Petroleum: USM temui kaedah penjimatan kos
09/02/2011 5:01pm
GEORGETOWN – Penemuan baru hasil penyelidikan yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berupaya menjimatkan tenaga dalam proses penyulingan dan penulenan petroleum, sekali gus membantu menjimatkan kos penghasilan bahan bakar itu.
Ketua Penyelidik Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Dr Ahmad Ramli Mohd Yahya berkata, inovasi yang dikenali sebagai USM-AR2 itu berpotensi digunakan dengan meluas oleh negara-negara pengeluar minyak termasuk Malaysia.
"Produk biosintetik semula jadi itu dihasilkan oleh mikrob tempatan yang ditambah kepada petroleum sebelum proses penyulingan, USM-AR2 akan ditambah dalam minyak mentah untuk membantu proses pengemulsian.
"Ia membantu mengurangkan ketegangan permukaan dan kelikatan minyak, membantu mempercepatkan proses penyulingan,” katanya dalam sidang media memperkenalkan penemuan baru itu di sini hari ini.
Beliau berkata, kaedah konvensional sedia ada dalam proses penyulingan minyak mentah kepada minyak boleh guna seperti petrol, diesel, kerosin dan sebagainya mengambil masa yang panjang dan menggunakan tenaga haba yang tinggi.
Katanya, dengan adanya USM-AR2, tempoh masa dan penggunaan tenaga boleh dijimatkan sehingga 50 peratus tanpa menjejaskan kualiti dan kuantiti minyak yang dihasilkan. – Bernama
No comments:
Post a Comment