SIK - ‘Ikan di laut, asam di darat dalam periuk bertemu jua’. Kalau sudah ditakdirkan jodoh tidak ke mana, hanya perkenalan menerusi rancangan di radio Kedah FM, kedua-dua pasangan pengantin warga emas dapat disatukan, semalam.
Pasangan perempuan, Norazah Abd Talib, 54, dari Kampung Baru Batu Besar, berkata, dia sememangnya peminat setia radio Kedah FM, namun tidak menyangka percubaan berani menghubungi juruhebah dalam segmen ‘Renjis-renjis Dipilis’ membuka jalan bertemu jodoh.
Katanya, sebaik sahaja memberikan serba sedikit maklumat diri dan syarat ditetapkan untuk mencari pasangannya kepada juruhebah, pada malam yang sama dia menerima 68 panggilan selepas rancangan tersebut tamat.
“Pada awalnya saya biarkan sahaja, namun panggilan pada jam 1.38 pagi membuatkan saya tergerak hati untuk mengangkatnya tetapi kami berbual tidak lama kerana saya memberi alasan ingin tidur.
“Ternyata si pemanggil berkenaan tidak berputus asa menghubungi saya keesokan harinya dan dia turut menceritakan sedikit latar belakang dirinya termasuk telah beberapa kali kecewa dengan insan bernama wanita,” katanya.
Norazah berkata, walaupun pada awalnya perasaan ragu-ragu turut membelenggu dirinya namun berkat kesungguhan Md Saad Ismail yang ingin mengenalinya serta mereka semakin serasi selepas bertemu membuatkan pintu hatinya terbuka selepas tiga tahun menjanda.
“Semenjak hidup berseorangan, radio sering menjadi pengubat kesunyian saya ketika membuat kerja rumah, tambahan kesemua enam anak sudah meningkat dewasa cuma seorang yang masih tinggal bersama saya.
“Saya amat berharap perkahwinan kali kedua ini akan berpanjangan hingga ke akhir hayat dan saya amat berterima kasih kepada semua pihak kerana telah memberi peluang untuk saya merasai kembali detik bahagia bersama insan tersayang,” katanya.
Sementara itu, suaminya, Md Saad Ismail, 68, dari Sungai Kob, Kulim berkata, pada malam rancangan itu ke udara dia tertarik untuk mengenali lebih dekat Norazah Abd Talib setelah mendengar suaranya di radio.
“Dalam hati saya seakan terdetik satu perasaan yang meyakinkan diri bahawa dia adalah pasangan hidup paling sesuai untuk mengisi kekosongan hidup selepas kematian isteri pertama serta berpisah dengan isteri perkahwinan kali kedua.
“Walaupun pada awalnya panggilan saya tidak mendapat layanan yang memuaskan namun saya tetap tidak berputus asa dan berkat berusaha berkali-kali akhirnya dia menerima lamaran saya untuk disatukan,” katanya.
Md Saad yang bekerja sendiri berkata, dia juga bersyukur kerana pasangannya dapat menerima dirinya seadanya termasuk anak-anak daripada kedua belah pihak dan berharap mereka akan terus bahagia untuk selamanya.
“Bagi saya tak salah kahwin pada usia lewat kerana kalau sakit demam sekurang-kurangnya ada isteri menjaga, kerana kebanyakan anak masing-masing sudah berkeluarga,” katanya.
Sumber Dari:
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment