Monday, February 14, 2011

Azizulhasni gagal ke final ACC 2011

AZIZULHASNI (kiri) ketinggalan di belakang Miao dalam acara pecut individu lelaki elit pada ACC 2011 di Velodrom Kompleks Sukan Korat semalam.

KORAT, Thailand - "Saya cukup kecewa." Kenyataan itu terpacul dari mulut jagoan negara, Mohd. Azizulhasni Awang selepas dia gagal mara ke final acara pecut individu lelaki elit pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2011 di Velodrom Kompleks Sukan Korat semalam.

Sekalipun menang pada saringan pertama dengan catatan masa 11.039 saat, Azizulhasni gagal meneruskan kayuhan bertenaga apabila terpaksa akur dengan kehandalan pelumba China, Zhang Miao.

Zhang Miao meranapkan misi Azizulhasni untuk memburu pingat emas apabila menang pada saringan kedua dengan catatan masa 10.958s dan saringan ketiga (11.428s).

Kekalahan itu menyaksikan Azizulhasni akan bersaing dengan abang Zhang Miao, Zhang Lei bagi memburu pingat gangsa hari ini.

"Saya tidak tahu apa lagi nak cakap. Saya sudah melakukan sehabis baik tetapi akhirnya kalah juga. Saya tidak tahu di mana silap saya... saya memang kecewa dengan kekalahan ini.

"Dalam saringan ketiga, saya ingat dah menang tetapi tiba-tiba dia (Zhang Miao) datang dari belakang. Saya tiada alasan lain dengan kekalahan ini dan saya harus terima kegagalan ini," jelas Azizulhasni ketika ditemui semalam.

Azizulhasni menambah, dia masih berada dalam kondisi terbaik sebelum perlumbaan bermula sekalipun terpaksa berentap dalam saingan kelayakan acara keirin pada sebelah pagi semalam.

"Walaupun saya berlumba dalam keirin tetapi semua itu tidak begitu memberi kesan kepada prestasi saya dalam acara pecut. Mungkin bukan sudah rezeki saya dalam acara pecut kali ini," katanya.

Ketua jurulatih negara, John Beasley pula berkata, Azizulhasni telah mengikut strategi yang direncanakan tetapi sedikit kesilapan dalam saringan kedua telah mengundang padah buat pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman itu.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi Azizulhasni hari ini (semalam). Dia telah melakukan tugasnya dengan baik sekali, cuma nasib tidak menyebelahinya.

"Apa yang saya lihat, dia ada melakukan kesilapan taktikal dalam saringan kedua dan pada saringan ketiga, dia cuma tewas sedikit sahaja. Saya lihat ia satu persaingan yang cukup kompetitif," kata Beasley.

Hari ini Azizulhasni berpeluang menebus kekecewaan itu apabila turun beraksi pada saingan separuh akhir acara keirin. Selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng akan turut bersaing.

Sementara itu, nasib berbeza dialami pelumba muda meningkat naik, Mohd. Arfy Qhairant Amran apabila berjaya melayakkan diri ke final acara pecut individu lelaki junior.

Arfy dilihat tidak banyak menghadapi masalah untuk mengetepikan cabaran pelumba Jepun, Tanaka Koji selepas dia memenangi saringan pertama dengan catatan 11.351s dan saringan kedua (11.497s).

Pada aksi final hari ini, Arfy akan menentang rakan senegara Koji, Nagao Kenta yang menyingkirkan pelumba Korea Selatan, Kim Ji-sin dalam satu lagi pertembungan separuh akhir.

Terdahulu, Arfy tersentak seketika apabila gagal melayakkan diri ke final acara keirin selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok enam pelumba terbaik dalam saingan kelayakan.

"Saya mengaku telah melakukan kesilapan ketika acara keirin pagi tadi (semalam) tetapi mujur, saya dapat menebusnya dalam saingan pecut. Kini saya mahu melakukan yang terbaik dan meraih emas acara pecut," kata Arfy.

Sumber Dari:-
http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...