Thursday, March 24, 2011

Terengganu:- Pelajar Cina dapat A+ dalam Tasawwur Islam Dan Anak Pekerja Kilang Papan dapat 11A SPM2010

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar berbangsa Cina mencatatkan sejarah tersendiri apabila memperoleh A+ bagi mata pelajaran Tasawwur Islam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya diumumkan hari ini.

Wong Yujing, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, adalah antara 17 pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat 10A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Tasawwur Islam.

"Mata pelajaran Tasawwur Islam saya ambil kerana minat dan ingin tahu mengenai agama Islam," kata anak sulung daripada tiga beradik ketika ditemui pemberita di sekolahnya di sini hari ini.

Katanya, beliau berminat mengikuti mata pelajaran tasawwur sejak di tingkatan empat lagi dan dia banyak dibantu oleh rakan-rakan Melayu yang mengikuti mata pelajaran itu.

Wong, dari Kampung Gong Badak berkata, beliau membaca buku teks mata pelajaran tasawwur dan cuba memahaminya dengan mendalam.

"Dalam buku teks semua ada tentang tasawwur dan kita kena rajin mentalaah. Begitu juga mata pelajaran lain, saya tekun mempelajarinya.

"Saya tidak suka tangguh buat kerja rumah. Saya akan pastikan kerja rumah siap seperti yang dijadualkan," kata Wong yang ingin melanjutkan pelajaran di bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat atau England.
Seorang daripada empat pelajar terbaik SMK Agama Tok Jiring, Nur Zulaikha Ismail, berkata beliau berazam sejak awal lagi untuk memperoleh keputusan terbaik pada peperiksaan itu.

"Sebab itu saya sangat fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya semasa guru mengajar dalam kelas. Kalau saya tidak faham saya akan bertanya selain banyak membuat latihan bersama rakan-rakan.

"Saya juga bertekad untuk mengubah hidup keluarga yang miskin. Dengan pelajaran saja saya fikir ia boleh mengubah iklim kehidupan keluarga," kata anak kelima daripada 10 beradik.

Anak pekerja kilang papan itu memperoleh 11A+ iaitu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah dan Bahasa Arab Tinggi.

Ayahnya Ismail Othman, 50, ketika ditemui, melahirkan rasa syukur dan melahirkan penghargaan kepada semua guru yang mengajar anaknya.

Sumber Dari:
BERNAMA & Berita Harian Terkini

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...