Thursday, March 17, 2011

Pesanan Luqman Al-Hakim Untuk Menjadi Insan Yang Berjaya

Surah Luqman Ayat1-5

Dengan izin ALLAH sama-sama kita renung-renungkan tarbiyyah ini. Di antara surah-surah di dalam Al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan Surah Luqman dan terkandung di dalamnya nasihat dan panduan bagaimana Luqman mendidik anak-anaknya menjadi seorang insan yang kamil berjaya di dunia dan akhirat. Pendidikan yang diterapkan oleh Luqman Al-Hakim paling menekankan pegangan aqidah yang kukuh kepada Allah SWT di samping menekankan soal keinsafan, kesedaran dan sikap tanggungjawab yang mendalam. Itulah keistimewaan didikan Luqman Al-Hakim dan kita pun tidak sepatutnya ketinggalan dalam mengikutinya di dalam kehidupan sehari-harian. Intisari didikan luqman Al-Hakim ini boleh dibahagikan kepada 3 aspek yang penting iaitu sudut aqidah, sudut solat dan sudut akhlak.
  1. Sudut aqidah Syirik adalah sesuatu yang paling mudah terjadi jika bekalan aqidah yang kukuh tidak ditanamkan di dalam setiap diri sejak kecil lagi. Hendaklah kita membiasakan diri kita dengan mengingati Allah SWT di dalam semua keadaan untuk mengelakkan terjadinya syirik tersebut.      
    "Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya:"Wahai anakku kesayanganku, Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."(Luqman :31)
     
  2. Sudut solat Solat adalah tiang agama dan amalan yang pertama sekali yang akan dihisab di akhirat kelak. Solat yang dikehendaki oleh Islam ialah yang disertai dengan sepenuh perhatian dan penempuan fikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah. Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Luqman, ayat 17 yang bermaksud ; "Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." 
  3. Sudut Akhlak Wajib berbakti kepada ibu bapa kerana ibu bapa adalah manusia yang paling banyak berjasa kepada kita. "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibubapanya , ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu, kepadaKu jua tempatmu kembali." (Luqman:41) Sabar di dalam menegakkan keimanan, melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan dan juga menghadapi hawa nafsu, musuh-musuh luar dan segala kepayahan dan kesulitan. "... dan berhati teguhlah dalam menghadapi apa yang menimpa engkau, sesungguhnya (sikap) yang demikian itu termasuk perintah yang sungguh-sungguh.(Luqman:17) Mengelakkan diri dari sifat sombong dan takabur. Takabur adalah punca pergaduhan dan pertelingkahan manakala tawaddhu' yang dianjurkan Islam adalah penguat persaudaraan, perpaduan dan melahirkan keselamatan dan ketenangan. Huraian berkenaan sikap takabur dan sombong ini boleh di dapati di dalam buku Bimbingan Mu'minin, karya Imam Ghazali. 
    "Janganlah engkau memalingkan muka dari manusia kerana kesombongan, dan janganlah berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tiada mencintai sekalian orang yang sombong dan membanggakan diri."(Luqman:18)
    Bersederhana dalam berjalan kerana ia menggambarkan ketenangan dan kesopanan tinglahlaku. Suara juga hendaklah dilembutkan ketika bercakap kerana ia adalah ukuran keutuhan budi pekerti kita sebagai makhluk Allah.
    "Dan sederahanalah dalam berjalan dan lembutkanlah suara engkau. Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar (keldai)."(Luqman:19)
     
  4. Sudut Da'wah. Hendaklah bersama-sama melaksanakan tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran seperti firman Allah s.w.t ; "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung."(Al-Imran:104)
Sesungguhnya Allah SWT telah merakamkan beberapa keistimewaan yang dilakukan oleh Luqmanul Hakim sewaktu mendidik anak. Nasihat Lukman kepada anaknya amat berguna untuk renungan kita semua sebagai makhluk Allah SWT tidak kiralah apejua status kita baik anak-anak ke ibu bapa, ape yang pasti setiap zaman itu pasti kita tempoh. Berikut adalah antara nasihat Lukman untuk anak-anak nya :-
 

1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring di atas katilmu.

3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu akan datang tiba-tiba.

4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.

5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.

6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan. Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.

7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi amat sedikit daripada yang lebih sedikit.


Sekian dan selamat malam, maafkan segala salah silap kami pentadbir Keluargaku yang diluar jangka kami. Ape yang baik dari Allah dan yang buruk itu dari kami hamba Allah yang hina..Renung-renungkan dan selamat beramal...kami tutup renungan ini dengan Wal'asri.


1 comment:

  1. Saya terpanggil bila dengar kuliah Maghrib Dari Masjid Sultan Mizan K.Terengganu melalui Radio Terengganu Fm semasa OTW pulang dari K.Terengganu Ke Jerteh

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...