Monday, March 14, 2011

Alor Setar:- Bumbung 46 Rumah, Sebuah Surau Diterbangkan Ribut

ALOR SETAR, 14 Mac (Bernama) -- Sebanyak 46 rumah dan sebuah surau di Blok B Taman Wira Mergong di sini dilanda ribut petang semalam menyebabkan bumbung rumah dan surau berkenaan diterbangkan angin.

Fatimah Ahmad, 46, berkata kejadian pada pukul 4.30 petang itu disusuli dengan hujan lebat menyebabkan rumahnya dimasuki air.

"Ketika itu saya bersama anak dan cucu menonton televisyen, tiba-tiba kami terdengar bunyi kuat seperti kucing berlari di atas bumbung dan dengan sekelip mata bumbung rumah kami diterbangkan angin menyebabkan air hujan memasuki rumah," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata dalam keadaan kelam kabut itu, anaknya membawa cucunya yang berusia enam bulan keluar daripada rumah untuk menyelamatkan diri kerana mereka menyangkakan gempa bumi berlaku.

"Saya melaungkan azan bagi mengelak kejadian yang lebih buruk berlaku kepada keluarga saya," katanya yang memberitahu itu adalah pengalaman pertama rumahnya dilanda ribut.

Seorang lagi mangsa, Mat Saad Yahaya, 57, berkata dia berada di luar rumah semasa kejadian dan melihat angin kencang menerbangkan bumbung rumah di kawasan itu.

"Tiba-tiba saya dengar bunyi macam letupan dan bila saya masuk ke dalam rumah saya lihat bumbung rumah saya turut diterbangkan angin, habis semua ruang dalam rumah termasuk bilik tidur basah kerana dimasuki air hujan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kejadian itu telah dimaklumkan kepada bahagian perumahan untuk tindakan selanjutnya.

"Taman Wira adalah perumahan awam, jadi kita telah memaklumkan kejadian itu kepada bahagian perumahan dan mereka telah mengarahkan kontraktor untuk membaiki bumbung-bumbung rumah yang rosak akibat dilanda ribut.

"Saya harap mereka (kontraktor) dapat menyelesaikan kerja-kerja pembaikan itu dengan segera kerana kita khuatir pada sebelah petang nanti hujan turun semula kerana sejak kebelakangan ini, hujan sering turun pada sebelah petang," katanya ketika melawat mangsa ribut di perumahan itu.

Pada lawatan itu juga, pasukan Skuad Sayang Umno Bahagian Alor Setar menyampaikan bantuan bekalan makanan kepada keluarga yang terlibat.

Sumber Dari:
BERNAMA
TQ

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...