Friday, March 11, 2011

GEMPA BUMI DI JEPUN:- Cerita Detik-detik Cemas Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) --
Datuk Yong Soo Heong (kanan)


Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong berdepan saat-saat getir apabila gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun pada Jumaat, menggegarkan bangunan-bangunan di Tokyo.

Apabila gempa yang kuat menggegarkan Jepun pada kira-kira 2.50 petang waktu tempatan, Yong berada di tingkat satu Miji, sebuah kedai menjual aksesori pejabat di daerah Aoyama di sini, bagi mengisi masa sebelum bertemu Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Shaharuddin Md Som untuk satu temu bual di kedutaan pada pukul 4 petang.

Yong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro), sebelum itu telah menemu bual Dr Akira Kojima, seorang felo kanan penyelidik Pusat Penyelidikan Ekonomi Jepun dan Prof Pelawat Institut bagi Pengajian Dasar Graduan Kebangsaan.

Mengimbas kejadian itu, Yong berkata beliau bertanyakan pegawai Jetro, Cik Junko Tazawa, sama ada ia merupakan satu gempa bumi, apabila bangunan di mana mereka sedang berada di dalamnya, bergegar.

"Sebelum beliau dapat menjawab, gegaran itu menjadi semakin teruk. Ia kemudian terlintas di fikiran saya bahawa ianya adalah gempa bumi dan satu yang besar," katanya.

Ketika beliau menyaksikan rak-rak terbalik, pembantu kedai memberi isyarat agar beliau turun menggunakan tangga yang berdekatan.

Tanpa membuang masa, bersama-sama dengan Junko, mereka terus turun dan berada di sisi jalan di luar bangunan.

"Kami nampak kren-kren pembinaan raksaksa bergoyang-goyang di udara.

"Saya tahu ia merupakan satu gempa yang besar tapi saya tidak tahu magnitudnya. Selepas itu, saya dapat tahu ia bermagnitud 8.9," katanya.

Semasa pengalaman getir itu, ramai orang kelihatan bergegas keluar daripada bangunan-bangunan dan beberapa kanak-kanak kelihatan menangis di jalanan," katanya.

Teksi sukar didapati dan operasi keretapi bawah tanah juga terhenti.

Di tengah-tengah kekeliruan itu, Yong dan Junko berangkat ke Kedutaan Malaysia, yang terletak kira-kira tiga kilometer jauhnya, dalam keadaan kesejukan.

Junko berkata ia merupakan gempa bumi terbesar yang pernah dialaminya sepanjang hidupnya selama 28 tahun.

"Apabila terdapat dua gempa yang kecil awal minggu ini, saya seolah-olah merasai bahawa satu gempa yang besar akan berlaku dan lebih baik saya pergi sebelum ia datang. Saya akan mula bercuti tengah hari esok. Tapi, malangnya, gempa melanda pukul 2.50 petang hari ini.

"Saya bersyukur kerana masih hidup!

"Saya rasa bertuah. Saya banyak berjalan sejak beberapa hari ini di stesen bawah tanah.

"Sekarang, saya diberitahu, saya perlu berjalan jauh, mungkin dua jam. Ia merupakan perkara kecil berbanding dapat terus hidup. Saya mungkin hilang berat badan dalam proses ini," katanya.

Laporan menyebut bahawa gempa bumi mencetuskan tsunami sehingga setinggi 10 meter (30 kaki), ombak menyapu kawasan ladang, menghanyutkan rumah-rumah, tanaman, kenderaan-kenderaan dan mencetuskan kebakaran.

Berikutan itu, amaran tsunami dikeluarkan bagi seluruh lembangan Pasifik kecuali tanah besar Amerika Syarikat dan Kanada.

Negara-negara yang diliputi amaran itu termasuk Rusia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Fiji, Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Nicaragua, Panama, Honduras, Chile, Ecuador, Colombia dan Peru.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...