(Gambar hiasan)
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) diminta menimbangkan semula cadangan membenarkan setiap pasukan dalam Liga Super mendapatkan khidmat pemain import.
Anggota Jawatankuasa FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (gambar kecil) berkata, langkah itu adalah lebih berkesan dalam membangunkan mutu bola sepak negara kerana ia melibatkan keseluruhan pasukan.
"Adalah lebih baik memberikan kebenaran kepada pasukan Liga Super mendapatkan khidmat pemain import kerana ia dapat memberi pendedahan kepada pemain muda dalam pasukan untuk terus maju," katanya di Ipoh semalam.
Beliau berkata, ia lebih sesuai dalam keadaan sekarang di mana banyak pasukan Liga Super mempunyai pemain muda yang berbakat dan mereka memerlukan pendedahan dalam sukan itu.
Katanya, sekiranya pemain muda mendapat pendedahan yang cukup maka mereka akan lebih berani untuk mencuba nasib mereka di Liga Eropah seperti pemain dari benua Afrika.
"Hampir 75 peratus pemain dalam Liga Perdana England pada masa ini adalah dari Afrika dan sukan ini boleh lumpuh sekiranya mereka pulang ke negara masing-masing," katanya.
Raja Ahmad berkata, FAM kini sedang dalam proses membawa perubahan dalam meningkatkan kualiti sukan bola sepak dan mereka perlu berani membuat perubahan drastik bagi menuju ke arah itu.
"FAM kena memikirkan jalan terbaik sama ada membenarkan pemain import datang ke sini atau menghantar pemain muda kita ke liga yang lebih besar untuk meningkatkan mutu permainan mereka," katanya.
Katanya, adalah tidak mustahil untuk pemain tempatan beraksi dalam liga England, Sepanyol dan Belanda pada masa depan. - Bernama
No comments:
Post a Comment