Thursday, March 24, 2011

Kelantan:- Enggan dilabel kaum malas belajar, Anak Orang Asli Cemerlang Dalam SPM 2010

GUA MUSANG, 23 Mac (Bernama) -- Enggan dilabel kaum malas belajar menjadi pendorong utama kepada seorang pelajar kaum Orang Asli untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ramon Bah Ayoh, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra Satu (SMKTIP1) di sini berkata akibat tidak mahu disamakan dengan rakannya yang malas belajar telah menjadi pendorong untuknya berjaya.

"Saya berjaya mendapat 7A 2D dalam peperiksaan SPM tahun lalu," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Pengarah Pelajaran Kelantan Hussein Awang hari ini mengumumkan Ramon adalah pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam keputusan SPM di negeri itu.

Hussein berkata Ramon, yang tinggal di Kampung Lambok, Kuala Betis, merupakan pelajar mencatat sejarah baru kejayaan cemerlang bagi kaum itu dalam peperiksaan SPM di Kelantan.

Ramon, salah seorang daripada 79 calon pelajar Orang Asli yang menduduki SPM tahun lalu di sekolah itu, menganggap kejayaan itu adalah hasil sokongan guru dan ibu bapanya.

Ayah Ramon, Bah Ayoh Tampong, 58 serta ibunya, Siti Rohani Pandak, 45, turut gembira dengan keputusan anaknya itu.

Siti Rohani berkata, kesemua anak-anaknya minat untuk belajar termasuk adik beradik Ramon yang lain di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis dan kerap cemerlang dalam peperiksaan pertengahan atau akhir tahun.

Beliau berkata, seorang kakak Ramon yang belajar di tingkatan enam sekolah itu juga menjadi pendorong kepada kejayaan adik beradik yang lain dengan harapan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita sebelum ini rasa malu apabila orang kerap bersuara kemunduran Orang Asli seperti saya ini, sebab itu saya menekankan kepada anak-anak belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan kita anak Orang Asli juga boleh berjaya," katanya.

Sumber Dari:
BERNAMA
TQ

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...