Thursday, March 31, 2011

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian POCO-POCO sebagai haram

IPOH 2011/03/30:
Kerajaan Negeri Perak akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, selepas fatwa dikeluarkan, semua pihak perlu menghormatinya dan tidak mempersoalkannya.

Dr Zambry berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan tarian berkenaan sebagai haram.
Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, Dr Zambry berkata proses kelulusan tanah dijalankan mengikut prosedur biasa dan setiap permohonan akan dilayan mengikut peraturan.

"Permohonan akan diproses mengikut peraturan dan undang-undang...jika pemohon layak, kelulusan akan diberikan. Pemohon tidak akan ditanya sama ada menganggotai mana-mana parti," katanya ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa sebidang tanah di Gopeng diberikan kepada UMNO baru-baru ini.

Dr Zambry berkata, dakwaan itu tidak seharusnya dilayan kerana sebelum ini, pembangkang mendakwa kerajaan negeri memberi tanah kepada MCA dan MIC.

Sumber Dari:
Berita Harian Terkini

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...