Wednesday, March 30, 2011

Cuaca Bertambah Baik, Seramai 817 Mangsa Banjir Masih lagi Berada Di Pusat Pemindahan

KUALA TERENGGANU, 30 Mac, 2011 11:34 AM
Jumlah mangsa banjir kilat yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Terengganu telah berkurangan kepada 817 orang sehingga 9 pagi Rabu.

Mangsa yang masih berada di 12 pusat pemindahan itu melibatkan 552 orang daripada 122 keluarga di daerah Dungun, Kemaman seramai 58 mangsa melibatkan 20 keluarga dan daerah Marang 207 mangsa dengan 51 keluarga.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara negeri Terengganu berkata bagi daerah Dungun seramai 103 mangsa dipindahkan ke Dewan Majlis Sukan Negara, Balai Raya Kampung Pulai Serai (lapan mangsa), Dewan Sivik Batu 48 (413 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan Kampung Nyior (28 mangsa).

Bagi daerah Marang seramai 90 mangsa dipindahkan ke Dewan Sivik Pekan Bukit Payong, Sekolah Menengah Seberang Marang (60 mangsa), Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang (30 mangsa), Balai Raya Kampung Binjai Rendah (14 mangsa), Balai Raya Kampung Tok Mat (lapan mangsa) dan Balai Raya Tanah Lot Kubu (lima mangsa).

Manakala bagi daerah Kemaman pula seramai 41 mangsa ditempatkan di sekolah Kebangsaan Kemasik dan Pusat Belia Kampung Baru Kerteh (17 mangsa).

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Terengganu Razali Daud ketika dihubungi Bernama berkata sebanyak 10 buah sekolah ditutup semalam disebabkan jalan ke sekolah tidak boleh dilalui kerana ditenggelami air dan juga sekolah dijadikan pusat pemindahan.

Katanya sekolah-sekolah yang ditutup iaitu tiga buah di daerah Kuala Terengganu dan masing-masing dua buah di Hulu Terengganu dan Setiu dan masing-masing sebuah di Dungun dan Kemaman.

"Saya jangka semua sekolah-sekolah berkenaan akan dibuka hari ini dan dapat belajar seperti biasa kerana keadaan cuaca sudah bertambah baik," katanya.

Sumber Dari:
BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...