Monday, March 14, 2011

Jepun:- Lagi Gempa 6.8 skla Richter di pantai timur Honshu & 416 rakyat Malaysia Selamat dihubungi

KUALA LUMPUR 13 Mac - Gempa bumi dengan kekuatan 6.8 pada skala Richter melanda pantai timur Honshu di Jepun pada 9.26 pagi ini, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut kenyataan itu, gegaran berpusat di 181km dari timur laut Tokyo dan 4,092km dari timur laut Kudat, Sabah.

Gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

Sebelum itu, kawasan terbabit juga dilanda gegaran 6.2 pada skala Rihcter pada pukul 6.12 pagi ini.

Gempa bumi itu berlaku selepas gempa bumi kuat pada magnitud 8.9 pada tengah hari Jumaat lepas yang menyebabkan tsunami setinggi 10 meter melanda kawasan timur laut Jepun, mengakibatkan kira-kira 1,300 orang terbunuh dalam bencana.

Sementara itu, Kedutaan Malaysia di Tokyo memaklumkan telah berjaya menghubungi 416 rakyat negara ini yang berada di wilayah paling teruk terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di negara itu, setakat pukul 11 malam tadi (12 tengah malam di Jepun),

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedutaan juga menghubungi rakyat Malaysia yang berada di bahagian lain negara tersebut.

"Kesemua mereka selamat dan tidak ada laporan membabitkan kematian. Rakyat Malaysia di kawasan paling teruk terjejas telah dipindahkan ke kawasan selamat yang ditentukan pihak berkuasa Jepun.

"Laporan menyatakan pihak berkuasa Jepun sedang mengawal keadaan dengan mengambil langkah-langkah perlu,” kata kenyataan itu.

Gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter menggegarkan Jepun pada tengah hari Jumaat dan mencetuskan tsunami setinggi 10 meter yang melanda wilayah timur laut negara itu serta mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang.

Kenyataan itu berkata Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di sana sedang memantau keadaan di negara terbabit.

Malaysia juga menawarkan bantuan menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) termasuk anjing pengesan, kata kenyataan itu.

Kerajaan Jepun telah menyatakan penghargaan di atas tawaran itu, namun sehingga kini Kementerian Luarnya belum dapat memberi tarikh dan masa untuk Malaysia menghantar pasukan tersebut.

Kenyataan itu juga berkata bilik operasi di Wisma Putra dan di kedutaan di sana beroperasi sepanjang masa sehingga diberitahu kelak.

Sumber Dari:

Bernama

TQ

1 comment:

  1. Syukur semua rakyat Malaysia semuanya selamat dan semoga Negara jepun tabah menghadapi Ujian Dari Allah ini.tiada Ape yang Mampu melawan kuasa ALLAH..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...