SUNGAI DUA - Sejak seminggu lalu, lebih 40 keluarga di Kampung Alor Merah di sini, bimbang berikutan diganggu lembaga berpakaian serba hitam.
Lembaga itu dikatakan sering mengintai rumah penduduk dan membakar reban ayam serta barang yang diletakkan di luar rumah.
Lebih membimbangkan, lembaga itu sukar ditangkap kerana mudah melarikan diri biarpun dikepung penduduk.
Penduduk, Norazizah Mohamed Adam, 44, berkata, reban ayam dan almari pakaian yang diletakkan di luar rumahnya didapati terbakar dalam dua kejadian berasingan selepas lembaga itu dikesan muncul di pekarangan rumahnya pada malam Jumaat dan Sabtu lalu.
“Kebakaran itu dikesan berlaku sekitar jam 10.45 malam ketika saya dan dua anak beristirehat di ruang tamu sambil menonton televisyen.
“Sebelum melihat api membakar reban ayam, anak lelaki saya, Mohd Syazwan Anuar, 16, ternampak kelibat satu lembaga berlegar-legar di sekeliling rumah dan menghilangkan diri selepas disergah,” katanya.
Menurutnya, ketika sedang memadamkan api di reban ayam bersama anaknya, mereka terdengar jeritan jiran memaklumkan reban ayam miliknya juga terbakar.
“Saya dan anak kemudiannya bergegas ke rumah jiran itu untuk membantu memadam kebakaran itu, namun sebaik sampai beberapa penduduk sudah memadamkannya.
“Jiran memberitahu dia sempat melihat kelibat satu lembaga hitam berlegar-legar di belakang bilik air rumahnya sebelum mendapati reban ayamnya itu terbakar,” katanya.
Bimbang sesuatu perkara lebih buruk berlaku, penduduk kampung berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan kawalan setiap malam sejak seminggu lalu.
Anak sulung Norazizah, Mohamed Nizul Zaim, 18, berkata, dia dan beberapa rakannya yang bertugas mengawal kampung ada terserempak dengan lembaga itu malam kelmarin.
“Ketika itu kami sedang mengawal di bahagian belakang rumah saya dan melihat satu lembaga hitam menuju ke rumah nenek yang terletak bersebelah rumah kami.
“Sebaik disergah lembaga itu melarikan diri ke arah belukar di belakang rumah seorang penduduk dalam keadaan terjengkit-jengkit sebelum menghilangkan diri,” katanya.
Menurutnya, dalam masa sama mereka terdengar jeritan neneknya sebelum bergegas pulang dan melihat almari pakaian lama yang diletakkan di luar rumahnya terbakar.
Katanya, neneknya kelihatan takut sambil memberitahu melihat satu lembaga hitam membakar almari itu ketika hendak ke bilik air.
Menurutnya, mereka bingung memikirkan kejadian itu kerana ia melibatkan kebakaran kecil dan tidak merebak.
Ibunya Norazizah kemudiannya membuat laporan polis pada 18 Mac lalu kerana bimbang kejadian itu semakin berleluasa. Selain itu, dia berharap pihak polis akan menangkap lembaga berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias semasa dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat Azizah.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana masih menjalankan siasatan di samping akan mengambil langkah melakukan rondaan lebih kerap di kawasan kampung.
Sumber Dari:
Sinar harian
No comments:
Post a Comment