KUALA ROMPIN - Lebih 50 nelayan pantai di Bandar Lama Rompin, di sini, terkejut musim tengkujuh sejak November tahun lalu masih belum berakhir seperti sebelumnya.
Mereka mendakwa, kebiasaannya musim tengkujuh hanya berlaku dua atau tiga bulan, namun berbeza kali ini apabila ia berlarutan hampir lima bulan dan ia mengundang kebimbangan nelayan persisiran pantai berhubung fenomena luar biasa itu.
Seorang nelayan, Abdul Rahman Ngah, 72, berkata, ombak kencang dan hujan berterusan masih berlaku sehingga bulan ini dan ia menimbulkan tanda tanya kepada nelayan pantai.
“Sepanjang saya menjadi nelayan sejak berusia belasan tahun, inilah musim tengkujuh paling lama kami lalui sehingga berlarutan empat bulan dan ini mungkin kesan perubahan alam yang berlaku di seluruh dunia,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Rahman berkata, hakikat perubahan alam perlu diterima semua pihak termasuk nelayan dan mereka perlu bersedia sekiranya musim tengkujuh berlarutan sehingga dua atau tiga minggu lagi.
“Keadaan permukaan air pada muara sungai masih keruh dan ia petanda monsun belum berakhir.
“Kami jangka awal atau pertengahan April keadaan kembali pulih seperti biasa,” katanya.
Yusof Ismail, 71, berkata, fenomena luar biasa itu menyebabkan nelayan dihimpit kepayahan hidup setelah hilang punca pendapatan akibat tidak dapat turun ke laut.
Katanya, sebagai nelayan sepenuh masa, dia hanya mampu menunggu berakhirnya musim tengkujuh itu untuk mencari rezeki semula.
“Jika dahulu bulan Januari atau selewat-lewatnya awal Februari, nelayan semua sudah boleh ke laut, tetapi sehingga hari ini kami masih di darat.
“Tidak ada apa yang dapat dilakukan selain menggunakan sedikit sumber kewangan yang disimpan sebelum ini bagi menampung kehidupan seharian semasa musim tengkujuh ini,” katanya.
Seorang lagi rakannya, Zainuddin Awang, 40, berkata, kerajaan diminta melakukan sesuatu bagi membantu nasib nelayan di negara ini yang hanya bergantung kepada elaun sara hidup RM200 setiap bulan untuk menyara keluarga.
Menurutnya, kebanyakan nelayan tidak mempunyai kemahiran kerja yang lain kerana hidup mereka lebih tertumpu kepada aktiviti penangkapan ikan di laut.
“Lebih memeritkan ketika ini kos sara hidup terus meningkat, harga barang keperluan harian terus naik tetapi pendapatan kami semakin merosot kerana musim tengkujuh ini,” katanya.
Zambri Salim, 46, berkata, nelayan biasanya :membuat persiapan sekiranya berlaku musim tengkujuh dengan menyimpan wang untuk bekalan dua atau tiga bulan, namun tempoh yang dilalui mereka sekarang sangat panjang.
“Duit simpanan semakin hari semakin susut dan kita bimbang musim monsun berterusan sehingga April depan menyebabkan perbelanjaan harian tidak mencukupi,” katanya
Sumber Dari:
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment