuk gol pertamanya musim ini.
Sepuluh minit kemudian Perlis berjaya juga mengurangkan jurang jaringan apabila Hafizuan yang tidak dikawal melepaskan satu sepakan deras menggunakan bahagian luar kakinya dari luar kotak penalti yang berjaya menewaskan Sharbinee yang mencuba sebaiknya untuk menghalang cubaan tersebut dari mencecah jaringnya. Ianya boleh menjadi calon untuk anugerah 'Goal of The Season' (sekiranya ada).
Dengan perlawanan berbaki lima belas minit lagi episod malang Perlis berterusan apabila Hafizuan gagal mengawal perasaannya apabila tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil dan membaling bola ke arah pegawai perlawanan tersebut. Dia dilayangkan kad kuning, yang kedua buat dirinya dalam perlawanan tersebut menyaksikan dia terpaksa meninggalkan padang, seterusnya membantut usaha pasukannya untuk mengejar pasukan Terengganu.
Walaupun Terengganu terus mencuba untuk menambah jaringan namun penyudahan yang tidak berkesan menyaksikan kedudukan tidak berubah hingga ke akhir perlawanan. Namun kemenangan 3-1 itu sudah cukup untuk melonjakkan kedudukan Terengganu ke tempat kedua Liga Super, setidak-tidaknya untuk tempoh 24 jam sebelum pasukan-pasukan lain turun beraksi dalam perlawanan masing-masing malam ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Baca Sisipan Lain Polok
- Berita Dalam Negara (168)
- Berita Luar Negara (59)
- Sukan Malaysia (47)
- Tazkirah Agama (25)
- Sukan Luar Negara (21)
- Apeke Jadah Semuani (18)
- KAFA The Red Warrior (17)
- Pelik Tapi Benar (17)
- Info Kesihatan (9)
- Aktiviti keluarga (8)
- Politik Semasa (7)
- CUTI UMUM (1)
- Puisi Puitis (1)
No comments:
Post a Comment